SDI 0880: Afdhal Tidak Jamak Taqdim Jika Tahu Akan Sampai Awal ke Rumah

Soalan: 

Saya buat jama' qasar antara zohor dgn asar dlm waktu zohor kerana bermusafir. Ketika saya sampai di rumah, waktu zohor masih ada dan belum masuk asar lagi.

Perlukah saya solat asar bila masuk waktu?

Jawapan:

Para ulama berbeza pandangan dalam masalah ini. Pandangan yang dipilih ialah TIDAK WAJIB anda menunaikan solat Asar, kerana anda telah menunaikan solat Asar tersebut ketika anda diizinkan syara'. Inilah pandangan yang dipilih oleh alImam alNawawi RH (alMajmu' 4/180)

Huraian:

Bagi seorang musafir, yang lebih utama ialah dia menunaikan setiap solat di dalam waktunya, dia qasar tanpa jamak. Inilah yang lebih utama atau Afdhal. Hal ini demikian kerana Nabi SAW tidak melazimi jama' ketika bermusafir.

Maka seseorg yang bermusafir tidak sewajarnya SENTIASA jamak melainkan jika dia memang berhajat kepada jamak seperti kerana ada kesempitan. Namun jika dia tetap memilih jamak dan qasar, solatnya tersebut adalah SAH.

Jika seseorang melakukan jamak taqdim, melakukan zohor dan asar dalam waktu zahor, atau melakukan maghrib dan isyak dalam waktu maghrib, dalam keadaan dia tahu dia akan sampai ke rumahnya sebelum masuk waktu asar atau isyak atau dia sampai ketika waktu asar atau isyak masih ada, maka dia tetap harus melakukannya jamak dan qasar tersebut, kerana keizinan untuk jamak dan qasar dimilikinya sebagai seorang musafir.

Pandangan yang disebut di atas adalah pandangan sebahagian ulama. Dalam masa yang sama sebahagian ulama lain ada yang berpandangan jika seseorg melakukan jamak taqdim, lalu dia sampai ke rumahnya dalam keadaan waktu solat kedua masih ada, maka solat kedua yang telah dijamak dalam waktu pertama dikira terbatal.

Mereka beralasan seseorang yang sampai ke rumahnya dalam keadaan waktu solat kedua masih ada, bermakna perintah menunaikan solat asar masih ditujukan kepadanya, justeru solat asar yang ditunaikannya dalam waktu pertama secara jamak terbatal dan wajib dia menunaikan semula solat asar tersebut secara tamam.

Cadangan: bagi seseorang yang tahu dia akan sampai ke rumahnya sebelum masuk waktu solat kedua, maka lebih utama untuk dia HANYA qasarkan solat pertama dalam perjalanan tanpa jamak. Terutamanya jika tiada apa-apa kesempitan untuk dia jamakkan solat. Namun jika dia jamak juga, maka solat jamaknya tetap sah berdasarkan pandangan yang menjadi pilihan.


Cetak  
Wallahu a'lam