Polemik Lafaz Qabul Tiada Perkataan Nikah Atau Tazwij

1:

Pandangan yang dikatakan muktamad dalam masalah ijab dan qabul tiada ungkapan nikah atau tazwij adalah dalam mengenal pasti pandangan Imam Syafie untuk dinisbahkan kepada mazhab.

Dalam pada itu, ulama mazhab Syafie sendiri berbeza dalam menghikayatkan pandangan tersebut. Salah satu mengatakan al-Imam al-Syafie sendiri berpandangan ianya Sah berdasarkan nas beliau dalam al-Imla'. Pandangan ini bertepatan dengan pandangan Abu Hanifah dan Ahmad.

Apatah lagi jika lafaz nikah atau tazwij telah disebut dengan jelas ketika ijab. Maka lafaz qabul semata²: "Aku terima" yang dituturkan selepasnya adalah menjawab lafaz ijab. Maka lafaz qabul itu memaksudkan menerima apa yang ditawarkan. Justeru lafaz ijab adalah rujukan dalam memahami lafaz qabul.

Akad seumpama ini sah di sisi Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad. Selain itu inilah pandangan Imam Syafie berdasarkan penilaian al-Syeikh Abu Ishak dan Ibn Sabbagh, sekalipun pandangan mereka tidak ditarjihkan oleh para munaqqih mazhab.

Amat ekstrim dan tiada peri kemanusiaan seorang yang menghukum zina atas akad nikah yang telah berlaku di mana lafaz qabulnya tiada ungkapan nikah atau tazwij

 

2:

Nasihat kepada Ustaz Nuruddin Marbu al-Banjari dan para pengikutnya

Lafaz qabul yang tiada lafaz nikah dan tazwij adalah sah di sisi majoriti ulama termasuk mazhab Hanafi. Oleh itu apa keperluan untuk minta pasangan Sabri Yunus akad sekali lagi tanpa wali??? Seperti dalam keratan video ini:

https://www.facebook.com/KoncoakhiratII/posts/pfbid02aARpwHvfj8aUX4K5fJnEsDMGuKZc6q5tAjk6Z594wFC9G7NH5qsepo4imPkQFT6Zl

Pandangan mazhab Hanafi tentang wali dalam akad perkahwinan bukan bermaksud mesti tiada wali, tetapi pendangan mazhab Hanafi tersebut memaksudkan boleh atau sah tanpa wali dengan syarat² tertentu.

Ustaz nak ajar orang ramai kalau ada masalah boleh akad tanpa wali??? Ini bukan jalan penyelesaian. Ini adalah jalan yang lebih mendatangkan kerosakan jika diguna pakai secara salah.

 

3:

Sah Akad Nikah Dengan Lafaz Qabul: "Aku Terima" Di Sisi Ulama Mazhab Syafie Bukan Pandangan Yang Lemah

al-Imam al-Nawawi dalam Minhaj al-Talibin 205 menyebut: "dan jika dia (wali) berkata:" Aku zawajkan kamu (...) ". Lalu dia (pengantin lelaki) berkata: "Aku terima.", tidak terlaksana akad menurut al-Mazhab (على المذهب)."

Ungkapan "menurut al-Mazhab (على المذهب)" termasuk dalam mustalahat mazhab Syafie yang memberi isyarat ada perbezaan pendapat dalam kalangan Ashab dalam menghikayatkan mazhab.

al-Imam al-Rafi'e dalam al-Aziz Syarh al-Wajiz 7/494 menyatakan:

"Yang sahih, permasalahan ini menurut dua qaul (perbezaan menghikayatkan pandangan al-Imam al-Syafie, bukan perbezaan menghikayatkan pandangan Ashab). Salah satu dari dua (pandangan al-Imam al-Syafie) mengatakan sah... Dan yang AZHARnya ialah terhalang (tidak sah)..."

al-Imam al-Nawawi dalam Raudhah al-Talibin 7/47 berkata:

"Jika dia (pengantin lelaki) berpada menjawab: "Aku terima", tidak sah menurut al-AZHAR."

Kata al-Nawawi dalam Muqaddimah Minhaj al-Talibin:

"Maka apabila daku mengatakan al-AZHAR atau al-Masyhur maka ia daripada dua qaul atau beberapa qaul (pandangan Imam Syafie bukan Ashab). Jika khilaf (pandangan imam Syafie yang tidak ditarjihkan itu) kuat, daku akan menggunakan al-AZHAR. Jika tidak (pandangan yang tidak ditarjihkan tidak kuat) maka (daku nyatakan) al-Masyhur... "

Justeru, sah lafaz qabul: "aku terima", bukanlah pandangan yang lemah. Bahkan ia juga satu pandangan yang kuat.

al-Syeikh Rajab Nuri dalam Dalil al-Muhtaj Syarh al-Minhaj 22 menyatakan perkataan Nawawi al-Azhar dalam Minhaj al-Talibin menunjukkan pandangan yang tidak ditarjihkan (مقابل الأظهر) oleh beliauadalah pandangan yang kuat  (الظاهر), sama ada kuat dari sudut dalilnya, bukan pandangan yang syaz, atau kuat kerana saling bersamaan dalil kedua² pandangan pada asalnya sebagai pandangan yang terzahir (zuhur). (Cuma) Pandangan yang dikira rajih (الأظهر) terserlah kerana kebanyakan Ashab berpegang dengannya atau dalilnya lebih jelas dan kadang-kala (juga) tidak dapat dibezakan antara yang rajih (الأظهر) dengan yang tidak (الظاهر).

Oleh itu amat teruk dan tertolak cadangan Ustaz Nuruddin Marbu al-Banjari yang mengatakan pernikahan Sabri Yunus sebagai zina dan mencadangkan akad sekali lagi tanpa wali. Demikian juga teruknya mereka yang masih mempertikaikan status sahnya akad nikah pasangan Sabri Yunus dengan Angeline Tan (Ardini) dengan cadangan² yang hanya menyusahkan dan sia².


Cetak  
Wallahu a'lam