Panduan Membawa Kanak-Kanak ke Masjid

PANDUAN MEMBAWA KANAK-KANAK KE MASJID

Oleh: Mohamad Abdul Kadir Bin Sahak

Bahagian Buhuth & Istinbath Jabatan Mufti Perlis

Laman Facebook: https://www.facebook.com/abdulkadirbinsahak/

Pendidikan awal pada usia kanak-kanak memberi pengaruh yang amat besar di dalam pembentukan diri seseorang. Kerana itu Nabi SAW telah memerintahkan para ibu bapa mendidik anak-anak mereka untuk mendirikan solat bermula umur 7 tahun. Baginda SAW bersabda:

 مُرُوا أَوْلادَكُمْ بِالصَّلاةِ وَهُم أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ ، وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرِ سِنِينَ

Maksudnya: “Suruhlah (didiklah) anak-anakmu dengan solat ketika mereka berumur 7 tahun, pukullah mereka jika tidak menunaikan solat ketika berumur 10 tahun.” (HR Ahmad 2/187, Abu Daud 495 dan al-Tirmizi 407, kata beliau: Hadis Hasan Sahih)

Termasuk dalam memberi didikan kepada kanak-kanak ialah membiasakan mereka dengan masjid sehingga jantung hati mereka bertaut kuat kepadanya. Justeru di bawah ini disertakan panduan kepada umat Islam dalam permasalahan membawa kanak-kanak ke masjid:

  • Jemaah masjid terutamanya AJK masjid hendaklah bersikap mesra dan lunak dengan para jemaah termasuk kanak-kanak. Mereka sepatutnya berusaha mendekatkan orang ramai ke masjid bukan menjauhkan mereka dari masjid.
  • Terdapat hadis yang membuktikan boleh membawa kanak-kanak masuk ke dalam masjid, antaranya hadis yang diriwayatkan daripada Abu Qatadah al-Ansoriy:

أن رسول الله صلى الله عليه وسلم كان يصلي وهو حامل أمامة بنت زينب بنت رسول الله صلى الله عليه وسلم ولأبي العاص بن ربيعة بن عبد شمس، فإذا سجد وضعها وإذا قام حملها

Maksudnya:  “Bahawa Rasulullah SAW pernah menunaikan solat dalam keadaan baginda mendukung Umamah binti Zainab binti Rasulullah SAW, (cucu baginda hasil dari perkahwinan Zainab) dengan Abi al-‘Ash bin Rabi’ah bin ‘Abd Syams. Apabila baginda sujud, baginda meletakkannya, apabila baginda bangun baginda mendukungnya semula.” Dalam riwayat lain Abu Qatadah berkata: “Aku pernah melihat Nabi SAW mengimamkan orang ramai, sedang Umamah binti Abi al-‘Ash di atas bahu baginda.” (HR al-Bukhari 516 dan Muslim 543)

‘Aisyah RA pula berkata:

أعتم رسول الله صلى الله عليه وسلم في العشاء حتى ناداه عمر: قد نام النساء والصبيان

Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah melewatkan ‘Isyak ke dalam waktu ‘Atamah[1], sehingga ‘Umar berseru: “Sesungguhnya telah tertidur para wanita dan kanak-kanak.” (HR al-Bukhari. Seumpama hadis ini juga diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas, di sisi al-Bukhari dan Muslim).

Al-Imam al-Bukhari menjadikan untuk hadis ini Bab Wudhu al-Sibyan…sehinggalah perkataannya: “Dan kehadiran mereka dalam jemaah (solat), solat hari raya dan jenazah demikian juga berkaitan saf-saf mereka.” Ini menunjukkan al-Imam al-Bukhari memahami bahawa kanak-kanak hadir di masjid di zaman Nabi SAW. Selain itu lafaz Sibyan yang bermaksud kanak-kanak adalah umum merangkumi kanak-kanak kecil dan besar. Ada yang berpandangan bahawa perkataan ‘Umar itu memaksudkan kanak-kanak telah tertidur di rumah-rumah mereka. Namun pandangan ini tertolak kerana jika benar seperti yang didakwa, maka tidak ada keperluan ‘Umar menyebutnya[2]. Sebaliknya ‘Umar menyebut mereka kerana simpati dengan kanak-kanak yang tidak dapat bersabar menunggu, sehingga tertidur.[3]

  • Pakaian dan badan kanak-kanak adalah suci selama tidak diketahui adanya najis.[4] Oleh itu tidak boleh melarang kanak-kanak ke masjid hanya kerana andaian mereka menanggung najis.
  • Melarang kanak-kanak ke masjid dengan alasan mereka akan mengganggu orang-orang dewasa menunaikan solat dengan teriakan, jeritan dan bermain adalah tertolak. Ini kerana kanak-kanak Mumayyiz boleh dididik dan diajar agar menjaga adab di dalam masjid agar tidak berbuat bising, tidak mengganggu orang lain dan seumpamanya. Namun jika berlaku keadaan sebaliknya, maka yang bersalah adalah para ibu-bapa dan penjaga yang lalai dalam memberi peringatan kepada kanak-kanak berkaitan adab-adab di dalam masjid. Demikian juga tindakan sebahagian jemaah masjid yang mengkhususkan kanak-kanak di saf belakang adalah diantara punca utama mereka bermain dan mengganggu jemaah yang sedang menunaikan solat. Keadaan ini dapat dibendung sekiranya setiap kanak-kanak menunaikan solat bersebelahan dengan penjaganya. Perkara ini wajib diberi perhatian oleh para jemaah, AJK masjid dan ibu-bapa. Jika ia tidak ditangani dengan bijaksana, ia bakal menyebabkan wujudnya masalah dengan kanak-kanak di masjid.
  • Harus kanak-kanak berada di dalam saf bersama orang dewasa dan solat bersama dengan mereka. Inilah pandangan yang Rajih dan bertepatan dengan pandangan majoriti ulama. Antara dalil dalam perkara ini ialah hadis daripada Anas bin Malik RA yang berkata:

أن جدته مليكة – رضي الله عنها – دعت رسول الله صلى الله عليه وسلم لطعام صنعته، فأكل منه، فقال: قوموا فلأصل بكم ، فقمت إلى حصير لنا قد اسودّ من طول ما لبث فنضحته بماء، فقام رسول الله صلى الله عليه وسلم واليتيم معي، والعجوز من ورائنا، فصلى بنا ركعتين

Maksudnya: “Bahawa nenek Anas bin Malik RA bernama Mulaikah RA pernah menjemput Rasulullah SAW menjamah makanan yang disediakannya, lalu baginda memenuhi jemputan tersebut dan menjamah makanan tersebut. Setelah itu Rasulullah SAW bersabda: “Bangunlah kamu semua, kita solat bersama.” Kata Anas: “Lalu daku bangun ke tikar yang telah kehitaman warnanya disebabkan telah lama digunakan, lalu aku memercikkan air di atasnya. Rasulullah SAW berdiri (di hadapan) sedang seorang yatim berdiri bersama denganku (dalam satu saf). Manakala nenekku berada di belakang, lalu baginda menunaikan solat 2 rakaat bersama dengan kami.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menunjukkan kanak-kanak boleh berada dalam saf yang sama dengan orang dewasa berdasarkan perkataan Anak bin Malik: “…sedang seorang yatim berdiri bersamaku (dalam satu saf)” di belakang Nabi SAW. Yatim adalah seorang kanak-kanak yang kematian bapa ketika belum mencapai umur baligh.

  • Membiarkan kanak-kanak berada di dalam saf bersama orang-orang dewasa dapat memberi galakan kepada mereka untuk menunaikan solat dan tidak mengganggu Jemaah. Demikian juga membiasakan diri mereka pergi berjemaah ke masjid.
  • Ibu-bapa yang membawa anak-anak ke masjid bertanggungjawab memastikan terlebih dahulu anak mereka tidak mengganggu para Jemaah yang beribadat. Kerana itu, umur kanak-kanak yang sudah mumayyiz dan boleh memahami arahan adalah had minima kanak-kanak dianjurkan untuk dibawa ke masjid. Para ibu bapa juga perlu mendidik dan memperingatkan anak-anak yang hendak dibawa ke masjid akan kemuliaan masjid dan menghormati orang yang sedang beribadat. Membawa anak-anak ke masjid yang hanya akan mengganggu orang ramai menunaikan solat adalah perkara yang tidak wajar berlaku. Hal ini hendaklah diambil perhatian sepenuhnya oleh Ibubapa. Nabi SAW pernah mendengar sebahagian jemaah yang menguatkan bacaan al-Quran di dalam masjid, lalu baginda bersabda:

لا يجهر بعضكم على بعض في القرآن

Maksudnya: “Jangan sebahagian daripada kamu menjaharkan bacaan al-Qurannya (sehingga terganggu) ke atas sebahagian yang lain.”  (HR Ahmad 5326. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Islah al-Masajid) Dalam hadis yang lain, baginda bersabda:

فلا يؤذيَنَّ بعضكم بعضاً

Maksudnya: “Jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain (dengan mengganggu mereka ketika beribadah).” (HR Abu Daud. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam al-Silsilah al-Sahihah)

Hadis-hadis ini menujukkan setiap perkara yang boleh mengganggu orang-orang yang solat, maka perkara itu adalah dilarang.

  • Jika seorang kanak-kanak yang telah mancapai umur Mumayyiz mendahului orang lain ke saf hadapan sekalipun saf pertama, maka tempat itu menjadi haknya. Tiada siapa yang boleh memindahkannya dari saf tersebut berdasarkan pandangan yang lebih Rajih. ‘Abdullah bin ‘Umar RA berkata:

نَهَى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يُقِيمَ الرَّجُلُ أَخَاهُ مِنْ مَقْعَدِهِ وَيَجْلِسَ فِيهِ

Maksudnya: “Nabi SAW melarang seorang lelaki membangunkan saudaranya dari tempatnya, lalu dia duduk di tempat saudaranya itu.” (HR al-Bukhari dan Muslim) Maka seorang kanak-kanak yang mumayyiz termasuk dalam kategori ini. 

  • Menghalang dan menjauhkan kanak-kanak dari saf orang-orang dewasa di dalam masjid seperti yang dilakukan oleh orang ramai[5] bakal mewujudkan keburukan-keburukan yang banyak. Perbuatan ini jelas menyalahi amalan para al-Salaf al-Soleh yang tidak menjauh dan tidak mengasingkan kanak-kanak dari saf orang-orang dewasa. Jika mereka mengasingkannya sudah tentu perkara itu diketahui, masyhur dan diamalkan dari zaman ke zaman sama seperti diasingkan saf wanita dari saf lelaki. [6]

Adapun berkaitan sebahagian riwayat hadis yang ada menunjukkan terdapat al-Salaf al-Soleh yang menempatkan kanak-kanak di bahagian belakang masjid, maka perbuatan ini boleh difahami ia semata-mata pandangan segelintir kecil dari kalangan mereka, atau boleh juga difahami pengasingan itu untuk kanak-kanak yang masih tidak tahu menunaikan solat.[7]

  • Hadis Nabi SAW yang bersabda:

ليلني منكم أولو الأحلام والنهى، ثم الذين يلونـهم، ثم الذين يلونـهم

Maksudnya: “Hendaklah menghampiriku mereka yang dewasa dan cerdik, kemudian yang berikutnya dan kemudian yang berikutnya.”

Hadis ini bukan membawa maksud membelakangkan kanak-kanak dari berada di saf hadapan bersama orang dewasa. Sebaliknya ia berupa satu anjuran kepada orang dewasa dan bijak untuk bergerak awal ke hadapan dan menghampiri imam.

 

[1] Apabila dikatakan عَتَمَ اللَيْلُ iaitulah apabila malam telah menjadi gelap. Maka العَتَمَة ialah kegelapan. Dikatakan juga ia adalah waktu 1/3 awal malam selepas tenggelamnya al-Syafaq. Lihat Ihkam al-Ihkam Syarh ‘Umdah al-Ahkam oleh Ibn Daqiq al-‘Ied.

[2] Lihat Fath al-Bari oleh Ibn Hajr al-‘Asqalani 2/344

[3] Ibid, 2/48

[4] Lihat Ma’alim al-Sunan oleh al-Khattabiy 1/431, demikian juga al-I’lam bi Fawa’id ‘Umdah al-Ahkam 3/156

[5] Terdapat hadis yang dijadikan alasan menjauhkan kanak-kanak dari masjid iaitulah hadis:

جنبوا مساجدكم صبيانكم

Maksudnya: “Jauhkanlah masjdid-masjid kamu dari kanak-kanak.” Hadis ini diriwayatkan oleh Ibn Majah (750), al-Tabarani di dalam al-Kabir (22/57) dari jalan al-Harith bin Nabhan, menceritakan kepada kami ‘Utbah daripada Abi Sa’ied daripada Makhul daripada Wathilah bin al-Asqa’ RA. Namun rawi yang bernama al-Haris adalah seorang yang Dhoief Jiddan. Kata al-Bukhari: “Mungkar al-Hadis.” Kata al-Nasa’ie dan Abu Hatim: “Matruk.” Kata Ibn Ma’ien: “Tiada nilai (ليس بشيء), dikesempatan lain beliau berkata: “Tidak dicatit hadisnya”. Hal ini dinyatakan oleh al-Zahabi di dalam al-Mizan 1/444. Hadis ini memiliki sokongan (syawahid)) namun semuanya tidak sahih. Lihat Nasb al-Rayah 2/491

[6] Lihat Hasyiah Ibn Qasim ‘Ala al-Raudh al-Murbi’ 2/341

[7] Lihat al-I’lam Bi Fawaid ‘Umdah al-Ahkam oleh Ibn al-Mulaqqin 2/533, al-Furu’ 1/406-407


Cetak  
Wallahu a'lam