Dalil Bagi Pandangan Yang Tidak Mensyaratkan Jumlah 40 Orang Lelaki Untuk Didirikan Jumaat

            Para ulama berbeza pandangan berkaitan bilangan jemaah untuk solat Jumaat yang menentukan sah atau tidak solat Jumaat tersebut. Pandangan yang lebih kuat ada dua:

Pandangan Pertama:  Solat Jumaat boleh dilaksanakan oleh dua orang makmum tidak termasuk imam. Inilah salah satu pandangan yang diriwayatkan dari al-Imam Ahmad RH[1], juga pandangan Abu Yusuf[2] dan sekumpulan ulama Salaf[3]. Inilah juga pandangan pilihan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah RH[4]

            Dalil yang dinyatakan bagi pandangan ini antaranya:

Dalil pertama berdasarkan firman Allah SWT:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَوٰةِ مِن يَوۡمِ ٱلۡجُمُعَةِ فَٱسۡعَوۡاْ إِلَىٰ ذِكۡرِ ٱللَّهِ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat)…” (al-Jumu’ah: 9)

Kalimah فَٱسۡعَوۡاْ yang terdapat di dalam ayat ini adalah dalam bentuk plural yang sekurang-kurangnya adalah bilangan tiga[5].

Dalil kedua berdasarkan beberapa hadis, antaranya:

  • Daripada Abi al-Darda’ RA bahawa Nabi SAW bersabda:

ما مِن ثلاثةٍ في قريةٍ لا تُقامُ فيهم الصَّلاةُ إلَّا استَحْوَذَ عليهم الشَّيطانُ

 Maksudnya: “Tiada tiga orang yang berada di sesuatu kawasan yang tidak didirikan solat, melainkan mereka itu telah dikuasai oleh syaitan.” (HR Abu Daud, al-Nasa-ie dan Ahmad. Dinilai Sahih oleh al-Nawawi di dalam al-Majmu’ 4/182 dan Ibn al-Mulaqqin di dalam al-Badr al-Munir 4/386. Dinilai Hasan oleh al-Albani di dalam Sahih Sunan Abi Daud 547)

            Hadis ini umum, justeru ia merangkumi solat jamaah dan solat Jumaat. Jika terdapat tiga orang di dalam sesuatu kampung, namun mereka tidak mendirikan solat Jemaah dan solat Jumaat, maka mereka telah dikuasai syaitan. Ini menunjukkan wajib melaksanakan solat Jumaat ke atas sekurang-kurangnya tiga orang.

  • Daripada Abu Sa’ied al-Khudri RA daripada Nabi SAW yang bersabda:

إذا كانوا ثلاثةً فلْيَؤُمَّهم أحدُهم, وأحقُّهم بالإمامةِ أقرؤُهم

Maksudnya: “Apabila kamu bertiga, maka hendaklah menjadi imam salah seorang daripada kamu dan yang lebih berhak menjadi imam adalah yang lebih baik al-Qurannya.” (HR Muslim 672)

            Terdapat perintah di dalam hadis ini untuk dilaksanakan solat secara berjemaah. Ia pula umum merangkumi solat Jemaah dan solat Jumaat.

Pandangan kedua mengatakan Jumaat terlaksana dengan dua orang. Inilah pandangan mazhab al-Zahiri[6], sekumpulan salaf[7], pandangan pilihan al-Tabari[8] dan al-Syaukani[9].

            Dalil yang dinyatakan bagi pandangan ini, antaranya:

Hadis daripada Malik bin al-Huwairith katanya:

أتيتُ النبيَّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم أنا وصاحبٌ لي، فلمَّا أَرَدْنا الإقفالَ مِن عندِه، قال لنا: ((إذا حضَرتِ الصَّلاةُ، فأذِّنا، ثم أَقيمَا، ولْيؤمَّكما أكبرُكما

Maksudnya: “Aku datang menjumpai Nabi SAW bersama seorang sahabatku. Apabila kami pulang (berangkat) meninggalkan baginda, baginda bersabda kepada kami: “Apabila datang waktu solat, maka laungkan azan, kemudian laungkan iqamah dan hendaklah menjadi imam sesiapa yang lebih tua antara kamu berdua.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

            Hadis ini menunjukkan baginda SAW menjadikan solat yang ditunaikan oleh dua orang adalah solat jemaah. Apabila terhasil jemaah dengan dua orang, ia bermakna perhimpunan juga terhasil dengan jumlah yang sama. Kesemua para ulama sepakat solat jemaah terlaksana dengan dua orang. Maka demikianlah juga dengan solat Jumaat kerana ia sama sepertimana solat-solat yang lain. Sesiapa yang mendakwa solat Jumaat tidak sama dengan solat-solat lain dalam permasalahan ini maka hendaklah didatangkan bukti[10].

 

[1] Al-Mughniy oleh Ibn QUdamah 2/243

[2] Al-Mabsuth oleh al-Sarkhashi 2/43

[3] Kata al-Imam al-Nawawi:

حَكى غيرُه عن الأوزاعيِّ، وأبي يوسفَ، انعقادَها بثلاثةٍ، أحدُهم الإمام

Maksudnya:  “dihikayatkan dari al-Auza’ie dan Abu Yusuf (yang berpandangan) terlaksana Jumaat dengan tiga orang, salah seorangnya imam.” (al-Majmu’: 4/504)

[4] Al-Ikhtiyarat al-Fiqhiyyah 439

[5] Al-Mughni 2/244

[6] Al-Muhalla 3/249

[7] Kata al-Imam al-Nawawi RH:

قال الحسنُ بن صالحٍ، وداود: تَنعقِد باثنين، أحدهما الإمامُ، وهو معنى ما حكاه ابنُ المنذر عن مكحول

Maksudnya: “Kata al-Hasan bin Saleh dan Daud: Terlaksana Jumaat dengan dua orang. Salah seorang menjadi imam. Inilah makna apa yang diriwayatkan oleh Ibn al-Munzir daripada Makhul.” (al-Majmu’ 4/504)

[8] Bidayah al-Mujtahid oleh Ibn al-Rusyd 1/158

[9] Kata al-Syaukani RH:

وأمَّا مَن قال: إنها تصحُّ باثنين فاستدلَّ بأنَّ العدد واجب بالحديث والإجماع، ورأى أنَّه لم يثبت دليلٌ على اشتراط عددٍ مخصوص، وقد صحَّت الجماعة في سائرِ الصلوات باثنين، ولا فرْق بينها وبين الجماعة، ولم يأتِ نصٌّ من رسول الله صلَّى اللهُ عليه وسلَّم بأنَّ الجمعة لا تنعقد إلَّا بكذا، وهذا القولُ هو الراجحُ عندي

Maksudnya: “Dan adapun sesiapa yang berkata: bahawa Jumaat sah dengan bilangan ahlinya sebanyak dua orang kerana berdalilkan bahawa bilangan tersebut adalah wajib berdasarkan hadis dan ijmak dan mengatakan bahawa tidak thabit satu dalil mensyaratkan bilangan tertentu. Sesungguhnya sah solat jemaah dan semua solat lainnya dengan bilangan ahli dua orang. Maka tiada perbezaan antara solat Jumaat dengan solat jemaah, tiada juga walau satu nas dari Rasulullah SAW menunjukkan solat Jumaat tidak terlaksana melainkan dengan jumlah sekian dan sekian. Inilah pandangan yang rajih di sisiku.” (Nail al-Awthar 3/276)

[10] Al-Syerh al-Mumti’ oleh Ibn ‘Uthaimin 5/40


Cetak  
Wallahu a'lam