Soalan:
Apakah hukum baju yang dibersihkan di dobi-dobi yang menggunakan alat cucian kering (Dry Cleaning) sebagai menggantikan air. Terutama untuk pakaian bulu, dan pakaian-pakaian dari jenis yang akan rosak jika dibasuh dengan air. Demikian juga dokumen-dokumen penting yang akan rosak jika dibasuh dengan air. Apakah cucian ini dapat menghilangkan najis dan sahkan solat menggunakan baju tersebut atau membawa dokumen yang terkena najis yang telah dihilangkan najis tersebut dengan dengan menggunakan air?
Jawapan:
Pakaian, peralatan atau seumpamanya yang terkena najis, menjadi suci dengan kaedah cucian kering (Dry Clening). Maka pakaian tersebut boleh digunakan untuk menunaikan solat. Inilah pandangan al-Imam Abu Hanifah dan pandangan kedua dalam mazhab Malik dan Ahmad RH.
Antara alasan yang dikemukan ialah tidak terdapat bukti dari al-Quran mahupun al-Sunnah yang memestikan najis hanya boleh dihilangkan dengan menggunakan air. Oleh itu apa-apa perkara yang pada hukum asalnya adalah suci, kemudian terkena najis, apabila dihilangkan najis yang ada pada perkara tersebut dengan apa sahaja kaedah yang dapat menghilangkan najis, sama ada dengan menggunakan air, angin, cahaya matahari dan seumpamanya, maka ia kembali kepada hukum asalnya iaitulah suci. Selain itu menghilangkan najis termasuk dalam bab menjauhi tegahan yang tidak memerlukan niat. Sebagai contoh, sesuatu najis yang hilang disebabkan disirami air hujan, maka hilang hukum najis tersebut di sisi seluruh para ulama.
Oleh yang demikian al-Syeikh Dr. Sa‘ad bin Turki al-Khathlan menyatakan:
والقول الراجح هو القول الثاني وهو أن النجاسة تزول بأي مزيل، وقد اختاره جمع من المحققين من أهل العلم، وممن اختاره المجد بن تيمية وحفيده أبو العباس بن تيمية، وابن القيم، ومن مشايخنا الشيخ عبد العزيز بن باز والشيخ محمد بن عثيمين رحمهم الله تعالى جميعًا. وذلك لقوة أدلته
Maksudnya: “Pandangan yang rajih iaitulah hilang hukum kenajisan (sesuatu benda) dengan apa-apa yang dapat menghilangkan najis. Pandangan ini menjadi pilihan sekumpulan para peneliti dari kalangan ulama, antara mereka ialah al-Majd bin Taimiyyah, Abu al-‘Abbas bin Taimiyyah, Ibn al-Qayyim, al-Syeikh ‘Abd al-‘Aziz bin Baz dan al-Syeikh Muhammad bin ‘Uthaimin RH. Demikian itu disebabkan kekuatan dalil yang ada.” (Laman sesawang Dr. Sa‘ad bin Turki al-Khathlan: https://old.saadalkhathlan.com/2020, dilihat pada 4:57 PM, 1/3/2024)
Al-Qaradhawi RH dalam Mausu‘ah al-A’mal al-Kamilah Yusuf al-Qaradhawi 3/232 menyebut:
فالراجح في هذه المسألة أن النجاسة متى زالت بأي وجه كان، زال حكمها، فإن الحكم إذا ثبت بالعلة زال بزوالها، لكن لا يجوز استعمال الأطعمة والأشربة في إزالة النجاسة لغير حاجة، لما في ذلك من فساد الأموال، كما لا يجوز الاستنجاء بها
Maksudnya: “Maka yang rajih pada permasalahan ini (apa yang dapat menghilangkan najis) bahawa najis (yang ada pada sesuatu perkara yang asalnya suci) apabila najis itu dihilangkan dengan sebarang cara, maka hilanglah hukumnya. Ini kerana sesuatu hukum yang ada dengan adanya illah (sebab keberadaan hukum), hukum tersebut tiada lagi apabila hilang illahnya. Namun tidak boleh menghilangkan najis dengan menggunakan makanan dan minuman tanpa ada keperluan kerana perkara tersebut termasuk dalam perbuatan merosakkan harta, sama sepertimana tidak boleh beristinjak dengan dengan menggunakan makanan atau minuman.”