SDI 0461: Hukum Tahi Cicak Di Tempat Solat

Soalan:

Assalamualaikum ustaz nak tanya. Bila kita solat dekat sejadah atau carpet ada taik cicak, sah tak solatnya?

Jawapan:

Para ulama berbeza pandangan tentang Cicak. Apakah ia termasuk binatang yang berdarah, justeru menjadikan ia najis apabila mati termasuk juga najis tahinya. Atau ia binatang yang tidak berdarah, justeru menjadikan ia tidak najis ketika mati dan tidak najis juga tahinya. Inilah pandangan yang dinyatakan oleh sebahagian ulama, manakala sebahagian lain termasuk fuqaha mazhab Syafie tetap mengatakan tahi haiwan sekalipun yang tidak berdarah, adalah najis. 

Seperti yang dinyatakan di atas, sebahagian ulama berpandangan cicak termasuk dalam kumpulan haiwan yang tidak berdarah. Antara mereka termasuk ulama mazhab Syafie:

alRamli di dalam alNihayah berkata:

ويستثنى من النجس ميته لا دم لها سائل عن موضع جرحها، إما بأن لا يكون لها دم أصلاً، أو لها دم لا يجري كالوزغ والزنبور والخنفساء والذباب، فلا تنجس مائعاً.

Maksudnya: "Dan dikecualikan dari najis bangkainya yang tiada darah mengalir dari tempat luka pada badannya. Sama ada sememangnya haiwan tersebut tidak memiliki darah pada asalnya, ataupun ia memiliki darah namun tidak mengalir seperti cicak, madu, kumbang dan lalat..."

Kata al-Imam alNawawi:

وأما الوزغ فقطع الجمهور بأنه لا نفس له سائلة

Maksudnya: "Dan adapun cicak, majoriti ulama memutuskan ia tidak memiliki darah yang mengalir."

Berdasarkan pandangan sebahagian ulama seperti yang dinyatakan di atas, maka tahi cicak tidak termasuk najis. Saya cenderung dengan pandangan ini kerana ia lebih memberi keringanan kepada umat Islam. Selain itu, jika berdasarkan pandangan ulama yang beranggapan cicak ini termasuk dalam haiwan yang berdarah yang menjadikan hukum najis tahinya. Mereka tetap memgatakan sesuatu najis yang sedikit dan sukar dielak diberi kemaafan di dalam agama.


Cetak  
Wallahu a'lam