Hukum Haiwan Jallalah

HUKUM HAIWAN AL-JALLALAH

Mohamad Abdul Kadir bin Sahak

Pegawai Jabatan Mufti Negeri Perlis

 

Al-‘Allamah Sayyid Sabiq di dalam bukunya Fiqh al-Sunnah berkata:

“Terdapat larangan menunggang al-Jallalah dan memakan daging dan meminum susunya. Daripada Ibn ‘Abbas RA, katanya: “Rasulullah SAW telah melarang meminum susu al-Jallalah.” Diriwayatkan oleh al-Khamsah, melainkan Ibn Majah. Dinilai Sahih oleh al-Tirmizi. Dalam satu riwayat: “Rasulullah telah melarang memakan daging kaldai kampung dan al-Jallalah: iaitulah haiwan yang memakan kotoran dari kalangan unta, lembu, kambing, ayam, angsa dan selainnya sehingga berubah baunya. Jika dikurung haiwan tersebut jauh dari kotoran beberapa tempoh, ia memakan makanan yang bersih, sehingga dagingnya menjadi elok, dan tidak lagi dinamakan sebagai al-Jallalah, maka ia menjadi halal, kerana illah (sebab) larangan memakannya telah tiada.” (Fiqh al-Sunnah, halaman 26)

Al-Jallalah الجلالة ialah haiwan yang memakan al-Jillah الجلّة iaitulah najis. (lihat Gharib al-Hadis oleh al-Qasim bin Salam1/78, dan Gharib al-Hadis oleh Ibn Qutaibah 1/276)

Kata Abu Daud RH: “al-Jallalah iaitulah haiwan yang memakan kotoran.” (al-Sunan 3719)

Kata al-Imam Ahmad: “al-Jallala ialah apa-apa yang memakan kotoran dari kalangan haiwan yang melata dan burung.” (Masa’il al-Imam Ahmad)

Justeru al-Jallalah adalah merangkumi semua haiwan yang memakan kotoran najis samada unta, lembu, kambing, ayam, angsa dan selainnya dari haiwan-haiwan yang dimakan dagingnya.

Kata al-Imam al-Nawawi:

Maksudnya: “al-Jallalah itu boleh jadi unta, lumbu, kambing, ayam, angsa dan selainnya.” (Tahrir Alfadz al-Tanbih 170)

Hadis-Hadis Berkaitan Haiwan al-Jallalah

Di dalam hadis daripada Ibn ‘Abbas RA:

Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW telah melarang dari meminum susu al-Jallalah.” (HR al-Tirmizi 1825 dan beliau menilainya sebagai Sahih. Demikian juga al-Nawawi. Kata Ibn Hajar al-‘Asqalani di dalam al-Fath: “Berdasarkan syarat al-Bukhari.” 9/649. Juga dinilah sebagai Sahih oleh al-Albani.)

Daripada Ibn ‘Umar RA pula, beliau berkata:

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah melarang memakan daging al-Jallalah dan meminum susunya.” (HR al-Tirmizi 1824, dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih SUnan al-Tirmizi)

Daripada ‘Abdullah bin ‘Amr RA pula katanya:

Maksudnya: “Bahawa Rasulullah SAW telah melarang pada hari Khaibar dari memakan daging keldai kampong, daging haiwan al-Jallalah dan baginda juga melarang menunggang haiwan al-Jallalah dan memakan dagingnya.” (HR al-Nasa’ie 4447, dinilai Hasan oleh Ibn Hajar di dalam al-Fath 9/648. Demikian juga dinilai Hasan oleh al-Albani di dalam Sahih SUnan al-Nasa’ie)

Dari hadis-hadis ini jelas menunjukkan terdapat larangan dari tiga perkara yang berkaitan dengan haiwan al-Jallalah yang memakan najis dan kotoran, iaitulah: Memakan daging al-Jallalah, meminum susunya dan menunggangnya. Jumhur ulama pula menggabungkan hukum larangan ini kepada telur. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah 8/266)

Pembahagian Haiwan Yang Memakan Najis

Haiwan yang memakan najis boleh dibahagikan kepada tiga jenis:

Pertama: Memakan najis yang sedikit, manakala kebanyakan yang dimakannya adalah makanan-makanan yang bersih. Maka haiwan yang seperti ini tidak digolongkan dalam kumpulan al-Jallalah. al-Khattabi RH berkata:

Maksudnya: “Dan adapun jika haiwan tersebut memakan makanan yang baik dan bersih, namun dia memakan juga sedikit najis. Ia bukanlah haiwan al-Jallalah. ia sama seperti ayam dan seumpamanya yang barangkali memakan sedikit dari jenis najis adapun kebanyakan makanannya adalah bersih, maka tidak dimakruhkan memakannya.” (Ma’alim al-Sunan 4/244)

Kata al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin RH:

Maksudnya: “Jika haiwan tersebut memakan makanan yang baik dan buruk. Namun yang banyaknya adalah yang baik, maka ia bukan al-Jallalah, bahkan harus memakannya. Ia sama seperti apa yang dilakukan oleh pemilik al-Dawajin (haiwan-haiwan jinak sekeliling rumah seperti kambing, burung dan seumpamanya) yang memberi kepada haiwan Dawajin itu darah yang tumpah (dari haiwan lain seperti ikan dan lain-lain) untuk dimakannya bagi tujuan menguatkan atau menyuburkannya. Maka tidak diharamkan dan tidak dimakruhkan memakan haiwan Dawajin seperti ini. ini kerana jika kebanyakan yang dimakan haiwan tersebut adalah yang baik (bukan najis), maka hukumnya adalah menurut kebanyakan apa yang dimakannya.”  (Syarah Riyadh al-Solihin 6/434)

Kedua: Memakan Najis lebih banyak dari makanan yang bersih sehingga menghasilkan bau busuk baunya dan bau dagingnya. Haiwan ini termasuk di dalam larangan tidak boleh memakan daging dan telurnya. Tidak boleh meminum susunya dan menunggangnya.

Kata al-Kasaniy RH:

Maksudnya: “Hanya yang tergolong dalam golongan al-Jallalah ialah apabila berubah dan didapati dari haiwan tersebut bau kotor, maka ia tergolong di dalam al-Jallalah, tidak diminum susunya dan tidak dimakan dagingnya.” (Bada’I’ al-Sona’I’ 5/40)

Kata al-Imam Ibrahim al-Harbiy:

Maksudnya: “Hanya yang dilarang dari meminum susunya, iaitulah haiwan yang jika seseoang meminumnya akan mendapati rasa apa yang dimakan oleh haiwan tersebut. Demikian juga pada dagingnya. maka haiwan seperti ini dilarang menunggangnya, kerana ia akan mengeluarkan peluh, dan terdapat bau kotor pada peluhnya, penunggangnya pula tidak terselamat dari terkena peluh tersebut, atau akan mendapati baunya. Jika dapat dijaga dari terkena peluhnya maka harus menunggangnya. Namun tidak boleh meminum susunya dan memakan dagingnya melainkan setelah dilakukan sesuatu yang dapat menghilangkan kotoran tersebut.” (Gharib al-Hadis 1/115)

Ketiga: Memakan najis lebih banyak dari makanan yang bersih. Namun tidak menatijahkan bau busuk kepadanya dan dagingnya. Apakah ia tergolong di dalam al-Jallalah ataupun tidak? Untuk kategori yang ketiga ini, para ulama berbeza pandangan:

  • Para ulama Mazhab Hambali berpandangan ia tergolong dalam kumpulan al-Jallalah. Ini kerana al-Jallalah di sisi ulama mazhab Hambali ialah haiwan yang memakan banyak kotoran dan najis. Tidak kira samada najis itu memberi kesan kepada daging mahupun baunya. Kata al-Imam Ibn Qudamah RH:

Maksudnya: “Jika kebanyakan yang dimakannya ialah najis, maka haram memakan dagingnya dan haram meminum susunya. Jika kebanyakan makanannya adalah yang bersih, tidak diharamkan memakan dagingnya dan meminum susunya.” (lihat al-Mughniy: 9/413)

  • Manakala ulama dari Mazhab Hanafi dan Syafie pula berpandangan ia tidak tergolong dalam kumpulan al-Jallalah. Ini kerana syarat seseuatu haiwan tergolong sebagai al-Jallalah apabila terzahir darinya kesan dari memakan najis pada bau dan dagingnya. Kata al-Saykhasi RH:

Maksudnya: “dan maksud al-Jallalah ialah yang terbiasa memakan kotoran dan tidak bercampur dengan yang bersih sehingga memberi kesan dan dagingnya menjadi kotor, maka haram memakannya kerana ia tergolong dalam golongan al-Khaba-ith (perkara yang keji). Hal ini bertujuan agar manusia menjauhi kotorannya. Adapun haiwan yang bercampur makanannya antara yang kotor dan selainnya dari makanan yang bersih dalam bentuk tidak zahir kesan kotoran pada dagingnya, maka tidak mengapa memakannya.” (al-Mabsuth: 11/255)

Kata al-Imam al-Nawawi RH:

Maksudnya: “Tidak diambil kira dengan banyak apa yang dimakannya. Sebaliknya hanya dikira kepada bau dan kotoran. Jika didapati pada peluh dan selainnya pada badan badan haiwan tersebut bau najis, maka ia torgolong sebagai al-Jallalah. jika tiada maka bukan al-Jallalah.” (al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 9/28)

Kata Abu al-Ma’ali al-Juwaini RH:

Maksudnya: “Tidak bergantung kepada banyak atau sedikit najis yang dimakan, sebaliknya Ia bergantung kepada terzahirnya bau, perkara ini jelas ketika sembelihan.” (Nihayah al-Matlab: 18/214)

 

Tarjih:

Semua najis yang telah melalui proses al-Istihalah, maka telah tiada hukum najis padanya. Sebaliknya hukum najis itu dikira ada jika terzahir kesan kotornya.

Al-Syeikh Khalid al-Musyaiqih (خالد المشيقح) berkata:

Maksudnya: “Maka yang benar dalam permasalahan ini bahawa jika najis-najis yang dimakan oleh haiwan itu memberi kesan kepada rasa daging dan baunya, atau memberi kesan kepada susu atau ia boleh menyebabkan beberapa penyakit dan seumpamanya, maka ketika itu ia diharamkan. Adapun jika tidak memberi kesan, maka ia harus. Ini kerana najis-najis menjadi suci dengan berlakunya al-Istihalah. Dan semua makanan yang dimakan oleh haiwan itu telah berlaku proses al-Istihalah kepada darah, daging , susu dan seumpamanya. Inilah pandangan yang benar dan lebih hampir (kepada kebenaran) dari dua pandangan ulama RH dalam persoalan yang berkaitan dengan al-Jallalah” (Fatawa al-Syeikh Khalid al-Musyaiqih 1/89)

Kata al-Imam al-Baihaqi RH:

Maksudnya: “dan apa yang diriwayatkan tentang larangan memakan haiwan al-Jallalah, dan apa yang dikatakan oleh para ulama bahawa yang dimaksudkan ialah jika terzahir bau kotoran pada dagingnya.” (Syu’ab al-Iman 7/429)

Keadaan ini sama dengan tumbuh-tumbuhan yang membesar dengan bahan kotoran dan najis. Ia bergantung apakah najis itu meninggalkan kesan kepada tumbuhan ataupun tidak. Jika ia tidak memberi kesan kepada tumbuhan, maka najis itu dikira telah melaluui proses istihalah.

Hukum Memakan Daging Haiwan al-Jallalah

Para ulama berbeza pandangan:

Ulama dari Mazhab Hanbali berpandangan haram memakan dagingnya, telur dan meminum susunya. Manakala menunggangnya adalah makruh. (Lihat al-Insaf: 10/356. Syarh Muntaha al-Iradat: 3/411)

Ulama mazhab Hanafi dan Syafie dan satu riwayat lain dari Ahmad berpandangan Makruh makan, minum dan menunggangnya. (Lihat Bada’I’ al-Sona’I’ 5/40, Mughniy al-MUhtaj 4/304) al-Mardawi berkata: “Ia tergolong dalam Mufradaat al-Mazhab. (Lihat al-Insaf 10/275, Kassyaf al-Qana’ 6/193. Mereka juga menambah haram memakan telurnya dan makruh menunggangnya). Pandangan ini dipilih oleh al-Son’ani di dalam Subul al-Salam 4/77-78, al-Syaukani di dalam al-Sail al-Jarrar  728, dan Fatwa dari Lajnah al-Daimah.

Al-Khattabi berkata:

Maksudnya: “dimakruhkan memakan daging dan susu haiwan al-Jallalah sebagai makruh tanzih dan bertujuan menjaga kebersihan. Demikian ini jika haiwan itu diberi makan najis sehingga terdapat kesan kotoran pada bau dan dagingnya.” (Ma’alim al-Sunan 4/244)

Kata al-Hafidz Ibn Hajar al-‘Asqalani RH di dlam al-Fath:

Maksudnya: “Sekumpulan ulama mazhab al-Syafie berpandangan larangan ini adalah adalah larangan haram. Ini juga merupakan pandangan para ulama Hambali. Inilah yang ditegaskan oleh Ibn Daqiq al-‘Ied dari kalangan fuqaha’. Pandangan ini juga yang dinilai benar oleh Abu Ishak al-Marwazi, al-Qaffal , Imam al-Haramain, al-Baghawi dan al-Ghazali. Mereka juga menggabungkan sekali susu dan dagiingnya dengan telurnya.” (Fath al-Bari: 9/648)

Mengurung al-Jallalah

Jangan memakan daging al-Jallalah sehinggalah terlebih dahulu dihilangkan kesan kotoran dan najis pada dagingnya. Hal ini terlaksana dengan mengurung haiwan al-Jallalah tersebut dan memberi makanan yang bersih dan baik kepadanya. Kata al-Imam al-Nawawi RH:

Maksudnya: “Jika dikurung setelah mendapati bau busuk, diberi makanan yang bersih, sehingga hilang baunya, lalu disembelih, maka tiada hukum karahah padanya secara pasti. Dan tiada pula kadar had tertentu untuk memberi makanan bersih kepadanya, tiada juga waktu tertentu. Sebaliknya hanya bergantung kepada kebiasaan atau sangkaan bahawa bau najis telah hilang. Sekiranya tidak diberi makanan yang bersih kepada haiwan al-Jallalah, tidak gugur larangan (memakannya) dengan hanya membersihkan dagingnya setelah disembelih, tidak gugur juga larangan dengan memasaknya, sekalipun hilang baunya dengan memasak tersebut.” (al-Majmu’ 9/29)

Al-Imam Ibn Qudamah RH berkata:

Maksudnya: “dan hilangnya hukum makruh dengan mengurungnya secara sepakat semua para ulama.” (al-Mughniy: 9/414)

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah RH berkata:

Maksudnya: “Maka jika dikurung sehingga menjadi baik dagingnya, maka ia halal dengan sepakat semua ulama. Ini kerana sebelum dikurung terzahir dar haiwan tersebut kesan najis pada susu, telur dan peluhnya, ini menunjukkan terzahir kotoran najis dan kekejiannya. Jika hilang semua ini maka ia kembali menjadi suci. Maka sesungguhnya sesuatu hukum jika thabit dengan illah, hukum itu juga akan hilang dengan hilangnya illah.” (Majmu’ al-Fatawa: 21/618)

Kata al-Hafidz Ibn Hajar RH:

Maksudnya: “dan yang diambil kira pada keharusan memakan haiwan al-Jallalah ialah hilangnya bau najis setelah haiwan itu diberi makan dengan makanan bersih berdasarkan pandangan yang sahih.” (Fath al-Bari: 9/648)

Terdapat sebahagian ulama yang menetapkan kadar tertentu mengurung haiwan al-Jallalah. Bagi unta dan lembu perlu dikurung selama 40 hari, kambing 7 hari dan ayam 3 hari. Nafi’ meriwayatkan daripada Ibn ‘Umar RA dengan katanya:

Maksudnya: “Bahawa beliau (Ibn ‘Umar) mengurung ayam al-Jallalah selama 3 hari.” (Musannaf Ibn ABi Syaibah 5/148. Sanad riwayat ini Sahih seperti yang dinyatakan oleh al-Hafidz Ibn Hajr di dalam al-Fath 9/648)


Cetak  
Wallahu a'lam