Olahan semula oleh Ustaz Mohamad Abdul Kadir bin Sahak dari huraian al-Syeikh Sa‘id al-Jabiri Hfz.
Para fuqaha dari mazhab Syafi‘i dan selain mereka telah menyebut dua permasalahan:
Pertama:
Air yang menjadi najis (الماء المتنجس), apabila hilang sifat-sifat najis yang ada di dalamnya, maka air itu menjadi suci. Ini kerana hukum kenajisan itu berkait dengan sebabnya. Sebab yang menjadikan air itu najis adalah apabila padanya terdapat sifat-sifat najis, iaitu perubahan pada bau, rasa atau warna. Oleh sebab itu, apabila wujud sifat-sifat najis padanya, ia dihukum najis. Apabila tiada lagi sifat-sifat najis padanya, maka air itu suci dan najis itu turut tiada.
Hilangnya najis yang berada dalam sesuatu air, boleh berlaku dengan sendirinya iaitu air itu sendiri bertindak memusnahkan najis yang ada di dalamnya atau melalui tambahan air lain ke dalamnya sehingga banyak, lalu air yang banyak itu dapat memusnahkan najis yang ada di dalamnya.
Namun, jika sifat-sifat najis yang ada di dalam air itu hilang dengan sesuatu yang hanya menyembunyikan sifat-sifat najis, maka air itu tidak menjadi suci dan ia kekal sebagai air mutanajjis. Termasuk dalam kategori ini, apabila timbul keraguan apakah najis yang ada di dalam air itu, telah hilang atau sebanarnya ia terselindung dengan sesuatu unsur lain. Jika ia keadaannya, maka kaedah menyatakan: الأصل بقاء النجاسة keberadaan najis yang ad aitu adalah hukum asalnya, maka najis itu tetap ada sehingga terbukti sebaliknya.
Kedua:
Hukum Istihalah (Perubahan Zat). Para ulama menyebut bahawa istihalah (perubahan zat) boleh dihukum suci dalam dua keadaan:
- Kulit bangkai haiwan apabila disamak.
- Arak apabila berubah menjadi cuka dengan sendiri.
Persoalan: Adakah air kumbahan (مياه الصرف) yang telah diproses dan dirawat hingga hilang perubahan asalnya (sifat-sifat najis yang ada padanya) menjadi suci?
Jawapan yang lebih tepat ialah air tersebut berubah kerana telah melalui beberapa peringkat proses pembersihan dan penyingkiran sifat-sifat najis melalui kaedah kimia. Dalam hal ini, tiada keraguan lagi untuk mengatakan mungkin najis masih ada dan tersembunyi di dalam air.
Oleh itu, kita menghukum bahawa air tersebut kembali menjadi air ṭahūr iaitu yang suci dan dapat menyucikan. Ini kerana air mutanajjis yang telah hilang dan tiada lagi sebab yang menjadikan ia najis, kembali menjadi air yang suci dan menyucikan.
Air yang telah hilang najis yang ada di dalamnya, tidak wajar dimasukkan dalam kategori istihalah, kerana ia tidak memenuhi definisi istihalah. Istihalah ialah perubahan zat sesuatu daripada satu keadaan kepada keadaan lain, seperti arak menjadi cuka, atau kulit haiwan berubah daripada sifat daging kepada sifat pakaian.
Tersilap memasukkan permasalah ini ke dalam perbincangan istihalah menjadikan ada dalam kalangan ulama semasa yang masih menghukum air kumbahan yang telah diproses sebagai tidak suci menurut mazhab al-Syafi‘i, kerana istihalah menurut mazhab ini hanya sah dalam dua keadaan yang disebutkan di atas.
Oleh itu, pendapat yang menganggap ia sebagai air najis yang kembali suci kerana hilang sifat kenajisannya adalah lebih utama dan jelas.