Hukum Mengambil Bayaran Dengan Jampian Dan Menjadikannya Sebagai Sumber Pendapatan.

  • Jampian adalah harus dengan menjaga garis-garis ketetapan yang telah dijelaskan sebelum ini. Demikian juga harus mengambil upah dari jampian yang dilakukan. Persolan lain yang timbul iaitulah bagaimana jika dijadikan jampian sebagai satu kerja sehingga seseorang itu menjadi terkenal sebagai penjampi di kalangan orang ramai. Terdapat banyak keburukan dari keadaan ini, antaranya:
  • Menyebabkan orang ramai menyangka sipenjampi memiliki sesuatu keistimewaan dengan jampiannya disebabkan ramai yang pergi meminta jampiannya. Keadaan ini menatijah orang ramai merasai kehebatan ada pada sipenjampi bukan kepada ayat-ayat al-Quran yang dijampi terdiri kalam-kalam Allah. Asal dalam persoalan jampian ia bergantung kepada apa yang dibaca (ayat-ayat al-Quran). adapun siapa yang membacanya menuruti selepas itu. Tidak dinafikan keelokan sipenjampi dan kekuatan imannya, kepercayaannya dan tawakkalnya kepada Allah SWT memiliki kesan kepada kesembuhan. Namun ia adalah suatu yang menyusul kepada perkara asal (ayat-ayat al-Quran) yang memberi kesan. Justeru setiap jalan yang boleh menjadikan lemah kepercayaan orang ramai kepada khasiat asal (ayat-ayat al-Quran) hendaklah disekat. Ibn al-Qayyim berkata:

Maksudnya: “Al-Quran adalah penyembuh yang sempurna dari semua penyakit qalbiyyah dan Badaniyyah, dan penyakit dunia dan akhirat. Dan tidaklah setiap orang berkeahlian dan diberi taufiq untuk dapatkan penyembuhan (daripadanya). (sebaliknya) apabila baik sipesakit yang berubat dengannya (al-Quran), benar imannya, penerimaan yang sempurna dan keyakinan yang jazam, memenuhi syarat-syaratnya, pasti penyakit tidak dapat menentang (kesembuhannya). Bagaimana penyakit dapat menentang ubat-ubat yang berupa kalam Tuhan yang memiliki setiap lapis bumi dan langit, yang mana jika (al-Quran itu) diturunkan ke atas bukit-bukau pasti akan hancur lebur atau diturunkan ke atas bumi pasti akan membinasakannya.”[1]

  • Jika diperhatikan kepada sirah Rasulullah SAW, para sahabat baginda dan para ulama yang dipercayai ilmu dan terbukti kelebihan mereka. Kita tidak akan dapati seorangpun dari kalangan mereka berhenti dari melakukan kerja-kerja lain dan memberi tumpuan mengubati orang ramai dengan jampian, menjadikannya sebagai punca pendapatan dan menjadi terkenal di kalangan orang ramai, sehingga apabila disebut namanya dikaitkan dengan jampian sebagai punca pendapatannya. Tidak diragukan lagi bahawa pada setiap zaman terdapat ramai orang yang menghidap berbagai penyakit. Namun kita tidak dapati adanya mana-mana pemimpin umat Islam yang melantik seorang pembaca jampi untuk orang ramai yang sakit sepertimana mereka melantik jawatan qadhi dan seumpamanya. Sebaliknya pesakit menjampi diri mereka sendiri dengan ayat-ayat al-Quran. Jika mereka bersua dengan seorang alim yang memiliki kelebihan, mereka meminta orang alim itu menjampinya. Maka ini tidak mengapa. Maka termasuk dalam suatu yang sedia dimaklumi bahawa suatu yang asalnya disyariatkan, kadang-kala ditegah apabila ia disertai dengan kaifiat yang diada-adakan.

Kalaulah berhenti dari melakukan kerja-kerja lain bagi memberi tumpuan merawat pesakit dengan jampian dan menjadikannya sebagai sumber pendapatan suatu yang baik, sudah pasti mereka akan mendahului kita melakukannya.

Kerana itu kita dapati para khulafa, para imam mazhab yang empat tidak menyibukkan diri sepertimana orang-orang hari ini menyibukkan diri mereka sehingga menjadi masyhur dengan menjampi. Mereka menjadi masyhur kerana perbuatan mereka mewujudkan tempat khas untuk menjampi dan menerima kunjungan para pesakit yang hendakkan rawatan, mereka adakan pula waktu-waktu temu janji tertentu, sepertimana yang dilakukan oleh para doktor dan ahli perniagaan. Sekiranya para ulama dahulu seperti Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah membuka kedai untuk  membaca jampian kepada pesakit sudah tentu mereka tidak akan mampu untuk menulis kitab-kitab yang banyak. Terutamanya pada ketika tersebarnya kejahilan, khurafat, pergantungan kepada para syeikh dan seumpamanya yang telah berlaku pada zaman mereka. Tidaklah para ulama Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah meninggalkan perkara ini (membuka kedai untuk menjampi) melainkan disebabkan kefaqihan dan kefahaman yang ada pada mereka.

  • Ketikamana para syaitan melihat pergantungan orang ramai kepada seseorang penjampi. Kadangkala perkara ini membantu mereka menyesatkan manusia dalam keadaan mereka tidak sedar. Lalu para syaitan menyatakan ketakutannya kepada sipenjampi, dan bersedia untuk keluar dari tubuh badan pesakit dan seumpamanya bagi tujuan menambahkan lagi keyakinan dan kepercayaan orang ramai kepada seseorang individu (seperti penjampi) lebih banyak dan lebih kuat berbanding keyakinan dan kepercayaan mereka kepada ayat-ayat al-Quran yang dibaca, agar orang ramai juga berkeyakinan pada penjampi tersebut ada sesuatu rahsia dan keistimewaan. Kerana itu ‘Abdullah bin Mas’ud ketika isterinya berkata: “Mataku sakit, lalu aku pergi kepada orang Yahudi itu untuk menjampi mataku, apabila dia menjampinya, maka mataku menjadi sembuh.” Jawab Ibn Mas’ud: “Demikian itu hanyalah kerja-buat (tipu daya) syaitan, dia menyucuk tangannya ke dalam matamu. Apabila yahudi itu menjampi, syaitan itu mengangkat tangannya.”[2]

Perhatikan perkataan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah ini:

ولما كانت الخوارق كثيرا ما تنقص بها درجة الرجل كان كثير من الصالحين يتوب من مثل ذلك ويستغفر الله تعالى كما يتوب من الذنوب : كالزنا والسرقة وتعرض على بعضهم فيسأل الله زوالها وكلهم يأمر المريد السالك أن لا يقف عندها ولا يجعلها همته ولا يتبجح بها ; مع ظنهم أنها كرامات فكيف إذا كانت بالحقيقة من الشياطين تغويهم بها فإني أعرف من تخاطبه النباتات بما فيها من المنافع وإنما يخاطبه الشيطان الذي دخل فيها وأعرف من يخاطبهم الحجر والشجر وتقول : هنيئا لك يا ولي الله فيقرأ آية الكرسي فيذهب ذلك.
وأعرف من يقصد صيد الطير فتخاطبه العصافير وغيرها وتقول : خذني حتى يأكلني الفقراء ويكون الشيطان قد دخل فيها كما يدخل في الإنس ويخاطبه بذلك ومنهم من يكون في البيت وهو مغلق فيرى نفسه خارجه وهو لم يفتح وبالعكس وكذلك في أبواب المدينة وتكون الجن قد أدخلته وأخرجته بسرعة أو تمر به أنوار أو تحضر عنده من يطلبه ويكون ذلك من الشياطين يتصورون بصورة صاحبه فإذا قرأ آية الكرسي مرة بعد مرة ذهب ذلك كله .وأعرف من يخاطبه مخاطب ويقول له أنا من أمر الله ويعده بأنه المهدي الذي بشر به النبي صلى الله عليه وسلم ويظهر له الخوارق [ ص: 301 ] مثل أن يخطر بقلبه تصرف في الطير والجراد في الهواء ; فإذا خطر بقلبه ذهاب الطير أو الجراد يمينا أو شمالا ذهب حيث أراد وإذا خطر بقلبه قيام بعض المواشي أو نومه أو ذهابه حصل له ما أراد من غير حركة منه في الظاهر وتحمله إلى مكة وتأتي به وتأتيه بأشخاص في صورة جميلة وتقول له هذه الملائكة الكروبيون أرادوا زيارتك فيقول في نفسه : كيف تصوروا بصورة المردان فيرفع رأسه فيجدهم بلحى ويقول له علامة إنك أنت المهدي إنك تنبت في جسدك شامة فتنبت ويراها وغير ذلك وكله من مكر الشيطان

Maksudnya: “Dan ketikamana perkara-perkara luar dari kebiasaan kebanyakannya, apa-apa yang boleh mengurangkan kedudukan seseorang. Kerana itu ramai dari kalangan orang-orang soleh bertaubat dari perkara-perkara seperti ini (perkara-perkara luar dari kebiasaan) dan beristighfar kepada Allah Taala sepertimana seseorang bertaubat dari dosa seumpama zina dan mencuri. Mereka meminta agar Allah menghilangkan perkara-perkara tersebut dari mereka. Mereka juga meminta para murid agar tidak memberi perhatian kepada perkara-perkara luar dari kebiasaan itu dan jangan bermegah dengannya. Dalam keadaan perkara-perkara luar biasa itu pada sangkaan mereka adalah berupa karamah. Maka bagaimana jika perkara-perkara luar biasa itu pada hakikatnya ialah tipu-daya syaitan. Daku mengetahui adanya individu yang mana tumbuh-tumbuhan berbicara dengannya dalam perkara-perkara yang bermanfaat, sebaliknya yang berbicara dengannya itu adalah syaitan yang telah masuk ke dalam tumbuh-tumbuhan tersebut. Aku juga mengenali invividu yang batu dan pokok berbicara dengannya dan berkata: “keberuntungan untukmu wahai wali Allah.” Lalu orang itu membaca ayat al-Kursi, lalu suara itu lari daripadanya. aku juga mengetahui individu yang hendak memburu burung, lalu buru-burung kecil dan lainnya berbicara dengannya dan berkata: “Ambillah (tangkaplah) kami, agar orang-orang miskin dapan memakan daging kami.” Sedangkan syaitan telah memasuki ke dalam burung tersebut sepertimana mereka memasuki tubuh-badan manusia dan berbicara melalui lidah mereka. Demikian juga dari kalangan mereka ada pula ketika berada di dalam rumah dalam keadaan pintu tertutup, dia melihat dirinya diluar rumahnya sedangkan dia belum lagi membuka puntu rumah, berlaku juga hal yang sebaliknya. Demikian juga di pintu-pintu bandar, terdapat jin yang masuk dan keluar dengan cepat, atau mereka mendatangkan kepadanya orang yang dia minta, semua itu adalah syaitan yang menyerupai rupa sahabatnya. Apabila dia membaca ayat al-Kursiy beberapa kali, semua itu pergi daripadanya. aku juga mengetahui orang yang berbicara dengannya seseorang yang berkata: “Aku datang dari perintah Allah.” Lalu dia bersumpah kepada orang itu bahawa dia ialah imam mahdi yang dikhabarkan oleh Nabi SAW, lalu dia menzahirkan beberapa perkara luar biasa seperti membawa hatinya membayangkan sekumpulam burung dan belalang berterbangan di udara. Apabila orang itu terlintas di hatinya agar burung dan belalang itu bergerak ke arah kanan atau kiri, semuanya ikut berdasarkan apa yang terlintas di dalam hatinya. Apabila terlintas di dalam hatinya sebahagian binatang ternak berjaga, tidur atau pergi, maka semua berlaku apa yang dikehendakinya tanpa perlu sebarang gerakan tindakan zahir darinya. Mereka (para jin dan syaitan) membawanya ke Mekah, dan mereka juga mendatangkan kepadanya beberapa individu dengan rupa yang cantik dan berkata kepadanya: “Ini adalah para al-Malaikat al-Karubiyyun[3] hendak menziarahinya. Lalu orang itu berkata di dalam hatinya: “Bagaimana mereka boleh menyerupai rupa paras Amrad (lelaki-lelaki yang cantik dan tidak memiliki janggut), lalu dia mengangkat kepalanya dan mendapati mereka semua mempunyai janggut pula. Dan dikatakan kepadanya, engkau memiliki tanda yang engkau adalah imam mahdi, iaitulah dengan tumbuhnya tahi lalat di jasad engkau, dan tahi  lalat itu tumbuh di badannya dan dia dapat melihatnya dan perkara-perkara lain lagi yang berlaku yang semuanya adalah dari tipu-daya dan perancangan syaitan.”[4]

  • Perbuatan orang ramai yang pergi mendapatkan jampian dari seseorang penjampi boleh menjadikan penjampi itu merasa hairan dan hebat kepada diri sendiri. Para ulama al-Salaf al-Soleh amat bimbang dari terjadinya perkara sebegini. Justeru mereka menutup kemas apa sahaja jalan yang boleh membawa kepada keadaan sedemikian. Sufian bin ‘Uyainiah berkata:

رأى عمر مع أبي بن كعب جماعة فعلاه بالدرة فقال : إني أعلم ما تصنع يرحمك الله فقال : أما علمت أنها فتنة للمتبوع مذلة للتابع

Maksudnya: “Umar pernah melihat sekumpulan orang bersama Ubai bin Ka’ab, lalu Umar memukul Ubai dengan cemeti. Lalu kata Ubai: “Sesungguhnya aku tahu apa yang anda lakukan ini, semoga Allah merahmatimu.” Lalu ‘Umar menjawab: “Apakah kamu tidak tahu bahawa perkara ini merupakan fitnah kepada yang diikuti dan kehinaan kepada pengikut?”[5]

Jika demikian yang dilakukan oleh ‘Umar bin al-Khattab RA kerana bimbangkan Ubai RA disebabkan ramai pengikut yang asyik mengikutinya. Lalu ‘Umar mengubah keadaan tersebut sebagai menutup kemas pintu keburukan.

  • Banyak yang telah berlaku, disebabkan terlalu ramai orang yang datang meminta jampian daripada seseorang penjampi menyebabkan penjampi menghimpunkan mereka semua lalu dibacakan kepada mereka ayat-ayat jampian secara serentak. Bagi tujuan menjimatkan masa. Kemudian dia menghembus dalam setiap bekas air yang dibawa? Apakah gambaran seperti ini pernah dilakukan oleh generasi al-Salaf al-Solah?
  • Wujudnya klinik-klinik jampian yang banyak boleh menyebabkan sukar dilakukan pengasingan antara jampian yang mematuhi syara’ dengan yang sebaliknya. sudah tentu para bomoh yang melakukan kesyirikan juga akan membuka klinik-klinik jampian mereka. Keadaan ini sudah pasti akan membuka pintu kerosakan dan kesyirikan yang besar, dan lebih parah lagi apabila ia sukar untuk dicegah. Justeru sebarang jalan yang boleh membawa kepada keburukan wajib dihalang dan disekat berdasarkan kaedah سد للذريعة iaitulah menutup kemas pintu-pintu kerosakan, sekalipun ada sebahagian pemilik klinik-klinik jampian memiliki maksud yang baik.
  • Terdapat beberapa sahabat Nabi SAW yang dikenali sebagai orang yang dimustajabkan doa seperti Sa’ad bin Abi Waqqas yang merupakan salah seorang dari 10 orang yang dijamin syurga oleh Nabi SAW. Demikian juga dengan Uwais al-Qarniy dari kalangan Tabi’ien. Namun tidak diriwayatkan kepada kita orang-orang seperti ini dikerumuni oleh umat Islam ketika itu untuk mendapatkan jampian dan doa dari mereka. Bahkan terdapat bukti yang menunjukkan Uwais al-Qarni berusaha menyembunyikan dirinya dari orang ramai kerana bimbang terdedah kepada fitnah sama ada ke atas dirinya ataupun ke atas orang ramai. Hal ini kerana, jampian adalah doa. Justeru jika orang ramai pergi mengerumuni seorang penjampi yang kelihatan soleh, mereka membawa anak-anak mereka untuk ditaknikkan, untuk dijampikan dan seumpamanya, maka keadaan ini tidak wajar dibiarkan berterusan kerana bimbang boleh menimbulkan fitnah kepada penjampi dan orang ramai.
  • Jika perkara ini jelas dapat mendatangkan kerosakan kepada orang ramai, terutamanya dari sudut ia akan menjadikan pergantungan orang ramai lebih banyak kepada penjampi bukan kepada Allah SWT, sehingga mereka menyangka anugerah kesembuhan bergantung kuat kepada sipenjampi tersebut sahaja, tidak ada pada ulama lainnya. Di samping itu wujud juga kerosakan kepada diri penjampi itu sendiri dari sudut akan menimbulkan rasa ‘Ujub terhadap diri sendiri. Selain itu terdapat juga perkara rekaan yang diada-adakan terutamanya dalam bab kaifiat jampian yang tidak diketahui pernah berlaku di zaman Nabi SAW dan zaman al-Salaf al-Soleh seperti menjampi pada ratusan orang dengan sekali jampian dan menghembus ke dalam ratusan bekas dengan sekali hembusan. Jika demikian keadaannya maka berdassarkan kaedah درء المفسدة مقدم على جلب المصلحة iaitulah “Menyekat kerosakan lebih didahulukan berbanding mendapatkan maslahah” terutamanya apabila kerosakannya lebih terserlah berbanding maslahah.
  • Memberi tumpuan menjampi orang ramai samalah seperti seorang yang berkata: “Datanglah kepada saya, saya akan mendoakan untuk anda semua.” Ini kerana jampian adalah sejenis doa seperti yang telah dijelaskan sebelum ini. sudah tentu perbuatan ini menyalahi panduan dari al-Salaf al-Soleh. Kerana itu para sahabat Nabi SAW tidak suka orang ramai meminta doa daripada mereka sehingga mereka berkata: “Apakah kami ini para Nabi?” hal ini sepertimana riwayat yang disertakan oleh al-Imam al-Syatibi di dalam kitabnya al-I’tisam, antaranya tentang seorang lelaki yang menulis surat kepada ‘Omar RA dengan berkata: “Doakan kepada Allah untuk saya.” Lalu ‘Omar menjawab suratnya dengan menyebut: “Sesungguhnya aku bukan seorang nabi. Akan tetapi setelah didirikan solat, maka beristighfarlah kepada Allah dari dosa-dosamu.” Demikian juga ketikamana Sa’ad bin Abi Waqqas RA sampai di Sham. Seorang lelaki datang kepadanya dan berkata: “Istighfarlah kepada Allah untukku.” Kata Sa’ad: “Mudah-mudahan Allah memberi keampunan untukmu.” Kemudian datang pula lelaki lain dan berkata: “istighfarlah kepada Allah untukku.” Lalu Sa’ad berkata: لَا غَفَرَ اللَّهُ لَكَ وَلَالِذَاكَ ، أَنَبِيٌّ أَنَا “Tiada keampunan dari Allah untuk kamu dan kepada orang tadi, apakah (kamu menyangka) aku ini seorang nabi?”[6]

 

[1] Al-Tibb al-Nabawi oleh Ibn al-Qayyim 352

[2] Mafhum hadis riwayat Imam Ahmad 1/381 dan Ibn Majah di dalam Kitab al-Tibb, Bab Ta’liq al-Tama’im 4/128. Bilangan: 3530. Hadis dinilai sahih oleh al-Albani di dalam al-Silsilah al-Sahihah 1/584 dan Sahih Ibn Majah 2/269.

[3] Al-Karubiyyun ialah nama malaikat yang terdapat berbagai tafsiran para ulama. Namun ia bukan bersumberkan hadis yang sahih. Sebaliknya disebut oleh beberapa ulama tafsir di dalam kitab mereka antaranya al-Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat 7 dari surah Ghafir:

Maksudnya: “malaikat Yang memikul Arasy dan malaikat Yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji Tuhannya; dan beriman kepadanya; serta mereka memohon ampun bagi orang-orang Yang beriman (dengan berdoa merayu): "Wahai Tuhan kami! rahmatMu dan IlmuMu meliputi segala-galanya; maka berilah ampun kepada orang-orang Yang bertaubat serta menurut jalanMu, dan peliharalah mereka dari azab neraka.”

Beliau berkata:

يخبر تعالى عن الملائكة المقربين من حملة العرش الأربعة ، ومن حوله من الكروبيين ، بأنهم يسبحون بحمد ربهم

Maksudnya: “Allah Taala menkhabarkan tentang para malaikat al-Muqarrabin dari kalangan malaikat pemikul ‘Arasy yang empat, dan malaikat sekitar ‘arasy dari kalangan al-Karubiyyin, bahawa mereka semua bertasbih dan memuji tuhan mereka…” (lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim)

[4] Majmu’ al-Fatawa oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah 11/30

[5] Tazkirah al-Huffadz oleh al-Zahabi 1/7.

[6] Lihat al-I’tisam, cetakan Dar Ibn ‘Affan, tahun 1992M/1412H. jilid:1, halaman: 501


Cetak  
Wallahu a'lam