Hukum asal tulisan pada tanda kubur adalah Haram. Hukum ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Jabir RA yang mengatakan Rasulullah SAW telah melarang disimen kubur, duduk dan dibuat binaan di atasnya. Hadis ini berdasarkan riwayat Imam Muslim dalam Sahihnya. Namun dalam riwayat al-Imam al-Tirmizi dan al-Nasai‘e dengan Sanad yang Sahih juga ada tambahan:
وأن يكتب عليه
Maksudnya: “(Baginda juga melarang) menulis di atasnya.” (Lihat Majmu’ Fatawa Wa Maqalaat Mutanawwi’ah 9/378 oleh Samahah al-Syeikh al-‘Allamah ‘Abdul ‘Aziz bin ‘Abdillah bin Baz RH)
Pun begitu, sebahagian ulama berpandangan harus menulis nama sahaja di atas tanda kubur disebabkan ada keperluan. Dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah 32/252 dinyatakan:
واختلف الفقهاء أيضاً في الكتابة على القبر، فذهب المالكية والشافعية والحنابلة إلى كراهة الكتابة على القبر مطلقاً ؛ لحديث جابر قال : ( نهى النبي صلى الله عليه وسلم أن يجصص القبر وأن يقعد عليه وأن يبنى عليه وأن يكتب عليه ) ... وذهب الحنفية والسبكي من الشافعية إلى أنه لا بأس بالكتابة إن احتيج إليها حتى لا يذهب الأثر ولا يمتهن...
Maksudnya: “Dan para Fuqahaa’ juga berbeza pandangan tentang tulisan di atas kubur, ulama mazhab Maliki, Syafi’ie dan Hambali berpandangan makruh menulis di atas kubur secara mutlak berdasarkan hadis Jabir yang berkata: “Nabi SAW telah melarang disimen kubur, duduk, dibuat binaan dan ditulis di atasnya.”… manakala ulama mazhab Hanafi pula dan Imam al-Subki dari mazhab Syafi’ie berpandangan tidak mengapa tulisan di atas kubur jika ada keperluan agar tidak hilang kesan dan tidak diremehkan…”
Al-Syeikh Muhammad bin Saleh al’Uthaimin ada pandangan yang menarik dalam bab ini. Di mana beliau berkata:
Maksudnya: “Tulisan di atas kubur ada pendetilannya. Tulisan yang bertujuan kekalkan nama sebagai tanda kubur, maka ini tidak mengapa. Adapun tulisan yang menyerupai apa yang dilakukan di zaman Jahiliyyah, ditulis nama jenazah dan ditulisan pujian ke atasnya yang telah melakukan itu dan ini dan selainnya yang berbentuk pujian, atau ditulis bait-bait puisi memujinya. Maka yang ini adalah Haram. Termasuk dalam kumpulan ini ialah apa yang dilakukan oleh sebahagian orang-orang jahil yang menulis surah al-Fatihah di atas batu yang diletakkan di atas kubur atau selainnya dari ayat-ayat al-Quran. Semua ini adalah Haram. Bagi sesiapa yang melihat perkara ini berlaku hendaklah dia menghilangkan ayat al-Quran yang ada pada batu tersebut. Ini kerana ia termasuk kemungkaran yang wajib diubah.” (Lihat Syarh Riyadhus Salihin oleh Ibn al-‘Uthaimin)
Al-Syekh Hamd bin ‘Abdillah bin al-Hamd HZ berkata:
Maksudnya: “Akan tetapi, apakah harus ia (menulis nama itu) sebagai tanda, jika ahli keluarga jenazah tidak berupaya meletakkan tanda di atasnya disebabkan banyaknya kubur sekitarnya atau disebabkan tidak dapat dibezakan kubur ahli keluarga mereka jika tiada tulisan? Sekumpulan ulama berpandangan harus tulisan pada ketika ini jika ia semata-mata tulisan nama sahaja. Maka ini tidak mengapa, dengan syarat tidak dapat meletakkan tanda yang lain. Keharusan ini disebabkan keperluan untuk mengenali kubur jenazah. Telah thabit di dalam Sunan Abu Daud bahawa Rasulullah SAW meletakkan batu besar di bahagian kepala ‘Uthman bin Maz’un dan baginda bersabda: “Aku menjadikan ia sebagai tanda kubur saudaraku, dan aku akan kebumikan di sini sesiapa yang meninggal dalam kalangan ahli keluargaku.” Pandangan ini adalah Baik insyaAllah.” (Dari Syarh al-Zaad)