Harus Membuat Tanda Pada Kubur

Terdapat bukti dari Sunnah Nabi SAW yang menunjukkan keharusan membuat tanda di Kubur. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Kathir bin Zaid al-Madaniy daripada al-Muttalib yang berkata:

لَمَّا مَاتَ عُثْمَانُ بْنُ مَظْعُونٍ أُخْرِجَ بِجَنَازَتِهِ فَدُفِنَ فَأَمَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلًا أَنْ يَأْتِيَهُ بِحَجَرٍ فَلَمْ يَسْتَطِعْ حَمْلَهُ فَقَامَ إِلَيْهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَحَسَرَ عَنْ ذِرَاعَيْهِ قَالَ كَثِيرٌ قَالَ الْمُطَّلِبُ قَالَ الَّذِي يُخْبِرُنِي ذَلِكَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ كَأَنِّي أَنْظُرُ إِلَى بَيَاضِ ذِرَاعَيْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ حَسَرَ عَنْهُمَا ثُمَّ حَمَلَهَا فَوَضَعَهَا عِنْدَ رَأْسِهِ وَقَالَ أَتَعَلَّمُ بِهَا قَبْرَ أَخِي وَأَدْفِنُ إِلَيْهِ مَنْ مَاتَ مِنْ أَهْلِي

Maksudnya: “Ketika meninggalnya ‘Uthman bin Maz’un (saudara susuan Nabi SAW), dikeluarkan jenazahnya untuk dikebumikan. Nabi telah memerintahkan seorang lelaki untuk mengambil seketul batu. Namun lelaki itu tidak mampu untuk membawa batu tersebut (disebabkan saisnya yang besar). Lalu Rasulullah SAW menghampiri batu tersebut, baginda menyingsing lengan baju baginda.” Kata Kathir (yang meriwayatkan hadis ini): “Kata al-Muttalib: “Periwayat yang menceritakan hadis ini kepada ku berkata: “Aku melihat putih dua lengan (hasta) Rasulullah SAW ketika baginda menyingsing kedua-dua lengan bajunya. Setelah itu baginda memikulnya dan meletakkan batu tersebut di bahagian kepala kubur. Baginda bersabda: “Aku menjadikan ia sebagai tanda kubur saudara (susuanku), dan aku akan kebumikan di tempat ini sesiapa yang meninggal dunia dari kalangan keluargaku.” (HR Abu Daud 3206. Hadis ini dinilai sebagai Hasan oleh al-Hafidz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam al-Talkhis al-Habir 2/133. Namun al-Munziri mengatakan Kathir bin Zaid ini seorang rawi yang diperbahaskan oleh ramai ulama. Kerana itu Imam Abu Hanifah berpandangan makruh meletakkan tanda di kubur)

Berdasarkan hadis ini Majoriti ulama mengharuskan membuat tanda di kubur. Mereka ialah ulama Mazhab Malik, Syafi’ie dan Hambali. Ada pula sebahagian ulama mazhab Syafi’ie yang berpandangan ia termasuk di dalam Sunnah Nabi SAW.

Kata Imam Ibn Qudamah:

ولا بأس بتعليم القبر بحجر أو خشبة ، قال أحمد : لا بأس أن يعلِّم الرجل القبرَ علامةً يعرفه بها ، وقد علَّم النبي صلى الله عليه وسلم قبرَ عثمان بن مظعون

Maksudnya: “Tidak mengapa membuat tanda kubur dengan batu atau kayu. Kata (Imam) Ahmad: “Tidak mengapa seorang lelaki membuat tanda kubur dengan tanda yang dapat dikenali. Sesungguhnya Nabi SAW telah membuat tanda kubur ‘Uthman bin Maz’un.” (al-Mughniy 1/191)

Di dalam hadis Kathir bin Zaid di atas, Nabi SAW meletakkan tanda pada kubur dengan seketul batu besar yang diletakkan di bahagian kepala kubur.

Tanda yang dibuat ini bertujuan untuk mengenali jenazah ketika menziarahinya bagi tujuan berdoa untuknya. (Lihat Fatawa Fi al-Tauhid: Ibn Jibrin. Dar al-Want Li al-Nasyr 1/25)


Cetak  
Wallahu a'lam