Soalan:
Ustaz, benarkah Imam Syafi‘e juga melafazkan niat untuk sembahyang. Ada pihak mendakwa dengan riwayat Imam Ibn al-Muqri’ meriwayatkan daripada Imam Ibn Khuzaimah dan beliau meriwayatkan daripada Imam al-Rabi’, anak murid kanan Imam al-Syafi’i, kata beliau:
Apabila al-Syafi’i ingin memulakan solat beliau berkata, “Bismillah (Dengan nama Allah) aku menghadap Baitullah (Kiblat), menunaikan kefarduan Allah -‘Azza wa Jalla-. Allahu Akbar (takbiratul ihram).” (Mu’jam Ibn al-Muqri’)
Jawapan:
Riwayat Ibn al-Muqri seperti yang disertakan sememangnya terdapat dalam kitab Ibn al-Muqri’ al-Mu’jam, riwayat bilangan 336[1] dengan kata Ibn al-Muqri’:
أَخْبَرَنَا ابْنُ خُزَيْمَةَ، ثنا الرَّبِيعُ قَالَ: «كَانَ الشَّافِعِيُّ إِذَا أَرَادَ أَنْ يَدْخُلَ فِي الصَّلَاةَ قَالَ: بِسْمِ اللَّهِ، مُوَجِّهًا لَبَيْتِ اللَّهِ مُؤْدِيًا لِفَرْضِ اللَّهِ عز وجل اللَّهُ أَكْبَرُ»
Maksudnya: “Mengkhabarkan kepada kami Ibn Khuzaimah (katanya), menceritakan kepada kami al-Rabi’ dengan katanya: “Dahulunya al-Syafi‘e apabila hendak memulakan solat akan berkata: “dengan nama Allah, dalam keadaan menghadap ke Baitullah, menunaikan kefardhuan Allah azza wa jalla, Allahu Akbar.”
Riwayat ini masih ada pertikaian antara ahli ilmu. Antara yang mempertikaikan riwayat ini ialah al-Syeikh Dr. Abu ‘Abd al-Bari, Mahmud bin Muhammad al-Syibli, al-Somali al-Syafi‘e dalam risalahnya al-Talaffudz bi al-Niyyah Fi al-Solah La Yasihh ‘An al-Syafi‘e RH. Beliau mengatakan riwayat Ibn al-Muqri’ daripada Ibn Khuzaimah adalah riwayat yang bermasalah (Ma’lul), buktinya:
[1] Ibn al-Muqri’ tidak berjumpa dengan al-Imam Muhammad bin Ishak bin Khuzaimah.
Ibn al-Muqri’ dilahirkan pada tahun 285H dan mula mendengar periwayatan dipermulaan tahun 300H[2]. Riwayat yang disertakan oleh Ibn al-Muqri’ dalam Mu’jamnya daripada Ibn Khuzaimah adalah periwayatan secara kitabah (penulisan). Hal ini dijelaskan sendiri oleh Ibn al-Muqri’ pada riwayat bilangan 335, di mana Ibn al-Muqri’, berkata:
أَخْبَرَنَا مُحَمَّدُ بْنُ إِسْحَاقَ بْنِ خُزَيْمَةَ، فِي كِتَابِهِ إِلَيْنَا، ثنا بِشْرُ بْنُ مُعَاذٍ، ثنا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ جَعْفَرٍ، أَخْبَرَنِي مَالِكٌ، عَنِ الزُّهْرِيِّ، عَنْ أَنَسٍ قَالَ: «طَافَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ يَوْمَ فَتْحَ مَكَّةَ، وَعَلَى رَأْسِهِ الْمِغْفَرُ، وَاسْتَلَمَ الْحَجَرَ بِمِحْجَنِهِ
Maksudnya: “Mengkhabarkan kepada kami (Ibn al-Muqri’) Muhammad bin Ishak bin Khuzaimah dalam tulisannya (melalui tulisannya) kepada kami (katanya), menceritakan kepada kami Bisyr bin Mu‘az (katanya), menceritakan kepada kami ‘Abdullah bin Ja’far (katanya) mengkhabarkan kepadaku Malik, daripada al-Zuhri daripada Anas bin Malik: “Rasulullah SAW melakukan tawaf pada peristiwa Fath Makah, di atas kepala baginda terdapat al-Mighfar, baginda melakukan istilam kepada Hajar al-Aswad dengan Mihjan.”
Selepas riwayat ini, pada bilangan 336, Ibn al-Muqri’ mendatangkan riwayat al-Imam al-Syafi‘e melafazkan niat sebelum menunaikan solat. Melalui dua riwayat ini, Al-Syeikh Dr. Mahmud Muhammad al-Syibli berpandangan Ibn al-Muqri’ tidak bertemu dengan Ibn Khuzaimah, kerana riwayat pada bilangan 335 secara jelas beliau nyatakan beliau menerima riwayat tersebut secara penulisan dari Ibn Khuzaimah, bukan mendengarnya sendiri. Ditambah lagi dengan tiada riwayat lain yang diketahui beliau meriwayatkannya daripada Ibn Khuzaimah selain dari dua riwayat ini.
Sekalipun tidak dinafikan riwayat yang diterima secara kitabah atau penulisan adalah suatu yang diterima dalam proses tahammul dalam ilmu hadis. Namun kenyataan al-Syeikh Dr. Mahmud ini memiliki kekuatannya atas alasan berikut:
- Para guru Ibn al-Muqri’ di awal tahun 300H tidak termasuk Ibn Khuzaimah berdasarkan senarai nama gurunya yang disebut oleh al-Zahabi. Ini membuktikan kekuatan dakwaan al-Syeikh Dr. Mahmaud yang mengatakan Ibn al-Muqri’ tidak berjumpa dengan Ibn Khuzaimah.
- Ibn al-Muqri’ tidak tersenarai dalam kalangan anak murid kanan Ibn Khuzaimah dan bukan juga dari kalangan anak murid yang banyak meriwayatkan daripada Ibn Khuzaimah.
- Di tambah dengan konflik berbagai pemikiran yang telah wujud di zaman beliau, dengan kedudukan Ibn Khuzaimah sebagai seorang tokoh besar, sehingga nukilan dari beliau sering diselewengkan oleh pihak yang berkepentingan. Perkara ini menjadikan beliau pernah mentohmah beberapa sahabat dan anak murid rapat beliau sendiri dengan berkata:
وَقَدْ صَحَّ عِنْدِي أَنَّ هَؤُلاَءِ - الثَّقَفِيَّ، وَالصِّبَغِيَّ، وَيَحْيَى بنَ مَنْصُوْرٍ - كَذَبَةٌ، قَدْ كَذبُوا عَلَيَّ فِي حَيَاتِي، فَمُحَرَّمٌ عَلَى كُلِّ مُقتَبِسِ عِلمٍ أَنْ يَقبلَ مِنْهُم شَيْئًا يَحكُونَه عَنِّي، وَابْنُ أَبِي عُثْمَانَ أَكْذَبُهُم عِنْدِي، وَأَقْوَلهُم عَلَيَّ مَا لَمْ أَقُلْه
Maksudnya: “Telah sahih di sisiku bahawa mereka ini; al-Thaqafi, al-Sibaghi dan Yahya bin Mansur adalah para pendusta. Mereka telah berdusta atas namaku ketika hidupku. Maka haram ke atas sesiapa yang mengambil ilmu dari menerima maklumat dari mereka ini sedikitpun yang mereka hikayatkan daripadaku. Ibn Abi ‘Uthman adalah yang paling kuat berdusta di sisiku, dan paling kuat memalsukan perkataanku apa yang tidak aku katakan.”
Al-Zahabi selepas menukilkan perkataan Ibn Khuzaimah ini memberi komen dengan katanya:
مَا هَؤُلاَءِ بِكَذَبَةٍ، بَلْ أَئِمَّةٌ أَثبَاتٌ، وَإِنَّمَا الشَّيْخُ تَكَلَّمَ عَلَى حَسبِ مَا نُقِلْ لَهُ عَنْهُم. فَقبَّحَ اللهُ مَنْ يَنقُلُ البُهتَانَ، وَمَنْ يَمْشِي بِالنَّمِيمَةِ
Maksudnya: “Bukanlah mereka itu dari kalangan para pendusta, bahkan mereka dari kalangan para imam yang teguh. Sebaliknya kenyataan Ibn Khuzaimah itu semata-mata berdasarkan apa yang disampaikan kepada beliau tentang mereka. Semoga Allah memburukkan orang yang menyampaikan perkara dusta kepada beliau dan mereka yang bertujuan melagakan-lagakan Ibn Khuzaimah dengan anak muridnya.” (Siyar A’lam al-Nubala’ 14/379)
[2] Riwayat Ibn al-Muqri’ pada bilangan 335 daripada Ibn Khuzaimah terdapat kesalahan pada sanad dan matan.
[2.1] Kesalahan pada sanad disebabkan ia berbeza dengan riwayat Ibn Khuzaimah sendiri dalam Sahihnya bilangan hadis: 3063. Riwayat Ibn Khuzaimah dalam Sahihnya ialah melalui:
Yunus bin ‘Abd al-A’la -> Ibn Wahb -> Malik bin Anas -> Ibn Syihab al-Zuhri -> Anas bin Malik.
Sedangkan sanad yang didatangkan oleh Ibn al-Muqri’ melalui penulisan daripada Ibn Khuzaimah melalui:
Bisyr bin Mu‘az -> Abdullah bin Ja’far -> Malik Anas -> Ibn Syihab al-Zuhri -> Anas bin Malik.
Selain itu, hadis tersebut berdasarkan riwayat Ibn Khuzaimah tidak terdapat lafaz: وَاسْتَلَمَ الْحَجَرَ بِمِحْجَنِهِ seperti yang ada dalam riwayat Ibn al-Muqri’ dari Ibn Khuzaimah. Tidak sekadar ini, al-Syeikh Dr. Mahmud juga menyatakan Ibn Khuzaimah dalam Sahihnya tiada meriwayatkan sesuatupun dari jalan Bisyr bin Mu‘az, daripada ‘Abdullah bin Ja’far, daripada Malik. Ibn Khuzaimah hanya ada meriwayatkan satu hadis sahaja daripada Bisyr bin Mu‘az, daripada ‘Abdullah bin Ja’far, bukan melalui Malik, sebaliknya daripada Zaid bin Aslam. Riwayat yang berada pada bilangan 985 ini diriwayatkan dalam bentuk disertakan mutaba‘ah. Rawi yang bernama ‘Abdullah bin Ja’far ini adalah al-Madani, bapa kepada ‘Ali bin ‘Abdillah al-Madani. Dia seorang yang dhoief.
Hadis ini juga diriwayatkan oleh al-Tahawi dalam Ma‘ani al-Athar, riwayat bilangan: 5466 dan dalam Musykil al-Athar riwayat bilangan: 4519. Demikian juga Abu ‘Iwanah dalam Mustakhrajnya, riwayat bilangan: 3704. Semua riwayat ini melalui jalan Yunus bin ‘Abd al-A’la -> Ibn Wahb -> Malik -> Ibn Syihab -> Anas bin Malik, sama seperti riwayat Ibn Khuzaimah dalam Sahihnya, bukan seperti riwayat Ibn al-Muqri’ daripada penulisan Ibn Khuzaimah.
Hadis ini juga diriwayatkan oleh al-Tirmizi dalam al-Sama’il, riwayat bilangan: 114, namun melalui Isa bin Ahmad daripada Ibn Wahb -> Malik bin Anas -> Ibn Syihab al-Zuhri -> Anas bin Malik.
Kata al-Syeikh Dr. Mahmud: “Aku belum dapati riwayat ini, untuk hadis di sisi Ibn Khuzaimah dan di sisi selain beliau dalam bentuk riwayat seperti yang didatangkan oleh Ibn al-Muqri’. Maka riwayat yang didatangkan oleh Ibn al-Muqri’ ini adalah satu riwayat yang “gharib” (ganjil) daripada Ibn Khuzaimah -> Bisyr bin Mu‘az -> Abdullah bin Ja’far.”
[2.2] Kesalahan pada matan pula dari sudut, hadis ini diriwayatkan daripada Malik bin Anas dengan sanad-sanad yang banyak, iaitulah:
- Riwayat al-Bukhari, pada bilangan 1846 daripada Abdullah bin Yusuf, 4286 daripada Yahya bin Qaza‘ah (يحيى بن قزعة), 5805 daripada Abu al-Walid al-Tayalisi, dan bilangan 3044 daripada Ismail bin Abi Uwais. Semua riwayat ini daripada Malik bin Anas, tiada lafaz: وَاسْتَلَمَ الْحَجَرَ بِمِحْجَنِهِ.
- Riwayat Muslim pada bilangan 1357 daripada al-Qa’nabi, Qutaibah bin Sa‘id dan Yahya bin Yahya. Semua riwayat ini daripada Malik bin Anas, tiada lafaz: وَاسْتَلَمَ الْحَجَرَ بِمِحْجَنِهِ.
- Riwayat Muhammad bin al-Hasan al-Syaibani dalam Muwattha’nya pada bilangan 523 dan Riwayat Abu Mus‘ab al-Zuhri dalam Muwattha’nya pada bilangan 1447. Dua riwayat ini daripada Malik bin Anas, tiada lafaz: وَاسْتَلَمَ الْحَجَرَ بِمِحْجَنِهِ.
- Riwayat Ahmad pada bilangan 12932 daripada Abdul Rahman bin Mahdi, 13413 daripada Ishak bin ‘Isa. Riwayat ini daripada Malik bin Anas, tiada lafaz: وَاسْتَلَمَ الْحَجَرَ بِمِحْجَنِهِ.
- Riwayat Ibn Majah pada bilangan 2805 daripada Hisham bin ‘Ammar dan Suwaid bin Sa‘id. Riwayat ini daripada Malik bin Anas, tiada lafaz: وَاسْتَلَمَ الْحَجَرَ بِمِحْجَنِهِ.
- Riwayat Abu ‘Iwanah dalam Mustakhrajnya pada bilangan 3704 daripada Bisyr bin ‘Umar, 3706 daripada Ibn Juraij, 3705 daripada Ibn Hibban, 3721 daripada al-Walid bin Muslim. Semua riwayat ini daripada Malik bin Anas, tiada lafaz: وَاسْتَلَمَ الْحَجَرَ بِمِحْجَنِهِ.
- Riwayat al-Nasa’i dalam al-Kubra pada bilangan 8530 daripada Ibn al-Qasim. Riwayat ini daripada Malik bin Anas, tiada lafaz: وَاسْتَلَمَ الْحَجَرَ بِمِحْجَنِهِ.
- Riwayat Ibn Sa‘ad dalam al-Tabaqat 2/106 daripada Musa bin Daud, Ma’n (مَعْن) bin Isa dan Syababah bin Sawwar (شبابة بن سوار). Semua riwayat daripada Malik bin Anas, tiada lafaz: وَاسْتَلَمَ الْحَجَرَ بِمِحْجَنِهِ.
- Riwayat al-Humaidi pada bilangan 124, al-Nasa’i pada bilangan 2868, Ibn Hibban pada bilangan 3806 daripada Ibn ‘Uyainah. Semua riwayat daripada Malik bin Anas, tiada lafaz: وَاسْتَلَمَ الْحَجَرَ بِمِحْجَنِهِ.
- Riwayat Zuhair bin Harb dalam al-‘Ilm pada bilangan 164 daripada Muhammad bin Sulaiman Luwain (محمد بن سليمان لوين). Riwayat daripada Malik bin Anas, tiada lafaz: وَاسْتَلَمَ الْحَجَرَ بِمِحْجَنِهِ.
- Riwayat al-Dinuri (الدينوري) dalam al-Majalisah pada bilangan 3483 daripada Abi ‘Asim al-Nabil. Riwayat daripada Malik bin Anas, tiada lafaz: وَاسْتَلَمَ الْحَجَرَ بِمِحْجَنِهِ.
- Diriwayatkan secara mutaba‘ah Abu ‘Iwanah daripada Muhammad bin Ishak pada bilangan 3710 dan Abu Uwais pada bilangan 3708 dan 3709. Kedua-duanya melalui al-Zuhri -> Malik bin Anas. Semua tiada lafaz: وَاسْتَلَمَ الْحَجَرَ بِمِحْجَنِهِ.
Kata al-Syeikh Dr. Mahmud Muhammad al-Syibli:
“Atas dasar ini, maka riwayat Ibn al-Muqri’ tersebut adalah satu riwayat yang syaz matannya. Mungkin satu hadis lain telah dimasukkan ke dalam lafaz hadis yang lain. Ini kerana lafaz: وَاسْتَلَمَ الْحَجَرَ بِمِحْجَنِهِ sabit dalam hadis Ibn ‘Abbas tentang haji wada’ di sisi al-Bukhari bilangan: 1607 dan hadis Jabir di sisi Muslim bilangan 1272.”
Kata beliau lagi:
“Apabila Ibn al-Muqri’ tidak meriwayatkan hadis daripada Ibn Khuzaimah melainkan dua riwayat ini sahaja, kedua-duanya pula diriwayatkan melalui kitabah atau penulisan. Terbukti pula salah satu riwayat itu terdapat kesalahan pada sanad dan matan. Ia menunjukkan keabsahan kitabah atau penulis daripada Ibn Khuzaimah itu padanya perlu diperhatikan semula.”
[3] Riwayat tentang lafaz niat solat al-Imam al-Syafi‘e hanya terdapat dalam Mu’jam Ibn al-Muqri’.
Riwayat lafaz niat Imam Syafi‘e tidak diriwayatkan oleh anak-anak murid kanan al-Imam al-Syafi‘e seperti al-Rabi’. Sedangkan riwayat-riwayat daripada al-Imam al-Syafi‘e oleh al-Rabi’ tersebar dengan meluas. Demikian juga riwayat-riwayat daripada al-Rabi’ oleh Ibn Khuzaimah juga suatu yang masyhur. Di mana pula para sahabat al-Rabi’ dan para sahabah Ibn Khuzaimah yang lain? Mengapa tiada seorangpun dalam kalangan mereka yang ada meriwaytkan perkara yang sama?
Wujud keganjilan (gharabah) pada riwayat ini, sekaligus bukti ia satu riwayat yang mungkar.
[4] Tulisan-tulisan Para Ashab mazhab Syafi‘e tiada yang meriwayatkan lafaz niat solat al-Imam al-Syafi‘e ini, melainkan al-Subki ketika memperkenalkan Ibn al-Muqri’ dalam al-Tabaqat al-Kubra 2/139.
Tidak didapati seorangpun dari kalangan Syafi‘eyyah yang menjadikan riwayat ini sebagai bukti untuk pandangan mereka yang memberi galakan (mustahab) melafazkan niat solat. Sebaliknya yang menjadi kebiasaan Syafi‘eyyah berdalilkan anjuran melafazkan niat dengan cara melakukan qiyas dengan perkataan al-Imam al-Syafi‘e berkaitan haji, antaranya:
i. al-Haitami dalam Tuhfah al-Muhtaj 2/12 berkata:
(وَيَنْدُبُ النُّطْقُ) بِالْمَنْوِيِّ) قُبَيْلَ التَّكْبِيرِ (لِيُسَاعِدَ اللِّسَانُ الْقَلْبَ وَخُرُوجًا مِنْ خِلَافِ مَنْ أَوْجَبَهُ وَإِنْ شَذَّ وَقِيَاسًا عَلَى مَا يَأْتِي فِي الْحَجِّ الْمُنْدَفِعِ بِهِ التَّشْنِيعُ بِأَنَّهُ لَمْ يُنْقَلْ
Maksudnya: “(Dianjurkan menutur) apa yang diniatkan (sebelum bertakbir) bertujuan lidah membantu hati dan bagi keluar dari perbezaan dengan pihak yang mewajibkannya (mewajibkan lafaz niat) sekalipun pandangan ini syaz. (pandangan sunat atau dianjurkan ini) dengan melakukan qiyas apa yang ada dalam bab haji, bagi menolak pandangan yang mengatakan lafaz niat ini tidak baik kerana tiada diriwayatkan.”
Jika riwayat lafaz niat solat Imam Syafi‘e seperti yang diriwayatkan oleh Ibn al-Muqri’ itu suatu yang sabit, sudah pasti ulama Syafi‘e tidak perlu berhujah secara qiyas dengan bab haji. Ini kerana riwayat Ibn al-Muqri’ itu suatu yang amat jelas dan sudah tentulah al-Syafi‘eyyah lebih mengetahui dan menguasai pandangan dan perkataan Imam mereka sendiri al-Imam al-Syafi‘e RH.
Kata al-Syeikh Dr. Mahmum Muhammad al-Syibli:
Maksudnya: “Ketiadaan tulisan-tulisan dari ulama mazhab Syafi‘e menyebut riwayat ini (riwayat lafaz niat solat Imam Syafi‘e), sedangkan mereka semua bersungguh-sungguh memelihara perkataan-perkataan Imam Syafi‘e dan menyebarkannya sesama mereka membuktikan riwayat ini (riwayat Ibn al-Muqri’) adalah satu riwayat yang syaz lagi tidak dikenali (dalam kalangan Syafi‘eyyah). Maka tiada makna hukuman sahih terhadap riwayat tersebut oleh sebahagian tokoh hari ini beserta dengan alasan-alasan yang telah kami tegaskan ini.”