SDI 1879: Tempoh Hari Haid Berubah Setelah Ambil Perancang

Soalan:

Haid saya ok sebelum ini datang dalam 3 hari. Selepas mengambil perancang haid jadi 19 hari. 3 hari bewarna merah dan baki hari lain lebih kurang 15 atau 16 hari bewarna coklat. Apakah haid saya sekarang sebanyak 19 hari?

Jawapan:

Tempoh maksimum haid adalah 15 hari berdasarkan mazhab Syafi‘e. Darah yang berterusan melebihi tempoh maksimum haid, menunjukkan anda sekarang mengalami istihadhah. Dalam 19 hari yang anda didatangi darah itu, ada antara hari-hari tersebut adalah darah haid, ada pula darah istihadhah.

Bagi mengetahui hari-hari haid, anda boleh bergantung kepada perbezaan warna darah yang anda alami. Di mana warna darah yang kuat menunjukkan ia adalah darah haid, manakala warna darah yang lemah, menunjukkan ia adalah darah istihadah.

Perbezaan warna darah haid dari sudut kekuatan dan kelemahan adalah berdasarkan turutan berikut; hitam –> merah -> coklat -> kuning -> keruh. Kaedah ini dinamakan sebagai kaedah tamyiz yang diutamakan berbanding kaedah melihat kepada ‘adah berdasarkan pandangan mazhab Syafi‘e. kaedah ini dibina berdasarkan hadis Nabi SAW kepada Fatimah binti Abi Hubais (فاطمة بنت أبي حبيش):

إِذَا كَانَ دَمُ الْحَيْضِ، فَإِنَّهُ دَمٌ أَسْوَدُ يُعْرَفُ، فَأَمْسِكِي عَنِ الصَّلَاةِ، فَإِذَا كَانَ الْآخَرُ فَتَوَضَّئِي، فَإِنَّمَا هُوَ عِرْقٌ

Maksudnya: “Apabila darah haid, maka sesungguhnya ia darah hitam yang dikenali. Maka tahanlah diri daripada solat. Tetapi apabila yang lain (darahnya bukan demikian), maka berwuduklah, kerana itu hanyalah darah urat (istihadhah).” (al-Nasai’e, Abu Daud dan Ibn Hibban. Dinilai hasan sahih oleh al-Albani)

Oleh itu haid anda adalah selama 3 hari ketika darah bewarna merah (jika ia  memenuhi kadar minimum haid), manakala hari-hari lain yang darah bewarna coklat adalah darah istihadhah.    


Cetak  
Wallahu a'lam