Fatwa Majlis Jawatankuasa Fekah Islami: Hukum Kebumikan Jenazah Guna Keranda Kayu

Soalan:

Apakah hukum mengebumikan jenazah di dalam keranda kayu?

Jawapan:

Sebagai menjawab soalan penanya, saya terjemahkan di bawah ini fatwa dari Jawatankuasa Fekah Islami yang ada persamaan. Terjemahan fatwa tersebut adalah seperti berikut:

“Segala pujian adalah milik Allah yang Esa, Selawat dan Salam ke atas Penghulu dan Nabi kita Muhammad SAW, amma ba’d:

Majlis Jawatankuasa Fekah Islami telah memerhatikan persoalan yang diajukan dari Penyelia Umum Pemuda Islam dan Presiden Komuniti Islam, Victoria, Australia, tentang hukum mengebumikan jenazah umat Islam di dalam keranda kayu seperti yang diamalkan penganut Kristian, dinyatakan juga di dalam soalan tersebut bahawa umat Islam di sana masih menganggap baik dan berterusan melakukannya, sekalipun pihak pemerintah membenarkan umat Islam mengebumikan jenazah mereka mengikut tatacara Islami, iaitulah sesuatu jenazah dikafan (dan dikebumikan) tanpa memerlukan keranda. Setelah perbincangan dilakukan, pihak Majis Jawatankuasa Fekah mengeluarkan keputusan seperti berikut:

1. Setiap amalan dan tindakan yang dilakukan oleh seseorang muslim dengan niat menyerupai dan menuruti contoh orang bukan muslim, perkara ini adalah ditegah dan di larang di dalam Syarak berdasarkan keterangan yang jelas dari beberapa hadis Nabi (SAW).

2. Pengebumian jenazah di dalam keranda, jika dilakukan bertujuan menyerupai orang bukan Islam, perbuatan itu adalah Haram. Jika bukan bertujuan menyerupai mereka maka hukumnya adalah Makruh, selama mana tidak ada keperluaan melakukannya, jika ada keperluan maka ketika itu tidak mengapa.

Selawat dan Salam Allah ke atas Penghulu kita Muhammad, Ahli keluarga dan para sahabat baginda dengan ucapan salam yang banyak, dan segala pujian milik Allah Tuhan sekelian alam.”


Cetak  
Wallahu a'lam