SDI 1690: Perkara Yang Hukum Asalnya Sunat Tidak Akan Berlaku Padanya Hukum Harus

Soalan:

Saya ada mendengar seorang ustaz mengatakan, bila kita masuk masjid selepas azan Subuh, kita disunatkan sembahyang qabliah Subuh dan harus menunaikan sembahyang tahiyyatul masjid. Betulkah dalam keadaan ini, sembahyang tahiyyatul masjid menjadi hukum harus?

Jawapan:

[1] Bagi sesiapa yang memasuki masjid setelah azan Subuh dilaungkan, maka dia disunatkan solat Qabliah Subuh. Setelah itu tiada lagi solat Tahiyyatul Masjid, kerana dia telah telahpun menunaikan solat Qabliah ketika masuk ke dalam masjid. Dia boleh terus duduk menunggu dilaungkan iqamah untuk menunaikan solat Fardhu Subuh. Namun jika seseorang itu telah menunaikan solat sunat Qabliah di rumah setelah azan dilaungkan, kemudian dia datang ke masjid, maka pada ketika ini, sunat dia menunaikan solat sunat Tahiyyatul Masjid bagi mematuhi perintah Nabi SAW:

إذا دخَل أحدُكم المسجدَ فلا يَجلِسْ حتى يصلِّيَ ركعتَين

Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu masuk ke dalam masjid, maka jangan dia terus duduk sehinggalah terlebih dahulu dia menunaikan solat dua rakaat.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

               Oleh itu, seseorang yang menunaikan solat sunat Qabliah sebaik sahaja masuk ke dalam masjid selepas azan dilaungkan, dia tidak perlu lagi menunakkan Tahiyyatul Masjid kerana dia telahpun menunaikan solat sunat dua rakaat ketika masuk ke dalam masjid, iaitulah solat sunat Qabliah Subuh.

[2] Tiada hukum harus untuk solat sunat. Atau dengan bahasa lain, apa-apa perkara yang hukum asalnya adalah sunat, tidak akan berlaku padanya hukum harus. Hal ini berdasarkan kaedah yang disebut oleh fuqaha iaitulah:

أن ما كان أصله الندب لا تأتي الإباحة فيه

Maksudnya: “Bahawa apa-apa perkara yang hukum asalnya adalah sunat, tidak akan datang kepada perkara tersebut hukum harus.” (I‘anah al-Talibin 1/56) Atau disebut juga:

وَمَا كَانَ أَصْلُهُ النَّدْبَ ‌لَا ‌يَعْتَرِيهِ ‌الْإِبَاحَةُ

Maksudnya: “Dan apa-apa perkara yang hukum asalnya adalah sunat, maka tidak kena kepadanya hukum harus.”  (Tuhfah al-Muhtaj Fi Syarh al-Minhaj bersama Hasyiah al-Syarwani 1/216)


Cetak  
Wallahu a'lam