Soalan:
Menggugurkan kandungan yang berusia 112 hari, belum cukup empat bulan, apakah dikenakan diat?
Jawapan:
Sebahagian ulama berpendapat janin tidak diwajibkan diyat (denda) ke atasnya melainkan selepas 120 hari. Oleh itu, dalam tempoh yang disebutkan (iaitu sebelum 120 hari), tidak wajib dikenakan diyat kerana ia belum mencapai tempoh di mana roh ditiupkan ke dalam janin. Dalam Hasyiah Ibn Abidin dari mazhab Hanafi disebutkan:
قَالَ فِي النَّهْرِ: بَقِيَ هَلْ يُبَاحُ الْإِسْقَاطُ بَعْدَ الْحَمْلِ؟ نَعَمْ يُبَاحُ مَا لَمْ يَتَخَلَّقْ مِنْهُ شَيْءٌ، وَلَنْ يَكُونَ ذَلِكَ إلَّا بَعْدَ مِائَةٍ وَعِشْرِينَ يَوْمًا، وَهَذَا يَقْتَضِي أَنَّهُمْ أَرَادُوا بِالتَّخْلِيقِ نَفْخَ الرُّوحِ وَإِلَّا فَهُوَ غَلَطٌ؛ لِأَنَّ التَّخْلِيقَ يَتَحَقَّقُ بِالْمُشَاهَدَةِ قَبْلَ هَذِهِ الْمُدَّة
"Dalam kitab al-Nahr disebutkan: Adakah harus menggugurkan kandungan selepas berlaku kehamilan? Ya, diharuskan selagi belum terbentuk sesuatu daripadanya, dan itu (pembentukan atau penciptaan) tidak berlaku kecuali selepas 120 hari. Ini menunjukkan bahawa mereka (ulama mazhab Hanafi) yang mengatakan 'telah terbentuk' itu bermaksud ditiupkan roh. Jika sebaliknya, maka itu adalah kesilapan, kerana pembentukan makhluk dapat disaksikan mula berlaku sebelum tempoh itu." Tamat petikan.
Sebahagian ulama pula berpendapat bahawa diyat tetap wajib sekalipun kandungan yang gugur itu masih berupa 'alaqah' (segumpal darah), dan ini berlaku sebelum 80 hari. Manakala ramai ulama berpendapat bahawa diyat hanya wajib jika telah kelihatan rupa bentuk manusia, dan perkara ini dirujuk kepada pengetahuan ahli yang dipercayai. Dalam al-Mawsu‘ah al-Fiqhiyyah disebutkan:
وقال المالكية: في الجنين ما سبق من الأحكام وإن كان علقة، أي دما مجتمعا إذا صب عليه ماء حار لا يذوب. وقال الشافعية: إذا ألقت المرأة بالجناية عليها لحما، قال القوابل: - أي أربع منهن، أو رجل وامرأتان، أو رجلان - فيه صورة خفية - أي تخفى على غير القوابل - كنحو يد أو رجل لا يعرفها غيرهن، ففيه الغرة والكفارة. ولو قلن: ليس فيه صورة ظاهرة ولا خفية، ولكنه أصل آدمي لو بقي لتصور، فلا غرة فيه ولا كفارة. وقال الحنابلة: إن ألقت مضغة، فشهد ثقات من القوابل أن فيه صورة خفية، ففيه غرة، وإن شهدن أنه مبتدأ خلق آدمي لو بقي تصور. ففيه وجهان: أصحهما: لا شيء فيه؛ لأنه لم يتصور، فلم يجب فيه كالعلقة؛ ولأن الأصل براءة الذمة فلا تشغل بالشك. والثاني: فيه غرة؛ لأنه مبتدأ خلق آدمي أشبه ما لو تصور. انتهى.
Ulama mazhab Maliki berpendapat bahawa janin dalam perbincangan yang sebelum ini berkaitan hukum-hakamnya dikenakan juga terhadap janin yang masih dalam bentuk 'alaqah', iaitu darah yang berkumpul yang jika dituangkan air panas ke atasnya tidak akan lerai. Manakala ulama mazhab Syafi‘i berpendapat: Jika seorang wanita keguguran akibat jenayah dan yang keluar itu adalah ketulan daging, lalu empat orang bidan wanita , atau seorang lelaki bersama dua wanita, atau dua lelaki menyatakan bahawa terdapat bentuk atau rupa (insan) yang samar padanya – yang mana bentuk dan rupa tersebut tersembunyi atau tidak dapat dikesan oleh mereka yang bukan bidan - seperti tangan atau kaki yang tidak dapat dikenali oleh orang lain selain mereka, maka wajib dikenakan ghurrah (denda) dan kaffarah. Tetapi jika mereka berkata: Tiada bentuk yang zahir mahupun samar (tersembunyi), cuma ia merupakan asal kejadian manusia yang jika kekal berada dalam perut pasti akan terbentuk, maka tiada ghurrah dan tiada kaffarah. Ulama mazhab Hanbali pula berpendapat: Jika yang gugur itu ketulan daging, lalu disaksikan oleh mereka yang dipercayai daripada kalangan bidan menyatakan terdapat bentuk insan yang samar atau tersembunyi padanya, maka dikenakan ghurrah. Jika mereka (bidan-bidan wanita) menyatakan bahawa itu adalah permulaan penciptaan, jika terus kekal dalam perut ia akan berbentuk insan, maka terdapat dua pendapat (wajh): Pendapat Asah: Tiada apa-apa kewajipan padanya, kerana ia masih belum berbentuk dengan jelas, maka tidak diwajibkan diyat sepertimana jika ia ‘alaqah. Ini kerana hukum asal adalah tidak menanggung dosa sehingga ada bukti yang yakin. Pendapat kedua: Dikenakan ghurrah, kerana ia adalah permulaan ciptaan manusia, maka ia menyerupai apa-apa yang telah terbentuk.”
Kesimpulannya, berdasarkan pendapat-pendapat yang disebut, janin yang gugur ketika berusia 112 hari tidak wajib dikenakan diyat menurut sebahagian ulama, seperti yang dinyatakan oleh Ibn Abidin dari kalangan ulama Hanafiyyah. Namun menurut ulama Malikiyyah, diyat tetap wajib dikenakan tanpa ragu. Manakala menurut ulama Syafi‘iyyah dan Hanabilah, diyat hanya diwajibkan jika saksi-saksi yang dipercayai menyatakan bahawa janin itu telah terbentuk. Pendapat terakhir ini adalah lebih berhati-hati.