SDI 1888: Hukum Mulut Kucing Yang Memakan Najis

Soalan:

Salam ustaz. Apakah mulut kucing yang memakan najis dianggap najis juga?

Jawapan:

Jika kucing itu telah pergi sehingga tidak kelihatan lagi, kemudian datang dalam keadaan mulutnya bersih, maka mulutnya dihukum suci. Tidak menjadi najis apa-apa yang dijilatnya ketika itu. Inilah pandangan mazhab Syafi‘e. Saya nukilkan huraian al-Imam al-Nawawi dalam permasalahan ini.

Al-Syirazi dalam al-Muhazzab 1/222 menyatakan:

وإن رأى هرة أكلت نجاسة ثم وردت على ماء قليل فشربت منه فيه ثلاثة أوجه (أحدها) أنها تنجسه لأنا تيقنا نجاسة فمها (والثاني) أنها إن غابت ثم رجعت لم تنجسه لأنه يجوز أن تكون قد وردت على ماء فطهر فمها فلا ينجس ما تيقنا طهارته بالشك (والثالث) لا ينجس بكل حال لأنه لا يمكن الاحتراز منها فعفي عنها ولهذا قال النبي صلى الله عليه وسلم {إنها من الطوافين عليكم والطوافات}

“Dan jika seseorang melihat kucing telah memakan najis lalu datang kepada air sedikit lalu kucing itu minum darinya, maka ada tiga pendapat (awjuh): Pendapat pertama: Air itu menjadi najis kerana kita yakin bahawa mulut kucing itu najis. Pendapat kedua: Jika kucing itu pergi sehingga tidak kelihatan kemudian kembali, maka kucing itu tidak menjadi air yang diminumnya najis, kerana boleh jadi ia telah mendatangi air lain dan mulutnya menjadi suci. Maka ia tidak menajiskan sesuatu yang kita yakini kesuciannya hanya dengan keraguan. Pendapat ketiga: Air itu tidak najis dalam apa jua keadaan kerana mustahil untuk menghindar daripadanya, maka ia dimaafkan. Oleh sebab itu Nabi bersabda: “Sesungguhnya ia (kucing) termasuk daripada haiwan yang sering berlegar di sekitar kamu (di rumah-rumah) kamu, sama ada yang jantan mahupun yang betina.”

Al-Imam al-Nawawi 1/223 ketika menghuraikan kenyataan al-Syirazi ini menyatakan:

هذه الأوجه مشهورة ودلائلها كما ذكره المصنف وأصحها عند الجمهور الوجه الثاني، وهو أنها إن غابت وأمكن ورودها على ماء كثير بحيث إذا ولغت فيه طهر فمها ثم رجعت فولغت لم ينجس ما ولغت فيه، وإن ولغت قبل أن تغيب أو بعد أن غابت ولم يمكن ورودها على الماء الموصوف نجسته، ودليل هذا الصحيح أنها إذا غابت ثم ولغت فقد تيقنا طهارة الماء وشككنا في نجاسة فمها، فلا ينجس الماء المتيقن بالشك، وإذا لم تغب وولغت فهي نجاسة متيقنة. وليس في الحديث أن الهرة كانت نجسة الفم وما يستدل به القائل بالطهارة مطلقا من عسر الاحتراز عنها لا يسلم، فإن العسر إنما هو في الاحتراز من مطلق الولوغ، لا من ولوغ بعد تيقن النجاسة، وحكي عن المصنف أنه صحح أنها لا تنجسه بحال ، وهذا هو الأحسن عند الغزالي في الوجيز، ودليله الحديث وعموم الحاجة وعسر الاحتراز وقد قال الله تعالى: {وما جعل عليكم في الدين من حرج} وفي تنجيس هذا حرج، وقد علم أن بيت رسول الله صلى الله عليه وسلم ليس بحضرته ماء كثير يطهر فمها، ولم يعلل صلى الله عليه وسلم بورودها الماء بل بعسر الاحتراز. وخالف صاحب الحاوي الأصحاب فقال: إن ولغت قبل أن تغيب نجسته وإن غابت فوجهان الأصح تنجسه. ذكره في مسألة اشتراط الماء في إزالة النجاسة، والمشهور تصحيحه ما قدمناه من الفرق بين غيبتها وعدمها، وكذا نقل الرافعي عن معظم الأصحاب تصحيحه. ثم صورة المسألة إذا تيقنا نجاسة فمها بأكل نجاسة أو ولوغها في ماء نجس أو نجاسة فمها بدم أو غيره، ولا فرق في هذا كله بين ولوغها في ماء ناقص عن قلتين أو مائع آخر

Pendapat-pendapat (awjuh) ini masyhur dan dalil-dalilnya sebagaimana disebutkan oleh penulis (al-Imam al-Syirazi). Pendapat yang paling sahih (Asah) menurut jumhur (majoriti ulama) adalah pendapat kedua, iaitu: jika kucing itu telah pergi sehingga tidak kelihatan dan mungkin ia telah mendatangi air yang banyak, yang apabila ia menjilat air tersebut akan menjadikan mulutnya suci, kemudian ia kembali dan menjilat lagi, maka ia tidak menajiskan air yang dijilatnya itu. Adapun jika kucing itu menjilat sebelum ia pergi sehingga tidak kelihatan, atau selepas ia pergi tetapi tidak mungkin ia mendatangi air yang telah disebutkan (iaitu air yang banyak), maka ia menjadi air yang dijilatnya najis. Dalil yang dinyatakan adalah sahih iaitu, apabila kucing itu telah pergi sehingga tidak kelihatan lagi kemudian menjilat air, maka kita yakin air yang dijilatnya itu suci dan kita ragu akan kenajisan mulutnya. Maka tidak boleh menghukum najis air yang diyakini suci dengan keraguan. Tetapi jika kucing itu tidak pergi sehingga tidak kelihatan lalu menjilat air, sedangkan kenajisan mulut kucing itu diyakini (maka ia menjadikan air yang dijilatnya najis). Tidak terdapat dalam hadis bukti mulut kucing yang menjilat air dalam hadis itu najis. Maka apa yang dijadikan dalil oleh mereka yang berpendapat mulut kucing adalah suci secara mutlak, kerana kesukaran untuk menghindarinya, tidak dapat diterima. Ini kerana kesukaran itu hanyalah dalam menghindari jilatan kucing secara umum, bukan jilatan selepas diyakini mulutnya najis. Diriwayatkan daripada penulis (al-Imam al-Syirazi) bahawa beliau menilai sahih pendapat bahawa jilatan kucing tidak menajiskan air dalam semua keadaan, dan ini adalah pendapat yang dianggap terbaik oleh al-Ghazali dalam al-Wajiz. Dalilnya adalah hadis, keperluan yang umum, dan kesukaran untuk menghindarinya, Allah Ta‘ala pula berfirman: “Dan Dia tidak menjadikan bagi kamu dalam agama ini sebarang kesempitan.” Menghukum najis air dalam keadaan ini akan membawa kesempitan. Telah diketahui bahawa rumah Rasulullah tidak mempunyai air yang banyak untuk menyucikan mulut kucing, dan baginda tidak memberikan alasan dengan “kemungkinan kucing mendatangi air” tetapi dengan “kesukaran untuk menghindarinya”. Penulis kitab al-Hawi telah berbeza dengan para ashab (ulama mazhab) dan berkata: jika kucing menjilat sebelum ia pergi sehingga menghilang maka air itu najis, dan jika ia pergi sehingga hilang dari penglihatan maka ada dua pendapat, yang asah atau paling sahih ialah ia tetap menajiskan air. Beliau menyebutkan hal ini dalam masalah syarat air dalam menghilangkan najis. Namun pendapat yang masyhur dan yang dinilai sahih adalah seperti yang telah kami sebutkan terdahulu, iaitu perbezaan antara keadaan ketika kucing itu menghilang dari penglihatan atau tidak. Al-Rafi‘i juga meriwayatkan bahawa majoriti ulama mensahihkan pendapat ini. Gambaran masalah ini adalah: jika kita yakin bahawa mulut kucing itu najis, sama ada kerana ia makan najis, atau menjilat air najis, atau mulutnya terkena darah atau najis lain, maka tidak ada perbezaan dalam semua keadaan ini antara ia menjilat air yang kurang dari dua qullah atau cecair lain.”

 


Cetak  
Wallahu a'lam