SDI 1207: Alasan Boleh Khutbah Untuk Solat Hari Raya di Rumah Musim PKP/B

Soalan: 

Apa alasan solat hari raya di rumah boleh adakan khutbah? Sedangkan riwayat Anas beliau tak buat khutbah.

Jawapan:

Asas bolehnya khutbah selepas solat sunat hari raya di rumah adalah kerana taassian iaitulah mencontohi atau mengikuti sifat solat raya yang dilakukan oleh Nabi SAW dan para alKhulafa alRasyidun, iaitulah solat dua rakaat dan khutbah selepasnya. Inilah sifat solat hari raya yang dilakukan oleh baginda SAW dan para alKhulafa alRasyidun.

alSyarbini di dalam Mughniy alMuhtaj berkata: (disunatkan selepas dua rakaat solat hari raya dua khutbah) bagi jemaah kerana taassiyan (mencontohi) baginda SAW dan para alkhulafaa alRasyidin. Tiada beza untuk jemaah orang-orang musafir dan selain mereka.."

Adapun riwayat Anas yang tidak berkhutbah apabila menunaikan solat hari raya di rumah bersama keluarga beliau, tidak dinafikan Solat hari raya yang dilaksanakan oleh Anas tersebut boleh difahami ia solat secara tunai bukan qadha. Beliau menunaikannya bersama keluarga tidak bersama orang ramai kerana jarak rumahnya yang begitu jauh dari Basrah, tempat didirikan solat hari raya oleh pemerintah. Ada juga riwayat yang menunjukkan beliau lakukan sedemikian kerana terlepas solat bersama pemerintah.

Ini menunjukkan tidak berkhutbahnya Anas ketika melaksanakan solat hari raya bersama keluarga adalah kerana solat hari raya telah dilaksanakan oleh masyarakat ramai ditempat lain bersama khutbah dari pihak pemerintah. Justeru khutbah tidak diperlukan lagi, apatah lagi kedudukan imam yang berkhutbah berada seperti kedudukan wakil pemerintah yang menyampaikan peringatan kepada orang ramai.

Kerana itu al-Syarbini di dalam Mughniy alMuhtaj 1/466 ketika membicarakan tentang persoalan tempat didirikan solat hari raya menyatakan: "(dan pemimpin melantik pengganti) - iaitulah - pemimpin sunat melantik pengganti jika dia menunaikan solat hari raya di tanah lapang (seseorang - menggantikannya - untuk solat) di masjid (bersama golongan yang lemah) seperti orang tua, orang sakit dan sesiapa bersama mereka dari kalangan orang-orang sihat, dan (pengganti itu) berkhutbah kepada mereka, kerana 'Ali RA telah melantik Ibn Mas'ud alAnsori menggantikannya untuk solat hari raya - maka pengganti hendaklah menggantikan solat dan khutbah bersama -, berdasarkan riwayat Syafi'ie dengan sanad yang sahih. Jika pemimpin tidak memerintahkan berkhutbah, pengganti itu jangan berkhutbah seperti yang dinaskan di dalam alUmm kerana keberadaan khutbah itu seperti rekaan (ucapan) atas nama pemerintah..."

Keadaan ini berbeza dengan situasi solat hari raya dalam musim PKP/B di mana solat hari raya tidak wujud sama sekali melainkan di rumah-rumah. Selain itu solat hari raya di rumah itu pula dengan keizinan pemerintah dan khutbah yang disampaikan adalah dengan teks dari pemerintah juga.

Justeru menunaikan solat hari raya di rumah bersama khutbah selepas selesai solat hari raya adalah suatu yang tidak menyalahi riwayat Anas bin Malik RA tersebut. Dalam masa yang sama tiada anggapan seperti khutbah itu suatu yang mesti, sebaliknya ia merupakan pilihan, solat tanpa khutbah boleh, dengan khutbah juga boleh.


Cetak  
Wallahu a'lam