SDI 1774: Keguguran Kerana Kecuaian

Soalan:

Seorang wanita yang kandungannya gugur disebabkan kecuaian atau kerana tidak mengetahui peraturan kesihatan untuk menjaga kandungan, adakah dia wajib membayar kifarah kerana membunuh tanpa sengaja? Dan jika dia wajib melakukannya, adakah dia boleh berpuasa selama dua bulan berturut-turut, disebabkan pembebasan hamba tidak boleh lagi dilakukan pada hari ini. Semoga Allah membalas ustaz dengan kebaikan.

Jawapan:

Jika seorang wanita hamil melakukan sesuatu perbuatan yang biasanya boleh menjadi sebab keguguran kandungan, lalu kandungannya gugur akibat perbuatan tersebut, seperti meminum ubat hingga menyebabkan keguguran, maka dia bertanggungjawab atas keguguran tersebut dan dikenakan ke atasnya dhaman. Diwajibkan dia membayar g̱urrah (الغرة), yang nilainya adalah satu persepuluh daripada diyat ibu iaitu nilai harga lima ekor unta, dan dia juga diwajibkan membayar kifarah. Ibn Qudamah menyebut dalam al-Mughni 12/81 berkenaan kenyataan penulis al-Matn:

(وَإذَا شَرِبَتِ الْحَامِلُ دَوَاءً، فَألْقَتْ بِهِ جَنِينًا، فَعَلَيْهَا غُرَّةٌ، لَا تَرِثُ مِنْهَا شَيْئًا، وتَعْتِقُ رَقَبَةً) ليس في هذه الجملة اختلافٌ بينَ أهلِ العلمِ نَعْلَمُه، إلَّا ما كان من قولِ مَنْ لم يُوجِبْ عِتْقَ الرَّقَبةِ

“(Jika wanita hamil meminum ubat, lalu menyebabkan kandungannya gugur, maka dia wajib membayar g̱urah (denda), dan dia tidak mewarisi apa-apa daripada janin itu, serta wajib membebaskan seorang hamba).” (Kata Ibn Qudamah:) Tiada khilaf (perselisihan) dalam kalangan ahli ilmu yang kami ketahui berkenaan kenyataan ini, kecuali daripada sebahagian ulama yang tidak mewajibkan pembebasan hamba.”

G̱urrah boleh gugur jika waris janin memaafkannya, tetapi kifarah tetap wajib dilakukan. Kifarah yang dimaksudkan ialah: membebaskan seorang hamba. Jika tidak mampu, maka wajib berpuasa dua bulan berturut-turut, berdasarkan firman Allah Ta‘ala:

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ أَنْ يَقْتُلَ مُؤْمِنًا إِلَّا خَطَأً وَمَنْ قَتَلَ مُؤْمِنًا خَطَأً فَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍ مُؤْمِنَةٍ وَدِيَةٌ مُسَلَّمَةٌ إِلَى أَهْلِهِ إِلَّا أَنْ يَصَّدَّقُوا فَإِنْ كَانَ مِنْ قَوْمٍ عَدُوٍّ لَكُمْ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍ مُؤْمِنَةٍ وَإِنْ كَانَ مِنْ قَوْمٍ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ مِيثَاقٌ فَدِيَةٌ مُسَلَّمَةٌ إِلَى أَهْلِهِ وَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍ مُؤْمِنَةٍ فَمَنْ لَمْ يَجِدْ فَصِيَامُ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ تَوْبَةً مِنَ اللَّهِ وَكَانَ اللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا

"Dan tidak wajar bagi seorang Mukmin membunuh Mukmin yang lain kecuali kerana tersilap, dan sesiapa yang membunuh seorang Mukmin kerana tersilap, maka (hendaklah ia) membebaskan seorang hamba yang beriman serta membayar diyat kepada keluarganya, kecuali jika mereka bersedekah dengannya. Jika dia (yang dibunuh itu) dari kaum yang memusuhi kamu, sedangkan dia seorang Mukmin, maka (wajib ke atas pembunuh) membebaskan seorang hamba Mukmin. Dan jika dia dari kaum yang ada perjanjian (damai) antara kamu dan mereka, maka wajib membayar diyat kepada keluarganya dan membebaskan seorang hamba Mukmin. Maka sesiapa yang tidak mendapat (hamba untuk dibebaskan), hendaklah dia berpuasa dua bulan berturut-turut sebagai taubat kepada Allah. Dan Allah Maha Mengetahui, Maha Bijaksana.” [Surah al-Nisā’: 92]

 


Cetak  
Wallahu a'lam