Hukum Hakam Talak

oleh Mohamad Abdul Kadir bin Sahak

Allah swt berfirman:

Maksudnya: [228]”Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci dari haid). dan tidaklah halal bagi mereka menyembunyikan (tidak memberitahu tentang) anak yang dijadikan oleh Allah dalam kandungan rahim mereka, jika betul mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat. dan suami-suami mereka lebih berhak mengambil kembali (rujuk akan) isteri-isteri itu dalam masa idah mereka, jika suami-suami bertujuan hendak berdamai. Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); Dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. [229] Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang diceraikan itu) kecuali jika keduanya (suami isteri takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah. oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa - mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu). itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang Yang zalim. [230] Sesudah (diceraikan dua kali), itu jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga) maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga ia berkahwin dengan suami yang lain. Setelah itu kalau ia diceraikan (oleh suami baru itu dan habis idahnya), maka mereka berdua (suami lama dan bekas isterinya) tidaklah berdosa untuk kembali (berkahwin semula), jika mereka kuat menyangka akan dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah dan itulah aturan-aturan hukum Allah, diterangkanNya kepada kaum yang (mahu) mengetahui dan memahaminya. [231] Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu) kemudian mereka (hampir) habis tempoh idahnya maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik. Dan janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula dengan maksud memberi mudarat, kerana kamu hendak melakukan kezaliman (terhadap mereka); dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menganiaya dirinya sendiri. Dan janganlah kamu menjadikan ayat-ayat hukum Allah itu sebagai ejek-ejekan (dan permainan). dan kenanglah nikmat Allah yang diberikan kepada kamu, (dan kenanglah) apa yang diturunkan kepada kamu Iaitu Kitab (Al-Quran) dan ilmu hikmat, untuk memberi pengajaran kepada kamu dengannya. Dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah: Sesungguhnya Allah maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (al-Baqarah: 228-231)


Sebab Turun Ayat

Pertama: Diriwayatkan bahawasanya di kalangan orang-orang Arab jahiliyyah, tidak ada bilangan di dalam talak. Seseorang lelaki di zaman jahiliyyah boleh mentalakkan isterinya seberapa banyak yang dia suka. Apabila dia memerlukan isteri yang telah ditalaknya, dia rujuk semula. Maka lelaki bermain dengan talak terhadap isterinya. Lalu seorang wanita mengadu kepada Nabi saw keadaan tersebut maka turunlah ayat:

Maksudnya : “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang diceraikan itu) kecuali jika keduanya (suami isteri takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah. oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa - mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu). itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang Yang zalim.” (al-Baqarah : 229)

Kedua: Ibn Jarir meriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas ra. katanya: “Terdapat seorang lelaki yang mentalakkan isterinya, kemudian merujuk semula sebelum tamat iddahnya kemudian mentalakkannya pula. Lelaki tersebut berbuat begitu bagi tujuan memberi mudharat kepada isterinya, lalu Allah swt menurunkan ayat :

Maksudnya : “Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu) kemudian mereka (hampir) habis tempoh idahnya maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik. dan janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula dengan maksud memberi mudarat, kerana kamu hendak melakukan kezaliman (terhadap mereka); dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menganiaya dirinya sendiri. dan janganlah kamu menjadikan ayat-ayat hukum Allah itu sebagai ejek-ejekan (dan permainan). dan kenanglah nikmat Allah yang diberikan kepada kamu, (dan kenanglah) apa yang diturunkan kepada kamu iaitu Kitab (Al-Quran) dan ilmu hikmat, untuk memberi pengajaran kepada kamu dengannya. dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah sesungguhnya Allah maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (al-Baqarah : 231.)

Ketiga : al-Bukhari dan al-Tirmizi meriwayatkan daripada Ma’qal bin Yasar (معقل بن يسار) bahawasanya dia telah mengahwinkan saudara perempuannya dengan seorang lelaki dari kalangan muslimin pada zaman Nabi saw. Setelah berlalu beberapa tempoh, suaminya mentalaknya dan tidak merujuk kembali sehingga tamat tempoh iddahnya. Setelah itu, lelaki tersebut ingin kembali kepada isterinya dan isterinya juga ingin kembali kepadanya, lalu Ma’qal berkata kepada lelaki tersebut, : “Wahai orang yang keji, aku telah memuliakan kamu dengannya dan mengahwinkan kamu dengannya,

kemudian kamu mentalak dia. Demi Allah dia tidak akan kembali kepada kamu selama-lamanya.” Sesungguhnya Allah mengetahui hajat lelaki tersebut untuk kembali kepada isterinya dan hajat isterinya untuk kembali kepada suaminya. Lalu Allah swt menurunkan ayat:

Maksudnya : “Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu), lalu habis masa idah mereka ' maka janganlah kamu (wahai wali-wali nikah) menahan mereka daripada berkahwin semula dengan (bekas) suami mereka, apabila mereka (lelaki dan perempuan itu) bersetuju sesama sendiri dengan cara yang baik (yang dibenarkan oleh Syarak). Demikianlah diberi ingatan dan pengajarand dengan itu kepada sesiapa di antara kamu yang beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu adalah lebih baik bagi kamu dan lebih suci. dan (ingatlah), Allah mengetahui (akan apa jua yang baik untuk kamu) sedang kamu tidak mengetahuinya.” (al-Baqarah : 232)

Setelah mendengar ayat ini, Ma’qal berkata : “Aku mendengar (arahan) tuhanku dan aku mentaatinya.” Kemudian dia memanggil lelaki tersebut dan berkata : “Aku mengahwinkan engkau (dengannya) dan aku memuliakan engkau.”


Hukum-Hakam Talaq 


1- Tempoh ‘Iddah (عدة) 

  • Wanita yang ditalak. Allah swt telah mewajibkan iddah bagi wanita yang ditalak berdasarkan surah al-Baqarah ayat 228. Yang dimaksudkan dengan wanita yang ditalak disini ialah wanita yang baligh, berkahwin dan berlakunya al-Dukhul (الدخول) akan tetapi tidak hamil, atau wanita yang telah putus haid. Ini kerana wanita yang berkahwin, kemudian diceraikan sebelum berlakunya al-Dukhul, maka tidak ada iddah padanya berdasarkan firman Allah swt dalam surah al-Ahzab ayat 49.

Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang beriman, kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu menyentuhnya, maka tiadalah kamu berhak terhadap mereka mengenai sebarang iddah yang kamu boleh hitungkan masanya. oleh itu, berilah "Mut'ah" (pemberian sagu hati) kepada mereka, dan lepaskanlah mereka dengan cara yang sebaik-baiknya.” (al-Ahzab : 49)

  • Wanita hamil. Tempoh iddah bagi wanita yang hamil ialah selepas melahirkan anak. Berdasarkan firman Allah swt di dalam surah al-Tolaq ayat 4:

Maksudnya : “Dan iddah bagi perempuan-perempuan yang mengandung, tempoh iddahnya ialah hingga mereka melahirkan anak kandungannya. dan (ingatlah), sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan baginya segala urusannya.

  • Wanita yang telah putus haid. Iddah bagi wanita yang telah putus haid ialah selama tiga bulan berdasarkan firman Allah swt di dalam surah al-Tolaq ayat 4:

Maksudnya : “Dan perempuan-perempuan dari kalangan kamu yang putus asa dari kedatangan haid, jika kamu menaruh syak (terhadap tempoh idah mereka) maka idahnya ialah tiga bulan; dan (demikian) juga idah perempuan-perempuan yang tidak berhaid.

2- Maksud al-Quru’ (القروء).

Para ulama berbeza pendapat tentang maksud kalimah quru’ yang digunakan di dalam ayat al-Quran surah al-Baqarah ayat 228.. Dari sudut bahasa ia boleh membawa maksud suci dan boleh juga membawa maksud haid. Di bawah ini dinyatakan pendapat para ulama:

  • Imam Malik dan Imam al-Syafi’ie berpendapat quru’ membawa maksud suci. Pendapat ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Omar, ‘A-isyah dan Zaid bin Thabit. Ini juga merupakan salah satu pendapat Imam Ahmad.
  • Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad (dalam salah satu riwayat yang lain daipadanya) : berpendapat quru’ membawa maksud haid. Pendapat ini berdasarkan riwayat daripada ‘Omar, Ibn Mas’ud, Abu Musa, Abu Darda’ dan selain mereka.

Tarjih

Al-Syeikh Muhammad Ali al-Sobuni memilih pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad. Demikian juga al-‘Allamah Ibn Qayyim al-Jauziyyah. Mereka berdua berpendapat pendapat Abu Hanifah dan Imam Ahmad ini adalah yang lebih kuat.


3- Apakah hukum talaq raj’ie (الرجعي) ?

Dibolehkan kepada suami untuk rujuk semula kepada isterinya yang telah ditalaknya tanpa akad dan mahar yang baru. Demikian juga tanpa redha isterinya, selama mana isterinya masih berada di dalam iddah. Ini berdasarkan firman Allah swt di dalam surah al-Baqarah ayat 228. Ayat tersebut membawa maksud si suami lebih berhak merujuk dalam waktu iddah. Maka apabila hak rujuk adalah hak suami, maka tidak disyaratkan rujuk mesti dengan redha isteri, ianya juga tidak perlu kepada wali dan tidak perlu kepada saksi. Namun disunatkan juga kerana bimbang si isteri menafikan yang suaminya telah rujuk kepadanya.

Rujuk ini boleh dilakukan dengan perkataan seperti berkata: “Aku rujuk semula kepada isteri-ku untuk memelihara perkahwinan-ku.“ Ia boleh juga dilakukan melalui perbuatan seperti mencium, menyentuh dengan syahwat atau jima’ di sisi Abu Hanifah dan Malik. Al-Imam al-Syafi’ie pula berkata rujuk mesti dengan perkataan yang jelas, tidak boleh dengan jima’.

Al-Syaukani berkata : Yang zahir (benar) ialah pendapat yang pertama (rujuk boleh dengan perkataan dan perbuatan). Ini kerana iddah adalah tempoh pilihan. Maka pilihan boleh dengan perkataan dan perbuatan, demikian juga berdasarkan zahir firman Allah swt : “dan suami-suami mereka lebih berhak mengambil kembali (rujuk akan) isteri-isteri itu dalam masa idah mereka,“ (al-Baqarah : 228) dan sabda Nabi saw kepada Omar ra. yang menceritakan anaknya telah mentalakkan isterinya yang sedang haid, lalu baginda bersabda : “Suruhlah dia untuk merujuk kepadanya kembali (مره فليراجعها)“, Sesungguhnya rujuk harus dengan perbuatan, kerana ia tidak dikhususkan dengan percakapan sahaja. Siapa yang mendakwa yang rujuk itu khusus dengan percakapan sahaja maka dia perlu datangkan dalil.“


4- Apakah talaq tiga dalam satu lafaz jatuh tiga atau satu

Allah berfirman di dalam surah al-Baqarah ayat 229, bahawa talaq itu suatu yang terpisah dan berasingan, maksudnya : “ Talak (yang boleh rujuk semula) itu dua kali.“ Para ulama berbeza pendapat bagi talak tiga di dalam satu lafaz, adakah hukumnya jatuh talak tiga atau satu.

  • Kebanyakan sahabat, tabi’ien dan imam mazhab yang empat berpendapat talak tiga dalam satu lafaz, hukumnya jatuh talak tiga dalam keadaan perbuatan itu haram, dan sebahagian yang lain berpendapat makruh.
  • Sebahagian ahli zahir berpendapat talak tiga dalam satu lafaz, hukumnya dikira sebagai talak satu. Inilah juga pendapat Towus (طاوس), mazhab Imamiyah, Ibn Taimiyyah dan pendapat ini juga diambil oleh sebahagian ulama mutaakhirin (kemudian) dari kalangan fuqaha’ sebagai mengelakkan kesukaran kepada manusia, dan mengelak berlakunya keburukan.

    Al-Syeikh Muhammad Ali al-Sobuni di dalam kitabnya Tafsir Aayaat al-Ahkam membuat kesimpulan dan menyatakan pendapat jumhur (kebanyakan) ulama adalah pendapat yang lebih kuat dalam masaalah ini.

5- Apakah hukum wanita yang ditalak tiga dan bagaimanakah dia dapat bersama dengan suami pertamanya semula?


Allah swt berfirman:

Maksudnya : Sesudah (diceraikan dua kali itu), jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga) maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga ia berkahwin dengan suami yang lain. setelah itu kalau ia diceraikan (oleh suami baharu itu dan habis idahnya), maka mereka berdua (suami lama dan bekas isterinya) tidaklah berdosa untuk kembali (semula), jika mereka kuat menyangka akan dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah dan itulah aturan-aturan hukum Allah, diterangkanNya kepada kaum yang (mahu) mengetahui dan memahaminya.“ (al-Baqarah : 230)

Isteri yang telah ditalak oleh suaminya sebanyak tiga kali, mereka tidak boleh lagi untuk rujuk semula sehinggalah isteri yang ditalak itu berkahwin dengan lelaki yang lain. Talak tiga ini dinamakan oleh para fuqaha’ sebagai Talak Ba-in (بائن).

Jumhur ulama dan para imam muhtahid (المجتهدين) berpendapat, firman Allah swt yang bermaksud : “sehingga ia (si isteri) berkahwin dengan suami yang lain” , memaksudkan jima’, bukan sekadar akad sahaja. Maka tidak dibenarkan bagi suami merujuk kembali kepada isteri yang telah ditalaknya sebanyak tiga kali, sehinggalah isteri tersebut berkahwin dengan lelaki yang lain dan melakukan hubungan suami isteri dengan suami keduanya dan mereka pula bercerai.


6- Hukum al-Muhallil (المُحلِّل) atau Cina Buta

Al-Muhallil (المُحلِّل) dibaca dengan dikasrahkan huruf ‘Lam’, membawa maksud lelaki yang berkahwin dengan wanita yang telah ditalak tiga bertujuan menghalalkan wanita tersebut untuk suaminya yang pertama. Para ulama berbeza pendapat tentang nikah Muhallil ini:

  • Imam Malik, al-Syafi’ie, Ahmad dan al-Thauri berpendapat nikah al-Muhallil ini adalah Batil. Nikah tersebut tidak dapat menghalalkan suami pertama untuk merujuk semula kepada isterinya. Mereka berdalilkan dengan beberapa hadith Nabi saw, antaranya:

لَعَنَ رسولُ الله صلى الله عليه وسلم المحلَّل و المحلَّل له

Maksudnya : “Rasulullah saw melaknat al-Muhallil dan al-Muhallal.”

Demikian juga mereka berdalilkan dengan hadith yang menceritakan tentang isteri Rifa’ah (رفاعة) yang telah ditalak sebanyak tiga kali, kemudian dia berkahwin dengan Abdul Rahman bin al-Zubair. Kemudian dia mahu rujuk semula kepada suami pertamanya Rifa’ah. Nabi saw tidak membenarkannya seraya berkatanya:

تريدين أن ترجعي إلى رفاعة ؟ لا, حتى تذوقي عسيلته ويذوق عسيلتك

Maksudnya : “Kamu mahu kembali kepada Rifa’ah ? Tidak boleh, sehinggalah kamu merasai madunya (Abdul Rahman – suami keduanya) dan dia merasai madu-mu.”

  • Ulama mazhab Hanafi dan sebahagian ulama mazhab al-Syafi’ie pula berpendapat, nikah tersebut makruh bukan batil. Ini kerana penamaannya sendiri sebagai al-Muhallil (yang menghalalkan) yang menunjukkan sah, kerana ia menjadi sebab kepada halal. Diriwayatkan daripada al-Auza’ie tentang nikah al-Muhallil, katanya : “Buruk apa yang dilakukan, dan pernikahan itu harus.“

Tarjih 

Al-Syeikh Muhammad Ali al-Sobuni di dalam Tafsir Aayaat al-Ahkam menyatakan yang benar dalam permasaalahan ini adalah pendapat jumhur. Ini kerana asal nikah itu bertujuan berterusan dan kekal hidup bersama. Maka menjadikan tempoh bagi nikah adalah dilarang, dan ia membatalkannya disebabkan ia menyamai nikah Mut’ah (نكاح المتعة) yang batil dengan kesepakatan para ulama.

Al-Imam Ibn Kathir berkata : “Dan maksud daripada perkahwinan kedua, dia berkehendak kepada wanita yang dikahwininya, bertujuan hidup bersamanya, sepertimana dia hendak mengahwininya. Imam Malik mensyaratkan dengan perkahwinan itu, dia melakukan hubungan jenis yang halal dengan isterinya, kalau dia melakukannya dalam keadaan haram seperti isterinya sedang berihram, atau sedang berpuasa, atau sedang beri’tikaf, maka masih tidak dihalalkan untuk suami yang pertama dengan hubungan ini. Al-Hasan al-Basri pula mensyaratkan al-Inzal (keluar mani), seolah-olah dia memahaminya dari sabda Nabi saw “sehinggalah kamu merasai madunya, dan dia merasai madu-mu“

Kemudian al-Imam Ibn Kathir menyambung lagi : “Adapun jika suami yang kedua, tujuannya berkahwin untuk menghalalkan wanita yang ditalak tiga itu kepada suaminya yang pertama, maka dialah al-Muhallil yang thabit celaan dan laknat kepadanya di dalam beberapa hadith. Maka apabila jelas tujuannya dengan akad tersebut, batallah nikah tersebut di sisi jumhur para imam.“


Kesimpulan

Islam sebagai agama yang sempurna dan lengkap, telah mengatur segala peraturan yang akan dilalui oleh setiap penganutnya. Antara peraturan tersebut ialah sekitar persoalan talak. Islam tidak seperti agama ciptaan manusia yang lain, yang hanya membicarakan persoalan kahwin. Namun tidak memberi jalan penyelesaian bagai pasangan yang tidak dapat hidup bersama disebabkan faktor-faktor yang tidak dapat dielakkan. Apabila tidak ada jalan keluar, maka sudah tentu yang menjadi mangsa ialah pihak isteri yang lemah.

Islam sebagai sebuah agama yang diturunkan oleh Allah swt menyedari hidup berumah tangga mengandungi berbagai asam-garam dan panca-robanya. Bukanlah suatu yang mudah untuk dua insan (suami dan isteri) yang berbeza latar belakang pendidikan, keluarga, budaya, cara dibesarkan dan cara berfikir untuk hidup sebumbung.

Menyedari hakikat ini, Islam telah memperuntukkan jalan keluar bagi pasangan yang tidak dapat meneruskan hubungan mereka. Jika mereka teruskan juga akan berlaku penginayaan dan seumpamanya. Kerana yang demikian ini, Islam telah menggariskan peraturan-peraturan perkahwinan dan talak. Semuanya adalah untuk dituruti oleh manusia dalam menjalani kehidupan seharian. Semua peraturan ini adalah untuk kebaikan manusia itu sendiri.


-----------

Rujukan:

1- al-Quran beserta terjemahan.

2- Al-Tobari, Tafsir al-Tobari, versi internet : http://quran.al-islam.com/arb/

3- Al-Qurtubi, Tafsir al-Qurtubi, versi internet : http://quran.al-islam.com/arb/

4- Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-Azim, versi internet : http://quran.al-islam.com/arb/

5- Ibn Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari, versi internet : http://hadith.al-islam.com/Display/Hier.asp?Doc=0&n=0

6- Muhammad Ali al-Sobuni, Tafsir al-Aayaah al-Ahkam min al-Quran, cet. pertama, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, Beirut.

7- Al-Imam Syams al-Din Abi Abdillah bin Qayyim al-Jauziyyah, Zaad al-Ma’ad fi Hadyi Khair al-Ibad, versi internet : http://fawzan.al-eman.com/Islamlib/viewtoc.asp?BID=373

8- Muhammad bin Ali bin Muhammad al-Syaukani, Nail al-Awthor Syarh Muntaqa al-Akhbar, versi internet : http://fawzan.al-eman.com/feqh/viewtoc.asp?BID=253

9- Al-Allamah al-Sayyid Sabiq, Fiqh al-Sunnah, jld 2, cet. Maktabah al-Asriyah, Beirut, tahun 2002.


Cetak  
Wallahu a'lam