SDI 1894: Hukum Anak Mumayyiz Melanggar Sumpah Dengan Nama Allah

Soalan:

Assalamualaikum Ustaz.

mohon pencerahan kepada situasi berikut.

Sumpah / Berjanji dengan nama Allah

i. Anak saya semasa berumur 12 tahun mempunyai tabiat mengopek kulit kering pada bibir, kadang-kadang sehingga luka. Akibat sering ditegur agar menghentikan tabiat tersebut, beliau telah bersumpah/berjanji dengan lafaz Allah agar tidak mengulangi perkara tersebut. Namun, tanpa disedari beliau telah mengulangi perkara tersebut.

ii. Apakah nasihat Ustaz bagi menutup kesalahan ini?

Adakah dengan berpuasa selama 3 hari memadai dan adakah perlu berpuasa secara berterusan atau berasingan?

iii. Sekiranya beliau mengulangi tabiat tersebut selepas melengkapkan puasa 3 hari itu, adakah perlu mengulangi puasa 3 lagi, atau pun boleh dianggap telah selesai?

Terima kasih

Jawapan:

Pertama: Nasihat anak anda dan jangan biarkan dia bermudah-mudah melafazkan sumpah.

Kedua: Majoriti ulama berpandangan sumpah yang dilafazkan oleh mereka yang belum baligh tidak terlaksana. Dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 7/266 dinyatakan:

وَأَمَّا الصَّبِيُّ فَالْجُمْهُورُ يَرَوْنَ أَنَّ يَمِينَهُ لاَ تَنْعَقِدُ، وَأَنَّهُ لَوْ حَنِثَ - وَلَوْ بَعْدَ الْبُلُوغِ - لَمْ تَلْزَمْهُ كَفَّارَةٌ، وَعَنْ طَاوُسٍ أَنَّ يَمِينَهُ مُعَلَّقَةٌ، فَإِنْ حَنِثَ بَعْدَ بُلُوغِهِ لَزِمَتْهُ الْكَفَّارَةُ. وَحُجَّةُ الْجُمْهُورِ قَوْلُهُ ﷺ: رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلاَثَةٍ: عَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ، وَعَنِ الْمَجْنُونِ حَتَّى يُفِيقَ، وَعَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَبْلُغَ

Maksudnya: Adapun kanak-kanak, maka jumhur ulama berpendapat bahawa sumpahnya tidak sah, dan jika dia melanggar sumpah itu — sekalipun selepas mencapai baligh — tidak wajib ke atasnya kafarah. Namun, menurut (berbeza dengan pandangan) Tawus, sumpahnya itu tergantung (terlaksana); maka jika dia melanggarnya selepas baligh, wajib ke atasnya membayar kafarah. Hujah jumhur ialah sabda Nabi : “Telah diangkat pena (catatan dosa dan tanggungjawab) daripada tiga golongan: daripada orang yang tidur hingga dia terjaga, daripada orang gila hingga dia sembuh, dan daripada kanak-kanak hingga dia baligh.”

Inilah juga pandangan ulama mazhab Syafi‘e. Dalam al-Fiqh al-Manhaji 3/12 ketika membincangkan syarat-syarat terlaksananya sumpah, dinyatakan:

أن يكون الحالف بالغًا عاقلًا: وذلك لرفع القلم والمؤاخذة عن غير البالغ العاقل، والدليل في ذلك ما رواه أبو داود [في الحدود - باب - في المجنون يسرق، أو يصيب حدًّا، رقم: ٤٤٠٣] وغيره، عن علي - رضي الله عنه -، عن النبي - ﷺ - قال: رُفعَ القلمُ عن ثلاثة: عن النائمِ حتى يستيقظ، وعن الصبيِّ حتى يحتلمَ، وعن المجنون حتى يعقل. ]يحتلم: يبلغ[

Bahawa orang yang bersumpah hendaklah seorang yang baligh dan berakal; kerana pena catatan dosa dan tanggungjawab telah diangkat daripada mereka yang belum baligh dan tidak berakal. Dalilnya ialah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawud [dalam Kitab al-Hudud – Bab: Tentang orang gila yang mencuri atau melakukan kesalahan hudud, no. 4403] dan selainnya, daripada Ali r.a., daripada Nabi bersabda: “Telah diangkat pena (catatan amal) daripada tiga golongan: daripada orang yang tidur hingga dia terjaga, daripada kanak-kanak hingga dia bermimpi (baligh), dan daripada orang gila hingga dia waras.” [“يحتلم” bermaksud: mencapai usia baligh.]

Oleh itu tiada apa yang perlu dilakukan oleh anak puan, melainkan menjadi tanggungjawab puan menasihati dan mendidiknya agar tidak semudah-mudahnya melafazkan sumpah dengan nama Allah. 


Cetak  
Wallahu a'lam