Dalil-Dalil Syar'i (الأدلة الشرعية)

PENDAHULUAN

Allah سبحانه وتعالى tidak menciptakan manusia dengan sia-sia dan Dia juga telah memuliakan manusia berbanding makhluk lain dengan tanggungjawab syariat (taklif), serta mengarahkan kepada manusia perintah dan larangan-Nya. Setiap manusia perlu melaksanakan perintah dan menjauhi tegahan menurut ketetapan yang telah ditentukan. Ketetapan tersebut sama ada bersifat taklifi seperti; Wajib (الإيجاب), Sunat (الندب), Haram (التحريم), Makruh (الكراهة), dan Harus (الإباحة). Atau hukum tersebut bersifat wadh‘I, seperti; menjadikan sesuatu sebagai sebab (السبب) kepada perkara lain, menjadikannya sebagai syarat (الشرط) bagi sesuatu hukum atau menjadikannya sebagai penghalang (المانع) kepada sesuatu perkara, dan menjadikan ukuran sah atau batal sesuatu.

Hukum-hukum syarak ini – sama ada taklifi atau wadh‘i – pada hakikatnya adalah khitab (ketetapan) Allah سبحانه وتعالى, berkaitan dengan perbuatan mukallaf, dan ia ditetapkan berdasarkan prinsip yang tertentu.

Untuk memahami ketetapan Allah kepada manusia, ia memerlukan petunjuk yang jelas, tanda yang nyata, serta dalil yang kukuh sehingga dapat membimbing manusia memahami hukum Allah سبحانه وتعالى dan mendapat petunjuk tentangnya.

Dalil-dalil atau tanda-tanda ini dikenali sebagai dalil-dalil syarak (الأدلة الشرعية) atau dalam istilah lain disebut sebagai sumber-sumber hukum syarak (مصادر الأحكام الشرعية). Dalil-dalil ini banyak dan beraneka ragam. Sebahagiannya menjadi kesepakatan dalam kalangan imam mujtahidin yang muktabar, manakala sebahagian lain menjadi tempat perselisihan antara mereka.

Dalil-dalil yang disepakati[1] ialah:

  1. Al-Quran
  2. Sunnah
  3. Ijma’
  4. Qiyas

 

SUSUNAN DALIL YANG DISEPAKATI DARI SEGI KEDUDUKAN DAN DARJAT

Susunan dalil-dalil yang disepakati ini adalah Al-Qur'an, kemudian Sunnah, kemudian Ijma', dan akhirnya Qiyas. Susunan ini telah dikenali dalam kalangan para ulama, sama ada melalui perkataan atau penulisan mereka. Mereka memulakan: Al-Quran kerana ia adalah kalam Allah سبحانه وتعالى, kemudian Sunnah kerana ia adalah kalam Rasul-Nya , kemudian Ijma’ kerana ia adalah dalil naqli, kemudian Qiyas kerana ia adalah dalil ‘aqli.

Imam al-Syafi‘i telah menjelaskan susunan ini dalam kitab al-Risalah (1/599) dengan katanya:

نعم يُحكم بالكتاب، والسنة المجتمع عليها التي لا اختلاف فيها، فنقول لهذا: حكمنا بالحق في الظاهر والباطن، ويُحكم بالسنة قد رويت من طريق الانفراد، لا يجتمع الناس عليها، فنقول: حكمنا بالحق في الظاهر؛ لأنه يمكن الغلط فيمن روى الحديث، ونحكم بالإجماع. ثم القياس، وهو أضعف من هذا، ولكنها منزلة ضرورة؛ لأنه لا يحل القياس والخبر موجود

"Ya, hukum itu ditetapkan dengan Al-Quran, kemudian dengan Sunnah yang telah disepakati dan tiada perselisihan padanya. Maka, kita berkata dalam hal ini: Kami berhukum dengan kebenaran secara zahir dan batin. Dan hukum juga ditetapkan dengan Sunnah yang kadang-kala diriwayatkan secara infirad (khabar wahid) tanpa ada kesepakatan umat, maka dalam hal ini kami berkata: Kami berhukum dengan kebenaran secara zahir, kerana ada kemungkinan berlaku kesilapan dalam periwayatan hadis. Kami juga berhukum dengan ijma’. Kemudian dengan qiyas, dan ia paling lemah berbanding yang lain. Namun, ia tetap berada dalam kedudukan yang diperlukan, kerana tidak boleh menggunakan qiyas selagi ada nas (dalil naqli) yang sahih."

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah RH dalam Majmu’ al-fatawa 19/202 juga mengakui tertiban ini melalui perkataannya:

وَهُمْ إنَّمَا كَانُوا يَقْضُونَ بِالْكِتَابِ أَوَّلًا لِأَنَّ السُّنَّةَ لَا تَنْسَخُ الْكِتَابَ فَلَا يَكُونُ فِي الْقُرْآنِ شَيْءٌ مَنْسُوخٌ بِالسُّنَّةِ بَلْ إنْ كَانَ فِيهِ مَنْسُوخٌ كَانَ فِي الْقُرْآنِ نَاسِخُهُ فَلَا يُقَدِّمُ غَيْرَ الْقُرْآنِ عَلَيْهِ ثُمَّ إذَا لَمْ يَجِدْ ذَلِكَ طَلَبَهُ فِي السُّنَّةِ وَلَا يَكُونُ فِي السُّنَّةِ شَيْءٌ مَنْسُوخٌ إلَّا وَالسُّنَّةُ نَسَخَتْهُ لَا يَنْسَخُ السُّنَّةَ إجْمَاعٌ وَلَا غَيْرُهُ؛ وَلَا تُعَارَضُ السُّنَّةُ بِإِجْمَاعِ وَأَكْثَرُ أَلْفَاظِ الْآثَارِ فَإِنْ لَمْ يَجِدْ فَالطَّالِبُ قَدْ لَا يَجِدُ مَطْلُوبَهُ فِي السُّنَّةِ مَعَ أَنَّهُ فِيهَا وَكَذَلِكَ فِي الْقُرْآنِ فَيَجُوزُ لَهُ إذَا لَمْ يَجِدْهُ فِي الْقُرْآنِ أَنْ يَطْلُبَهُ فِي السُّنَّةِ وَإِذَا كَانَ فِي السُّنَّةِ لَمْ يَكُنْ مَا فِي السُّنَّةِ مُعَارِضًا لِمَا فِي الْقُرْآنِ وَكَذَلِكَ الْإِجْمَاعُ الصَّحِيحُ لَا يُعَارِضُ كِتَابًا وَلَا سُنَّةً. تَمَّ بِحَمْدِ اللَّهِ وَعَوْنِهِ وَصَلَوَاتِهِ عَلَى خَيْرِ بَرِيَّتِهِ مُحَمَّدٍ وَآلِهِ وَسَلَّمَ

"Mereka (para sahabat) pada awalnya berhukum dengan Kitab (Al-Quran) terlebih dahulu kerana sunnah tidak boleh menasakh (menghapuskan hukum) Al-Quran. Maka, tidak ada sesuatu dalam Al-Quran yang dimansukh oleh sunnah. Bahkan, jika ada sesuatu yang dimansukh dalam Al-Quran, pasti ada yang menasakhnya dalam Al-Quran juga. Oleh itu, tidak akan mendahului al-Quran selain Al-Quran. Kemudian, jika mereka tidak menemukannya dalam Al-Quran, mereka mencarinya dalam sunnah. Dan tidak ada sesuatu dalam sunnah yang dimansukh melainkan dengan sunnah juga; ijmak atau selainnya tidak boleh menasakh sunnah. Sunnah juga tidak boleh ditentang dengan ijmak. Sebahagian besar lafaz dalam atsar menunjukkan bahawa jika seseorang tidak menemui hukum dalam Al-Quran atau sunnah, ia boleh jadi kerana dia belum menemuinya, padahal sebenarnya hukum itu ada di dalamnya. Oleh itu, dibolehkan bagi seseorang yang tidak menemui sesuatu dalam Al-Quran untuk mencarinya dalam sunnah. Dan jika hukum itu ada dalam sunnah, maka ia tidak akan bertentangan dengan Al-Quran. Begitu juga dengan ijmak yang sahih, ia tidak boleh bertentangan dengan Al-Quran mahupun sunnah. Segala puji bagi Allah dengan limpah kurnia dan pertolongan-Nya. Selawat dan salam ke atas makhluk-Nya yang terbaik, Nabi Muhammad serta keluarganya."

Asas susunan tertib ini berdasarkan hadis Mu‘az bin Jabal RA, ketika beliau diutus ke Yaman oleh Nabi SAW, baginda bertanya:

كيف تقضي إذا عرض لك قضاء؟ قال: أقضي بكتاب الله، قال: فإن لم تجد في كتاب الله؟ قال: فبسنة رسول الله - صلى الله عليه وسلم -، قال فإن لم تجد في سنة رسول الله - صلى الله عليه وسلم - ولا في كتاب الله؟ قال: أجتهد رأيي ولا آلُو، فضرب رسول الله - صلى الله عليه وسلمصدره وقال: الحمد لله الذي وفق رسول رسول الله لما يُرضِي رسولَ الله

Bagaimana engkau akan memutuskan sesuatu perkara apabila ia diajukan kepadamu? Beliau menjawab: Aku akan memutuskan berdasarkan Kitab Allah. Baginda bertanya lagi: Jika engkau tidak menemukannya dalam Kitab Allah? Beliau menjawab: Maka dengan Sunnah Rasulullah . Baginda bertanya lagi: Jika engkau tidak menemukannya dalam Sunnah Rasulullah dan juga tidak dalam Kitab Allah? Beliau menjawab: Aku akan berijtihad dan tidak akan mengabaikannya sehingga menemui kebenaran. Maka Rasulullah menepuk dadanya dan bersabda: "Segala puji bagi Allah yang telah memberi taufik kepada utusan Rasulullah untuk sesuatu yang diredai oleh Rasulullah."[2]

Kata Ibn ‘Abd al-Barr RH tentang hadis ini:

وهو الحجة في إثبات القياس عند جميع الفقهاء القائلين به

Hadis ini menjadi hujah dalam menetapkan keabsahan qiyas menurut semua ulama fiqh yang menerimanya sebagai sumber hukum.

Terdapat bukti dari sahabat lain yang menguatkan keabsahan makna hadis ini. Antaranya berdasarkan perkataan ‘Umar رضي الله عنه kepada Syuraih رضي الله عنه ketika menghantar beliau ke Kufah sebagai qadhi:

انْظُرْ مَا تَبَيَّنَ لَكَ فِي كِتَابِ اللَّهِ فَلَا تَسْأَلْ عَنْهُ أَحَدًا، وَمَا لَمْ يَتَبَيَّنْ لَكَ فِي كِتَابِ اللَّهِ فَابْتِغِ فِيهِ سُنَّةَ رَسُولِ اللَّهِ ﷺ، وَمَا لَمْ يَتَبَيَّنْ لَكَ فِي السُّنَّةِ فَاجْتَهَدَ رَأْيَكَ

"Lihatlah apa yang telah jelas bagimu dalam Kitab Allah, maka janganlah engkau bertanya kepada sesiapa pun tentangnya. Dan apa yang tidak jelas bagimu dalam Kitab Allah, maka carilah dalam Sunnah Rasulullah . Dan jika ia masih tidak jelas dalam Sunnah, maka berijtihadlah dengan pendapatmu." (Ibn ‘Abd al-Barr dalam Jami’ Bayan al-‘Ilm Wa Fadhlih 2/848)

Kata Abdullah bin Mas‘ud رضي الله عنه:

مَنْ عرضَ لَهُ مِنْكُمْ قَضَاءٌ فَلْيَقْضِ بِمَا فِي كِتَابِ اللَّهِ، فَإِنْ جَاءَهُ مَا لَيْسَ فِي كِتَابِ اللَّهِ فَلْيَقْضِ بِمَا قَضَى بِهِ نَبِيُّهُ ﷺ، فَإِنْ جَاءَهُ أَمْرٌ لَيْسَ فِي كِتَابِ اللَّهِ وَلَمْ يَقْضِ بِهِ نَبِيُّهُ ﷺ فَلْيَقْضِ بِمَا قَضَى بِهِ الصَّالِحُونَ، فَإِنْ جَاءَهُ أَمْرٌ لَيْسَ فِي كِتَابِ اللَّهِ وَلَمْ يَقْضِ بِهِ نَبِيُّهُ ﷺ وَلَمْ يَقْضِ بِهِ الصَّالِحُونَ فَلْيَجْتَهِدْ رَأْيَهُ، فَإِنْ لَمْ يُحْسِنْ فَلْيُقِرَّ وَلَا يَسْتَحي

"Sesiapa di antara kamu yang dihadapkan dengan suatu perkara untuk diputuskan, maka hendaklah ia memutuskan berdasarkan apa yang terdapat dalam Kitab Allah. Jika datang kepadanya sesuatu yang tidak terdapat dalam Kitab Allah, maka hendaklah ia memutuskan berdasarkan apa yang telah diputuskan oleh Nabi-Nya . Jika datang kepadanya sesuatu yang tidak terdapat dalam Kitab Allah dan tidak pula telah diputuskan oleh Nabi-Nya , maka hendaklah ia memutuskan berdasarkan apa yang telah diputuskan oleh orang-orang soleh. Jika datang kepadanya sesuatu yang tidak terdapat dalam Kitab Allah, tidak pula telah diputuskan oleh Nabi-Nya dan juga tidak oleh orang-orang soleh, maka hendaklah ia berijtihad dengan pendapatnya. Jika ia tidak mampu, maka hendaklah ia mengakui kelemahannya dan jangan merasa malu."

Demikianlah juga Ibn Abbas رضي الله عنهما, apabila ditanya tentang sesuatu perkara, jika beliau mendapati perkara itu terdapat dalam Kitab Allah, beliau akan menetapkannya berdasarkan Kitab Allah. Jika tidak terdapat dalam Kitab Allah tetapi ada dalam Sunnah Rasulullah , beliau akan menetapkannya berdasarkan Sunnah. Jika tidak terdapat dalam Kitab Allah dan tidak pula dalam Sunnah Rasulullah , tetapi terdapat dalam keputusan Abu Bakar dan Umar, beliau akan mengikutinya. Namun, jika tidak terdapat dalam Kitab Allah, tidak dalam Sunnah Rasulullah , dan juga tidak dalam keputusan Abu Bakar serta Umar, maka beliau akan berijtihad dengan pendapatnya sendiri. Setelah menyenaraikan riwayat-riwayat ini, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkata:

وهذه الآثار ثابتة عن عمر، وابن مسعود، وابن عباس، وهم من أشهر الصحابة بالفتيا والقضاء

"Dan atsar-atsar ini sahih daripada Umar, Ibn Mas’ud, dan Ibn Abbas, yang mana mereka termasuk dalam kalangan sahabat yang paling terkenal dalam berfatwa dan memutuskan hukum." (Majmu’ al-Fatawa, 19/201).

Para sahabat رضي الله عنهم telah bersepakat (ijma’) untuk berhukum dengan qiyas dalam banyak peristiwa yang jumlah keseluruhannya mencapai tahap mutawatir. Antaranya ialah qiyas zakat ke atas solat dalam hukum memerangi orang yang enggan menunaikannya, kerana kedua-duanya adalah ibadah yang termasuk dalam rukun Islam. Para tabi‘in serta ulama selepas mereka juga tetap menggunakan qiyas dan menetapkan hukum.

‘Umar رضي الله عنه ketika menghantar surat kepada Abu Musa al-Asy‘ari رضي الله عنه menyebut: وَاعْرِفْ الْأَشْبَاهَ وَالْأَمْثَالَ وَقِسْ الْأُمُورَ  bermaksud: "Kenalilah perkara-perkara yang serupa dan sebanding, serta lakukanlah qiyas dalam menetapkan hukum.Kata Ibn al-Qayyim RH:

وهذا كتاب جليل تلقاه العلماء بالقبول

"Ini adalah kitab yang agung, yang telah diterima oleh para ulama dengan penuh penghormatan." (I’lam al-Muwaqqi’in, 1/86)

 

DALIL-DALIL YANG DIPERSELESIHKAN

Terdapat beberapa dalil yang diperselisihkan dalam kalangan ulama. Muhammad Mustafa al-Zuhaili dalam al-Wajiz Fi Usul al-Fiqh al-Islami menyenaraikan sebanyak tujuh perkara iaitulah al-Istihsan, al-Masalah al-Mursalah atau al-Istislah (الإستصلاح), al-Istishab, al-‘Urf, Qawl al-Sahabi, Syar‘u man qablana dan Sadd al-Zara’ie’.

Dr. Mustafa Bugha pula dalam Athar al-Adillah al-Mukhtalaf Fiha Fi al-Fiqh al-Islami, hlm: 18:

وأما ما كان موضع اختلاف لدى الأئمة المعتبرين، فهي كثيرة ومتعددة: كإجماع أهل المدينة، وقول الصحابي، والاستصحاب، والاستصلاح، والاستحسان، وشرع من قبلنا، والأخذ بالأقل، والاستقراء، والقول بسد الذرائع، وغير ذلك

Adapun sumber yang menjadi perselisihan dalam kalangan para imam mujtahid yang diiktiraf, maka ia banyak dan belbagai, seperti: Ijmak penduduk Madinah, pendapat sahabat, Istishab, Istislah (Maslahah Mursalah), Istihsan, syariat umat sebelum kita, mengambil hukum yang lebih ringan, Istiqra' (penelitian menyeluruh), Sadd al-Dzari’ah (menutup pintu kerosakan), dan lain-lain.

          Dr. Abdul Karim Zaidan dalam al-Wajiz Fi Usul al-Fiqh, hlm; 148 menyebut:

النوع الثالث: وهو محل اختلاف بين العلماء، حتى بين جمهورهم الذين قالوا بالقياس، وهذا النوع يشمل: العرف، والاستصحاب، والاستحسان، والمصالح المرسلة، وشرع من قبلنا، ومذهب الصحابي. فمن العلماء من اعتبر هذا النوع من مصادر التشريع ، ومنهم من لم يعتبره

Jenis yang ketiga ialah sumber yang menjadi perselisihan dalam kalangan ulama, bahkan dalam kalangan majoriti yang menerima Qiyas. Jenis ini merangkumi: ‘Urf, Istishab, Istihsan, Maslahah Mursalah, syariat umat sebelum kita, dan mazhab sahabat. Sebahagian ulama menganggap jenis ini sebagai sumber pensyariatan, manakala sebahagian yang lain tidak menganggapnya demikian.

Namun semua dalil Syar‘iyyah ini, sama ada yang disepakati atau yang tidak disepakati saling memiliki kaitan seperti berikut;

  1. Dalil-dalil yang disepakati ada empat, iaitu: Al-Qur'an, Sunnah, Ijma', dan Qiyas.[3]
  2. Dalil-dalil yang diperselisihkan semuanya kembali kepada dalil-dalil yang disepakati dari segi asalnya dan bukti atas kethabitannya.[4] Dengan itu, dapat diketahui, bahawa;
    1. Dalil-dalil syar’i sama ada yang disepakati atau yang diperselisihkan, sandarannya kepada empat dalil yang disepakati.[5]
    2. Empat dalil yang disepakati tersebut sandarannya adalah kepada Al-Qur'an dan Sunnah, manakala semua dalil sandaran utamanya adalah kepada Al-Qur'an.[6]
    3. Empat dalil yang disepakati tersebut adalah bersama dan tidak terpisah, saling melengkapi dan tidak bertentangan, kerana semuanya adalah hak, dan hak tidak bercanggah, malah saling membenarkan antara satu sama lain.[7]
    4. Dalil-dalil syar'i dari segi kewajipan mengamalkannya berada dalam kedudukan yang sama, kerana semuanya wajib diikuti dan dijadikan hujah.[8]

 



[1] Kata Dr Mustafa Bugha dalam Athar al-Adillah al-Mukhtalaf Fiha Fi al-Fiqh al-Islami, hlm: 18:

أما ما كان منها موضع اتفاق فهو: الكتاب والسنة والإجماع والقياس، أما الكتاب والسنة: فهما موضع إجماع المسلمين على اختلاف نحلهم وتعدد مذاهبهم، وأما الإجماع والقياس فهما - أيضاً - موضع اتفاق الأئمة المعتبرين وأصحاب المذاهب المشهورين، وإن خالف فيهما ـ أو في أحدهما بعض الناس من أهل النحل .

Adapun sumber yang menjadi kesepakatan ialah: Al-Quran, Sunnah, Ijmak, dan Qiyas. Adapun Al-Quran dan Sunnah, keduanya adalah sumber yang telah disepakati oleh seluruh umat Islam, tanpa mengira aliran dan mazhab mereka. Sementara itu, Ijmak dan Qiyas pula merupakan sumber yang telah disepakati oleh para imam mujtahid yang diiktiraf serta pengikut mazhab-mazhab yang masyhur, walaupun terdapat sebilangan kecil dari kalangan ahli aliran tertentu yang menolak salah satu daripadanya atau kedua-duanya.

Dr. Abdul Karim Zaidan dalam al-Wajiz, hlm. 148 menyatakan dalil yang disepakati oleh semua ulama umat Islam ialah al-Quran dan al-Sunnah. Ijma’ dan qiyas menjadi kesepakatan dalam kalangan kebanyakan ulama atau jumhur. Di mana ijmak sebagai dalil tidak dipersetujui oleh al-Nazzham dari kalangan muktazilah dan sebahagian Khawarij. Manakala qiyas tidak dipersetujui oleh al-Ja’fariyyah dan al-Zahiriyyah.

[2] Hadis dengan lafaz ini telah diriwayatkan oleh Abu Dawud dalam Sunannya (3/303) dengan nombor (3592) dan oleh At-Tirmizi (3/616) dengan nombor (1327). Al-Khatib Al-Baghdadi telah menilai hadis ini sebagai sahih dan berkata:

على أن أهل العلم قد تقبلوه واحتجوا به فوقفنا بذلك على صحته عندهم

"Sesungguhnya para ulama telah menerimanya dan berhujah dengannya, maka dengan itu, kita mengetahui bahawa hadis ini sahih di sisi mereka." (Lihat: Al-Faqih wa Al-Mutafaqqih 1/189).

 

Namun, sebahagian ahli hadis ada yang menilai lemah sanad hadis ini, tetapi mereka tetap mengakui kesahihan maknanya. Perkara dapat diperhatikan dalam I’lam al-Muwaqqi’in (1/202), Tuhfat al-Talib (151), Al-Mu’tabar oleh Az-Zarkasyi (63) dan Al-Ibtihaj bi Takhrij Ahadith al-Minhaj (210).

Sheikh Al-Albani berpandangan hadis ini lemah dari sudut sanadnya, dan dalam matannya terdapat percanggahan dengan prinsip utama syariat, iaitu tidak boleh memisahkan hukum antara Al-Quran dan Sunnah, kerana kedua-duanya wajib diambil secara bersama seperti yang dijelaskan dalam Manzilat as-Sunnah fi al-Islam wa Bayan Annahu La Yustaghna ‘Anha bil-Quran (hlm. 21-22) dan Silsilah al-Ahadith ad-Da‘ifah (2/273) dengan nombor (881).

 

[3] وذلك من حيث الجملة: انظر: "الفقيه والمتفقه" (١/٥٤، ٥٥) ، و"مجموع الفتاوى" (٢٠/٤٠١) ، و"مختصر ابن اللحام" (٧٠) ، و"شرح الكوكب المنير" (٢/٥) ، و"وسيلة الحصول" (٨) .

[4] قال الشافعي: «.....وأنه لا يلزم قول بكل حال إلا بكتاب الله، أو سنة رسوله ﷺ، وأن ما سواهما تبع لهما. (جماع العلم –(11

[5] أن الأدلة الشرعية - المتفق عليها والمختلف فيها -ترجع إلى الأدلة الأربعة المتفق عليها

[6] أن الأدلة الأربعة ترجع إلى الكتاب والسنة والجميع يرجع إلى الكتاب

[7] أن الأدلة الأربعة متفقة لا تختلف، متلازمة لا تفترق؛ إذ الجميع حق، والحق لا يتناقض بل يصدق بعضه بعضا

[8] الأدلة الشرعية من حيث وجوب العمل بها في مرتبة واحدة، إذ الجميع يجب اتباعه والاحتجاج به


Cetak  
Wallahu a'lam