Soalan:
Adakah najis manusia selepas melalui proses menjadikannya baja masih dianggap najis, sedangkan ia telah bertukar menjadi baja dan dijual di pasaran. Jika baja yang telah diproses tersebut jika digunakan pada kebun sekitar rumah apakah menyebabkan sekitar kawasan rumah dianggap bernajis?
Jawapan:
Perkara yang disepakati oleh para fuqaha ialah arak menjadi suci (bagi pandangan yang mengatakan arak itu najis) apabila ia bertukar menjadi cuka dengan sendiri tanpa campur tangan manusia.
Adapun selain arak terdiri daripada benda-benda najis yang lain, maka terdapat perselisihan pendapat dalam kalangan fuqaha’ akan kesuciannya setelah melalui proses istihalah (perubahan hakikat).
Ulama mazhab Hanafi, sebahagian ulama mazhab Maliki, ulama mazhab al-Zahiri serta Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah berpendapat bahawa istihalah atau najis yang telah melalui proses perubahan hakikatnya, menjadikan benda yang asalnya najis berubah kepada benda suci. Manakala ulama mazhab Syafi‘e dan zahir mazhab Hanbali berpendapat najis tidak menjadi suci dengan berlakukan proses istihalah.
Ulama dari kumpulan pertama yang mengatakan proses istihalah dapat menukar hukum sesuatu najis menjadi suci dengan alasan bahawa kesucian dan kenajisan bergantung pada hakikat sesuatu benda (حقائق الأعيان). Apabila hakikat sesuatu benda itu hilang, maka hukum yang berkaitan dengannya juga hilang. Berlakunya istihalah atau perubahan hakikat sesuatu ain najis kepada ain lain adalah lebih lebih besar berbanding perubahan yang berlaku dari arak kepada cuka. Oleh kerana itu, menghukum sesuatu yang asalnya najis namun telah hilang hakikat najisnya, berubah kepada hakikat ain yang lain, adalah termasuk dalam perkara من باب أولى iaitu sesuatu yang lebih utama untuk dianggap suci.
Ibn al-Qayyim dalam I‘lam al-Muwaqqi‘in 2/14 menyebut:
ومن الممتنع بقاء حكم الخبيث وقد زال اسمه ووصفه والحكم تابع للاسم والوصف دائر معه وجوداً أو عدما، فالنصوص المتناولة لتحريم الميتة والدم ولحم الخنزير والخمر لا يتناول الزروع والثمار والرماد والملح والخل لا لفظاً ولا معنى ولا نصا ولا قياساً.
“Tidak mungkin hukum kekotoran yang jijik itu kekal sedangkan nama dan sifatnya telah hilang. Ini kerana hukum itu bergantung pada keberadaan atau ketiadaan nama dan sifatnya. Nas-nas yang mengharamkan bangkai, darah, daging khinzir dan arak, tidak meliputi tanaman, buah-buahan, abu, garam dan cuka (yang asalnya dari najis atau mengambil manfaat dari najis), tidak secara lafaz, makna, nas, mahupun qiyas.”
Sebahagian ulama menerima pendapat ini sebagai yang lebih rajih. Maka apa-apa benda yang asalnya najis apabila berlaku proses istihalah, lalu bertukar daripada hakikat asalnya yang merupakan benda najis, kepada benda lain seperti baja, makai a adalah suci. Berdasarkan pandangan ini, halaman rumah anda tidak dihukum najis dengan semata-mata menggunakan baja tersebut.