SDI 1775: Diat Janin

Soalan:

Seorang wanita mendapati dirinya mengandung beberapa minggu selepas haidnya tidak datang. Lalu dia menggugurkan kandungan tersebut tanpa pengetahuan suami. Bagaimana pula jika dia menggugurkan kandungannya setelah berusia dua bulan?

Jawapan:

Pengguguran janin adalah haram dari sudut syarak kerana ia merupakan satu bentuk pencerobohan terhadap satu nyawa yang berpotensi untuk lahir ke dunia, memuji Allah, beriman kepada-Nya, dan menyembah-Nya.

Pengharaman ini menjadi lebih berat dan dosanya lebih besar sekiranya ia dilakukan selepas roh ditiupkan ke dalam janin, kerana ketika itu ia sudah dianggap sebagai tindakan membunuh satu jiwa yang diharamkan oleh Allah. Oleh itu, pengguguran adalah tidak dibenarkan, sama ada dengan izin suami atau tanpa izinnya.

Para ulama hanya membenarkan pengguguran dalam satu keadaan darurat yang diiktiraf syarak, iaitu apabila kandungan itu menimbulkan ancaman yang pasti terhadap nyawa si ibu, dan ancaman tersebut hanya boleh diterima melalui laporan daripada doktor-doktor yang amanah dan pakar.

Sekiranya wanita itu melakukan pengguguran tanpa sebarang keperluan mendesak yang dibenarkan di sisi syarak seperti yang dinyatakan di atas, maka dia wajib bertaubat dengan taubat nasuha, memperbanyakkan istighfar dan amal soleh, mudah-mudahan Allah mengampunkan dosanya, menerima taubatnya, dan menghapuskan kesalahan yang telah dilakukan.

Jika pengguguran itu berlaku sebelum janin terbentuk, maka tiada kifarah yang dikenakan ke atasnya selain daripada taubat. Tetapi jika ia berlaku selepas janin terbentuk, seperti selepas janin berusia lebih dari 40 hari kehamilan, maka wajib membayar g̱urrah (iaitu memerdekakan seorang hamba lelaki atau wanita). Jika tiada, maka wajib membayar satu persepuluh daripada diyat ibu janin (harga lima ekor unta), kerana Nabi telah menetapkan dalam kes pengguguran janin bahawa hukumannya ialah g̱urrah (memerdekakan hamba lelaki atau wanita), sebagaimana yang diriwayatkan dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah RA katanya:

اقْتَتَلَتِ امْرَأَتَانِ مِنْ هُذَيْلٍ، فَرَمَتْ إِحْدَاهُمَا الْأُخْرَى بِحَجَرٍ قَتَلَتْهَا وَمَا فِي بَطْنِهَا، فَاخْتَصَمُوا إِلَى النَّبِيِّ ﷺ، فَقَضَى أَنَّ دِيَةَ جَنِينِهَا غُرَّةٌ، عَبْدٌ أَوْ وَلِيدَةٌ، وَقَضَى دِيَةَ الْمَرْأَةِ عَلَى عَاقِلَتِهَا

"Dua orang wanita daripada (kabilah) Huzail telah bergaduh. Salah seorang daripada mereka telah melontar wanita yang satu lagi dengan batu, lalu menyebabkan kematian wanita tersebut (setelah beberapa hari) bersama kandungan dalam perutnya. Maka mereka membawa kes itu kepada Nabi . Baginda memutuskan bahawa diyat bagi janinnya ialah g̱urrah – iaitu seorang hamba lelaki atau hamba perempuan – dan Baginda menetapkan diyat bagi wanita yang terbunuh itu ke atas ‘āqilah wanita yang membunuh secara tidak sengaja."

               Para ulama mengatakan bahawa nilai "ghurrah" (denda kerana menggugurkan janin) – jika tidak terdapat hamba – adalah satu persepuluh daripada jumlah diyat ibu (1/10 dari diat seorang wanita iaitu 50 ekor unta). Ulama sepakat bahawa ghurrah ini dikenakan bagi kes menggugurkan janin yang telah kelihatan sebahagian daripada bentuk penciptaannya, tanpa sebarang keuzuran yang dibenarkan oleh syarak, kerana dalam keadaan itu diketahui bahawa janin itu akan menjadi seorang manusia.

Namun para ulama berbeza pendapat jika pengguguran berlaku sebelum itu: adakah ghurrah tetap dikenakan atau tidak?

Pendapat yang lebih berhati-hati ialah, apabila kandungan sudah keluar daripada peringkat ‘nutfah’ (air mani), iaitu setelah melepasi 40 hari dan memasuki fasa kedua 40 hari (iaitu selepas hari ke-41), maka wajib dikenakan ghurrah, sama ada ia berupa ‘alaqah’ (segumpal darah), ‘mudghah’ (segumpal daging), atau bentuk lain. Ini kerana proses pembentukan manusia yang dijadikan syarat oleh golongan yang tidak mewajibkan ghurrah melainkan setelah jelas bentuk janin, sebenarnya telah pun bermula sejak awal fasa kedua ini, sebagaimana ditunjukkan dalam hadis sahih riwayat Muslim bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذا مَرَّ بالنُّطْفَةِ اثْنَتانِ وأرْبَعُونَ لَيْلَة بَعَثَ الله إلَيْها مَلَكًا فَصَوَّرَها وَخَلَقَ سَمْعَها وَبَصَرَها وجِلْدَها ولَحْمَها وعِظامَها ثُمَّ قالَ: يَا رَبِّ أذَكَرٌ أمْ أُنْثى؟ فَيَقْضي رَبُّكَ مَا شاءَ وَيَكْتُبُ المَلَكُ ثُمَّ يَقُولُ: يَا رَبِّ أجَلَهُ فَيَقُولُ رَبُّكَ مَا شاءَ ويَكْتُبُ المَلَكُ ثُمَّ يَقولُ: يَا رَبِّ رِزْقَهُ فَيَقْضي رَبُّكَ مَا شاءَ وَيَكْتُبُ المَلَكُ ثُمَّ يَخْرُجُ المَلَكُ بالصَّحِيفَةِ فِي يَدِهِ فَلَا يَزيدُ على أمْرٍ وَلَا ينقص

"Apabila telah berlalu 42 malam ke atas nutfah (benih atau air mani), Allah mengutuskan malaikat kepadanya, lalu malaikat itu membentuknya (janin), menciptakan pendengarannya, penglihatannya, kulitnya, dagingnya, dan tulangnya. Kemudian malaikat itu berkata: “Wahai Tuhanku, adakah lelaki atau perempuan?” Maka Tuhanmu menetapkan apa yang Dia kehendaki, lalu malaikat menulisnya. Kemudian malaikat berkata: “Wahai Tuhanku, berapa tempoh usianya?” Maka Tuhanmu menetapkan apa yang Dia kehendaki, lalu malaikat menulisnya. Kemudian malaikat berkata: “Wahai Tuhanku, bagaimana rezekinya?” Maka Tuhanmu menetapkan apa yang Dia kehendaki, lalu malaikat menulisnya. Kemudian malaikat keluar dengan membawa lembaran catatan di tangannya; dia tidak menambah atau mengurangkan sedikit pun daripada apa yang telah diperintahkan."

Proses pembentukan ini adalah tersembunyi dan tidak dapat dikesan oleh orang terdahulu, maka mereka yang mensyaratkan kejelasan bentuk janin tidak mengambil kira hakikat ini bagi mendapat kepastian pembentukan itu benar-benar telah berlaku. Tetapi kini, dengan adanya alat dan teknologi moden yang dapat membuktikan bahawa penciptaan sudah bermula pada peringkat ini, maka pembentukan janin dapat diketahui secara ilmiah dan yakin dari permulaan kejadiannya sebagai seorang insan. Justeru, ia sepatutnya diambil kira dalam penentuan hukum dan menyokong pendapat pihak yang mewajibkan ghurrah sejak peringkat ini.

Berdasarkan hal ini, perbuatan menggugurkan bayi yang telah berusia lebih 40 hari tanpa sebarang alasan yang dibenarkan oleh syarak, mewajibkan ghurrah (merdekakan seorang hamba lelaki atau perempuan) atau mengeluarkan nilainya (nilai lima ekor unta), diserahkan nilai ghurrah kepada ahli waris janin mengikut bahagian yang berhak mereka terima. Jika siibu yang menggugurkannya, maka siibu tidak berhak mendapat bahagian ghurrah tersebut.

Ulama berbeza pendapat tentang kewajipan berpuasa dua bulan berturut-turut dalam kes ini. Sebahagian ulama mewajibkannya, kerana mengqiaskan ia dengan hukum pembunuhan jiwa. Manakala sebahagian lain tidak mewajibkannya dengan alasan bahawa Nabi tidak menyebutkan hal itu dalam hukuman baginda yang diriwayatkan berkenaan kes menjadi sebab kepada kematian janin. Inilah juga pandangan ulama mazhab Syafi’e yang berpandangan tidak perlu kaffarah bagi janin yang keguguran sebelum ditiupkan ruh iaitulah sebelum kandungan berusia empat bulan. Oleh itu seseorang yang berpegang dengan pandangan ulama yang mewajibkan kaffarah puasa dua bulan berturut adalah lebih berhati-hati, manakala bagi yang tidak berpuasa adalah berdasarkan pandangan sebahagian ulama lain.


Cetak  
Wallahu a'lam