Soalan:
Ustaz ada x bacaan tertentu di antara takbir2 dlm solat raya?
Jawapan:
Terdapat dua pandangan ulama dalam masalah ini, ringkasnya seperti berikut:
Pandangan pertama: Tiada apa-apa bacaan. Inilah pandangan ulama mazhab Hanafi (Hasyiah Ibn Abidin 2/175) dan ulama mazhab Maliki ('Aqd alJawahir 1/241). Kata Ibn 'Abd alBarr: "dan antara takbir (solat raya) tiada apa-apa zikir, doa dan apa-apa bacaan melainkan diam tanpa sebarang penetapan." (alKafi 1/264)
Pandangan kedua: Digalakkan bertahlil, bertakbir dan bertahmid. Inilah pandangan ulama mazhab Syafi'ie (alHawi 3/116, alUmm 1/395) dan ulama mazhab Hambali (alMughniy 3/274).
Dalil: diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas'ud RA yang pernah ditanya apa yang perlu diucapkan antara takbir-takbir (tersebut)? Jawab beliau: "memuji, memuja Allah dan berselawat ke atas Nabi SAW." (Riwayat alTabarani di dalam alMu'jam alKabir 2/37 dan dinilai Sahih oleh alAlbani di dalam alIrwaa' 642).
Pandangan ini menjadi pilihan alSyaukani di dalam Nail alAwthor 3/314.
Persoalan lain yang juga akan timbul ialah: Apakah boleh dibaca zikir lain di antara takbir-takbir solat hari raya?
Lajnah Daimah atau Jawatankuasa Fatwa Saudi berfatwa 7287: "Tidak kami ketahui dalam persoalan ini ada satu sunnah yang thabit."
alSyeikh Soleh alFauzan berkata: "dan jika seseorg membaca zikir lain, maka tidak mengapa kerana tiada penetapan zikir tertentu padanya." (alMulakkhas alFiqhi 214)