Soalan:
Minta ustaz terangkan tentang perbezaan pendapat yang diterima dan yang tidak diterima, terima kasih. Apa yang perlu dilakukan jika ada sesuatu hukum yang menimbulkan perbezaan pendapat dalam kalangan ulama?
Jawapan:
Pertama:
Untuk memastikan sesuatu permasalah itu termasuk dalam kategori perbezaan pendapat yang dibolehkan (الخلاف السائغ) atau tidak, kita perlu memahami terlebih dahulu kriteria perbezaan pendapat yang dibolehkan (الخلاف السائغ). Oleh ituIsu-isu yang berlaku perbezaan pendapat di kalangan ulama dan dianggap sebagai perbezaan pendapat yang boleh diterima mestilah memenuhi syarat-syarat berikut:
[1] Tiada penetapan jelas dari al-Quran, sunnah, atau ijmak yang pasti dalam isu tersebut.
Jika tiada nas dari wahyu atau ijmak yang pasti, maka isu tersebut bergantung kepada ijtihad dan pemikiran. Para ulama berbeza-beza tahap kemahiran mereka dalam berbagai lapangan ilmu. Dari sudut kemampuan berfikir secara mendalam da membuat kesimpulan yang tepat, Allah SWT melebihkan sebahagian orang dengan sebahagian yang lain. Demikianlah para ulama. Imam al-Nawawi rahimahullah berkata:
وكذلك قالوا ليس للمفتى ولا للقاضي أن يَعترض على مَن خالفه اذا لم يخالف نصّاً أو إجماعاً أو قياساً جليّاً
"Mereka (para ulama) juga berkata bahawa tidak boleh seorang mufti atau hakim mencela pihak yang berbeza pandangan dengannya jika orang yang berbeza dengannya itu tidak menyalahi satu nas, ijmak, atau qiyas yang jelas." (Syarh Muslim, 2/24).
Tiada perbezaan dalam perkara ini sama ada isu tersebut berkaitan akidah atau fiqh. Cumanya, kebanyakan perbezaan dan ianya diberi kemaafan, banyak berlaku pada isu-isu yang membabitkan persoalan ilmu secara terperinci dan mendalam, kerana jarang adanya ijmak ulama dalam isu-isu yang mendalam ini. Shaykh al-Islam Ibn Taymiyyah rahimahullah berkata:
ولا ريب أن الخطأ في دقيق العلم مغفور للأمَّة وإن كان ذلك في المسائل العلمية، ولولا ذلك لهلك أكثر فضلاء الأمَّة
"Tidak diragukan lagi bahawa kesilapan dalam isu-isu ilmu yang terperinci diberi kemaafan untuk umat ini, walaupun dalam perkara-perkara ilmiah. Jika tidak, kebanyakan ulama terkemuka umat ini juga akan turut binasa." (Majmu’ al-Fatawa, 20/165).
[2] Terdapat nas yang sahih tetapi tidak jelas dalam menunjukkan maksudnya.
Dalam hal ini, perbezaan berlaku kerana perbezaan pemahaman, yang Allah jadikan berbeza-beza antara manusia.
[3] Terdapat nas yang jelas dalam memberi maksudnya tetapi diperselisihkan dari segi kesahihannya, atau terdapat nas lain yang kuat bertentangan dengannya.
Perlu diingat juga bahawa perbezaan yang diterima hanyalah berlaku apabila ia datang dari ulama yang memiliki ilmu dan takwa. Adapun pendapat orang awam dan seumpama mereka yang berbeza pandangan, ia tidak mempunyai nilai dan tidak boleh dijadikan panduan dalam permasalahan yang sedang dibincangkan ini.
Kedua:
Jika seorang Muslim mendapati sesuatu isu yang dipegangnya termasuk alam isu yang ada perbezaan pendapat ulama dan perbezaan itu pula termasuk dalam kategori perbezaan pendapat yang diterima, maka dia perlu memahami perkara-perkara penting berikut:
[1] Tidak boleh mencela atau mengaibkan pihak yang berbeza pandangan.
Ibn Rajab al-Hanbali rahimahullah berkata:
قال إسماعيل بن سعيد الشالنجي: سألت أحمد – أي: ابن حنبل - : هل ترى بأساً أن يصلي الرجل تطوعاً بعد العصر والشمس بيضاء مرتفعة؟ قال: لا نفعله، ولا نعيب فاعله. قال: وبه قال أبو حنيفة وهذا لا يدل على أن أحمد رأى جوازه، بل رأى أن من فعله متأولاً، أو مقلداً لمن تأوله، لا يُنكر عليه، ولا يُعاب قوله؛ لأن ذلك من موارد الاجتهاد السائغ
"Ismail bin Sa'id al-Syalanji berkata: Aku pernah bertanya kepada Ahmad (Ibn Hanbal): “Adakah engkau melihat sebarang masalah jika seseorang solat sunat selepas Asar ketika matahari masih cerah dan tinggi?” Beliau menjawab: “Kami tidak melakukan perbuatan tersebut, tetapi kami juga tidak mencela sesiapa yang melakukannya." Kata beliau (Ibn Rajab): “Dan itu juga perkataan Abu Hanifah. Ini tidak menunjukkan bahawa Ahmad (Ibn Hanbal) menganggap perkara tersebut dibenarkan. Tetapi beliau melihat bahawa sesiapa yang melakukannya berdasarkan takwilan atau mengikuti orang yang mentakwilkannya, maka dia tidak boleh dibantah atau diaibkan; kerana ia termasuk dalam ruang lingkup ijtihad yang dibolehkan.” (Fath al-Bari, 4/127).
[2] Termasuk suatu yang lebih utama, tidak boleh menghukum pihak yang berbeza pandangan sebagai jahil, sesat, atau ahli bid’ah.
[3] Khilaf yang dibenar tidak boleh menjadi punca perpecahan, permusuhan, atau pemulauan.
Shaykh al-Islam Ibn Taymiyyah rahimahullah berkata:
مسائل الاجتهاد مَن عمل فيها بقول بعض العلماء لم ينكر عليه ولم يهجر ، ومن عمل بأحد القولين لم ينكر عليه
"Dalam isu-isu ijtihad, sesiapa yang mengikuti salah satu pendapat ulama tidak boleh dibantah atau dipulaukan. Sesiapa yang beramal dengan salah satu pandangan (ulama dalam isu perbezaan yang diterima), tidak dibantah tindakan tersebut.” (Majmu’ al-Fatawa, 20/207).
Ibn Qayyim rahimahullah berkata:
وهذا النوع من الاختلاف لا يوجب معاداةً ولا افتراقاً في الكلمة ولا تبديداً للشمل؛ فإن الصحابة رضي الله عنهم اختلفوا في مسائل كثيرة من مسائل الفروع كالجد مع الإخوة وعتق أم الولد بموت سيدها
"Jenis perbezaan pendapat ini tidak membawa kepada permusuhan, perpecahan pendapat, atau memecahkan kesatuan. Para sahabat radhiallahu ‘anhum juga berselisih dalam banyak isu cabang fiqh, seperti bahagian faraid antara datuk dengan adik-beradik lelaki dan isu bebasnya ummu walad dengan kematian tuannya.” (al-Sawa‘iq al-Mursalah, 2/517).
[4] Dalam perbezaan pendapat yang boleh diterima, seorang alim yang salah berijtihad mendapat satu pahala, sementara yang betul mendapat dua pahala.
Dari Amr bin al-As, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا حَكَمَ الْحَاكِمُ فَاجْتَهَدَ ثُمَّ أَصَابَ فَلَهُ أَجْرَانِ وَإِذَا حَكَمَ فَاجْتَهَدَ ثُمَّ أَخْطَأَ فَلَهُ أَجْرٌ
"Apabila seorang hakim membuat keputusan dengan ijtihad dan dia benar, dia mendapat dua pahala. Jika dia salah, dia mendapat satu pahala." (HR. Bukhari, 6919; Muslim, 1716).
[5] Isu khilaf yang boleh diterima tidak bermakna perbincangan ilmiah mengenainya dilarang.
Ulama sentiasa berbincang dan menulis mengenai isu-isu ini dengan niat mencari kebenaran. Shaykh al-Islam Ibn Taymiyyah rahimahullah berkata:
إن مثل هذه المسائل الاجتهادية لا تنكر باليد وليس لأحد أن يلزم الناس باتباعه فيها؛ ولكن يتكلم فيها بالحجج العلمية، فمن تبين له صحة أحد القولين تبعه، ومن قلد أهل القول الآخر فلا إنكار عليه
"Dalam isu-isu ijtihad, ia tidak boleh ditolak dengan kekerasan. Tiada siapa boleh memaksa orang lain mengikut pendapatnya. Namun, isu ini boleh dibincangkan dengan hujah-hujah ilmiah. Siapa yang jelas kepadanya kebenaran salah satu pandangan, hendaklah dia mengikut pandangan tersebut. Sesiapa yang bertaklid kepada pendapat pandangan yang satu lagi, maka tidak dibantah tindakannya itu." (Majmu’ al-Fatawa, 30/80).