Hukum-Hakam Berkaitan Virus Korona

Ringkasan Hukum-hakam Berkaitan Virus Korona ملخص الأحكام الفقهية المتعلقة بفايروس كورونا

Oleh alSyeikh Khalid alMusyaiqih Hfz للشيخ خالد المشيقح حفظه الله

Terjemahan: BinSahak

Pertama: Harus vaksinasi melawan wabak pandemik. Inilah pandangan pilihan Ibn Baz RH. Hal ini tidak menafikan tawakkal, bahkan ia termasuk dalam menagmbil sebab-sebab (keselamatan) yang merupakan jalan pencegahan. Asas perkara ini berdasarkan pensyariatan wirid-wirid pagi dan petang yang bertujuan pencegahan (dari sebarang keburukan dan kemudharatan).

Kedua: Asal berubat adalah harus bahkan kadang-kala menjadi wajib apabila tanpanya boleh membawa kebinasaan atau kemusnahan apa-apa anggota badan di samping ghalabah alZhon perubatan itu mendatangkan manfaat.

Ketiga: Asalnya tidak boleh pergi ke negara yang dilanda wabak atau (mereka yang berada di negara tersebut) keluar darinya. Inilah pandangan majoriti ulama berbeza dengan pandangan Imam Malik.

Keempat: Apabila seseorang muslim perlu meletakkan sesuatu di tubuhnya seperti sesuatu balutan atau selainnya, maka wajib ke atasnya menanggalkan balutan dan lainnya itu untuk bertaharah. Jika tidak memungkinkan, maka dia sapukan sahaja di atas sesuatu yang menghalang anggotanya tersebut. Jika tidak boleh, maka dia basuh anggota yang terbuka (dari anggota yang wajib disampaikan air) dan bertayammum (sapu muka dan dua pergelangan tangan dengan debu) bagi ganti anggota yang wajib taharah, namun terhalang dengan sesuatu.

Kelima: Disyariatkan laungan azan di rumah-rumah setelah azan di masjid-masjid. Ia suatu yang thabit dari sebilangan para sahabah antaranya seperti Jabir, Anas dan Salamah bin al-Akwa’. Jika memadai dengan azan yang dilaunkan di masjid juga tidak mengapa kerana ada keluasan dalam perkara ini.

Keenam: Laungan (muazzin): “Tunaikanlah solat di rumah-rumah atau di tempat-tempat kalian” ketika azan dalam suasana semasa (penularan wabak Korona) adalah digalakkan. Kedudukannya di dalam azan, terdapat tiga pandangan:

  • Hadis ‘Umar di dalam al-Bukhari dan Muslim menunjukkan ia dilaungkan selepas sempurna azan.
  • Hadis Ibn ‘Abbas menunjukkan ia dilaungkan sebagai ganti kepada “hai’alatain”.
  • Di dalam Sunan al-Nasa’ie daripada seorang sahabat Nabi SAW, ia berupa laungan tambahan di dalam azan selepas “hai’alatain”.

Perkara ini ada keluasan.    

Ketujuh: Apabila tukang azan melaungkan صلوا في رحالكم, maka yang lebih jelas seorang yang menjawabnya menyebut: لا حول ولا قوة الا بالله, berdasarkan hadis Ibn ‘Abbas yang menunjukkan ia ganti kepada laungan “hai’alatain”, maka suatu gantian itu mengambil hukum suatu yang digantinya.

Kelapan: Yang lebih jelas ialah mengulangi ungkapan صلوا في بيوتكم ‏ atau  صلوا في رحالكم sebanyak dua kali. 

Kesembilan: Di kalangan ulama ada yang menyatakan sesiapa yang berada di dalam negeri, maka laungannya:  صلوا في بيوتكم bermaksud: Tunaikan solat di rumah-rumah kamu semua” manakala sesiapa yang berada di kawasan luar negeri atau luar bandar (tiada penginapan tetap), maka laungannya ialah: صلوا في رحالكم maksudnya: “Tunaikan solat di penginapan-penginapan kamu semua”

Kesepuluh: Hukum asal ialah wajib (solat) berjemaah. Inilah pandangan mazhab Abu Hanifah dan Ahmad, bahkan mazhab Zahiri berpandangan disyaratkan solat secara berjemaah (syarat sah). Akan tetapi para ulama menyatakan bahawa berjemaah gugur apabila ada keuzuran sepertimana keadaan sekarang (penularan wabak Korona), maka tunaikan solat berjemaah di rumah bersama ahli keluarga dan disunatkan diadakan tempat solat khas di rumah.  

Kesebelas: Hukum asal solat Jumaat adalah wajib melainkan kewajipan itu gugur ketika ada keuzuran, maka ditunaikan solat Zohor di rumah masing-masing, bukan solat Jumaat. Ini kerana solat Jumaat dan solat hari raya termasuk perkara yang berkaitan dengan pemerintah. Apabila pemerintah menangguhkan solat Jumaat, maka wajib mentaatinya. Demikian juga menunaikan solat Jumaat di rumah-rumah adalah menyalahi tujuan agama yang menghendakkan berlakunya perhimpunan orang ramai untuk menunaikannya, di samping al-Imam Malik pula  mensyaratkan solat Jumaat hendaklah ditunaikan di masjid, demikian juga para fuqaha dari mazhab syafi’ie dan Hambali yang mensyaratkan bilangan tertentu. Atas dasar itu, solat Jumaat tidak disyariatkan dibuat di rumah-rumah dalam menghadapi situasi semasa, bahkan ditunaikan solat Zohor sebanyak empat rakaat.   

Kedua belas: Yang lebih jelas ialah tidak disyariatkan qunut nazilah dalam situasi semasa (penularan wabak Korona). Ini kerana qunut nazilah hanya dilakukan jika musibah berlaku dari pihak makhluk sepertimana Nabi SAW telah berqunut nazilah ketikamana dibunuh para penghafaz al-Quran dari kalangan sahabat. Adapun isu yang berlaku kini (penularan wabak Korona) terkait dengan al-Sunan al-Kawniyyah (peraturan Allah terhadap alam), maka tidak perlu qunut nazilah.

Ketiga belas: Yang lebih zahir ialah tidak disyariatkan solat kerana isu semasa ini. Mazhab Hambali berpandangan tiada pensyariatan solat nazilah selain dari solat gerhana bulan atau matahari melainkan kerana gempa. Adapun ulama mazhab Maliki dan syafi’ie berpandangan tidak disyariatkan solat nazilah melainkan apabila berlaku gerhana matahari atau bulan sahaja. Atas dasar ini, maka tidak disyariatkan solat kerana isu penularan wabak korona ini, bahkan setiap insan hendaklah kembali kepada Allah dengan berdoa dan menunaikan solat-solat seperti biasa, kerana taun pernah berlaku di zaman ‘Umar, namun tidak didapati dari seorang sahabatpun yang menunaikan solat sempena berlaku wabak taun.

Keempat belas: Tidak dibolehkan bagi sesiapa yang positif wabak hadir dalam perhimpunan-perhimpunan orang ramai sama ada perhimpunan keagamaan atau selainnya.

Kelima belas: Harus atau boleh memakai “facemask” di dalam solat ketika ada keperluan.

Keenam belas: Wajib memandikan jenazah yang dilanda wabak dan dikebumikan dia bersendirian (seperti jenazah biasa) di dalam kuburnya. Jika jenazah terlalu banyak sehingga timbul  kepayahan untuk kebumikan setiap seorang di dalam satu kubur, maka tidak mengapa dikebumikan lebih dari seorang di dalam satu kubur sepertimana perbuatan Nabi SAW dalam peperangan Uhud.

Ketujuh belas: Hukum asal solat ialah saf berdekatan dan rapat. Akan tetapi jika perlu dijauhkan atau dijarakkan antara saf kerana bimbang jangkitan atau penularan wabak, tidak mengapa dijarakkan antara saf.

Kelapan belas: Boleh tidak berpuasa (wajib) dan hendaklah (wajib) ke atasnya qadha jika dari kalangan orang yang ada harapan sembuh. Jika tiada harapan sembuh, maka hendaklah mengeluarkan fidyah bagi setiap hari (yang tidak boleh berpuasa) dengan memberi makan seorang miskin.

Kesembilan belas: Sesiapa yang telah berihram umrah, kemudian dia terhalang disebakan wabak ini, jika dia telah berniat syarat ketika berihram, maka dia boleh bertahalul dan tiada sebarang masalah padanya. Jika dia tidak berniat syarat (ketika ihram), maka dia seorang yang mahsur (terhalang) dari menyempurnakan ihramnya. Hendaklah dia menyembelih seekor kambing sebagai dam di tempat dia terhalang atau di tanah haram dan mencukur atau menggunting rambutnya dan bertahallul.

Kedua puluh: Harus memakai “facemask” bagi yang melaksanakan umrah ketika ada keperluan.

Kedua puluh satu: Wajib “Wadha’ al-Jawa-ih” (kembalikan bayaran) bagi sesiapa yang terkena kemudharatan ini dalam kontrak-kontrak muamalat seperti al-Ijar (sewaan), tempahan dan selainnya, kerana “Wadha’ al-Jawarih” bukan khas dalam jual-beli buah-buahan sahaja.

Kedua puluh dua: Kontrak-kontrak tabarru’ seperti hibah, wasiat, wakaf dan lainnya, jika penyakit tergolong dalam penyakit yang boleh membawa maut dengan perakuan pakar perubatan dan dibimbangi pesakit akan meninggal dunia, maka wakafnya, hibahnya dan wasiatnya (ketika pesakit mendapat tahu keadaan penyakitnya) berlaku 1/3 atau kurang untuk bukan ahli waris. Adapun jika para doktor perubatan memastikan sakit dalam keadaan tersebut tidak dibimbangi membawa maut, maka pesakit memiliki hak penuh ke atas hartanya.  

Kedua puluh tiga: hukum asal berkaitan perwarisan, yang terkemudian meninggal dunia mewarisi harta orang yang meninggal lebih awal. Akan tetapi jika tidak dapat diketahui atau ragu (siapa yang meninggal terlebih dahulu dan terkemudian) maka yang benar berdasarkan majoriti ulama bahawa kedua-dua mereka tidak saling mewarisi. Perwarisan harta mereka berdua dikembalikan kepada para warisnya, tidak diwarisi oleh saudaranya yang meninggal dunia bersamanya, berbeza dengan pandangan Imam Ahmad.

Kedua puluh empat: Sesiapa yang dilanda penyakit ini (Covid-19), wajib dia menyatakannya ketika pinangan kerana ia termasuk keaiban-keaiban yang boleh difasakhkan nikah sama seperti pengidap kusta.

Kedua puluh lima: Jika seseorang yang positif dengan penyakit ini (covid-19) sengaja mendatangkan kemudharatan kepada orang lain (memindahkan penyakit kepada orang lain) maka dia seperti orang yang memberi orang lain meminum racun, kesalahannya dalam kedudukan kesalahan bunuh dengan niat. Adapun jika dia sengaja mendatangkan mudharat kepada masyarakat umum bukan kepada seseorang tertentu, maka hukum kesalahannya adalah hukum orang yang mendatangkan kemusnahan terhadap muka bumi.


Cetak  
Wallahu a'lam