SDI 1232: Adakah Berpuasa Dari 1-9 Zulhijjah Dikategorikan Ghuluw Dalam Beribadah?

Soalan:

Assalamualikum wm wbrt
Puasa dari 1 hingga 9 Zulhijjah adak di boleh kan, kerana bila rujuk dlm kitab tiada pun Nabi Muhammad saw lakukan puasa 1 hingga 9 Zulhijjah  kecuali 9 Zulhijjah . Adakah puasa 1 hingga 9 Zulhijjah  di ketegorikan ghulluw dlm ibadat ?

Jawapan:

Boleh puasa dari 1 hingga 9 Zulhijjah dan tidak termasuk di dalam ghuluw atau melampau dalam beribadah. Tiada riwayat Nabi SAW puasa pada 1 - 8 Zulhijjah tidak bermaksud tidak boleh berpuasa pada hari-hari tersebut. Ketiadaan riwayat baginda berpuasa pada 1 - 8 Zulhijjah hanya menunjukkan tiada kelebihan khas pada hari tersebut untuk ibadah puasa.

Terdapat banyak hadis dorongan memperbanyakkan puasa tanpa ditetapkan harinya. Demikian juga hadis menunjukkan Nabi SAW membanyakkan puasa sunat, sehingga kata 'Aisyah RA: "baginda berpuasa, sehingga kami mengatakan baginda tidak akan berbuka" menunjukkan bersungguh dan banyaknya puasa baginda.

1-8 Zulhijjah termasuk dalam 10 hari (1-10 Zulhijjah) yang paling afdhal dalam setahun. Maka amalan soleh yang dilakukan di dalamnya akan dilipat gandakan pahalanya oleh Allah SWT.

Nabi SAW telah bersabda berdasarkan riwayat alBukhari daripada Ibn 'Abbas RA:

ما من أيام العمل الصالح فيها أحب إلى الله عز وجل من هذه الأيام ـ يعني أيام العشر ـ قالوا: يارسول الله ولا الجهاد في سبيل الله؟ قال: ولا الجهاد في سبيل الله، إلا رجل خرج بنفسه وماله ثم لم يرجع من ذلك بشيء

Maksudnya: "Tiada hari-hari lain, amalan saleh padanya lebih disukai oleh Allah azza wa jalla dari hari-hari ini (10 hari awal Zulhijjah). Para sahabat berkata: "Wahai Rasulullah, sekalipun berjihad di dalam Allah?" Jawab baginda: "sekalipun berjihad di jalan Allah, melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad membawa diri dan hartanya, setelah itu dia tidak pulang lagi (gugur syahid)."

Hadis ini sahaja membuktikan dengan jelas 10 hari tersebut adalah hari anjuran untuk memperbanyakkan amalan soleh yang antaranya adalah berpuasa. Melainkan pada 10 Zulhijjah, kerana amalan yang paling utama ketika itu ialah menyembelih korban, manakala puasa diharamkan. Oleh itu berpuasa berturut-turut pada 1-8 bersama 9 Zulhijjah adalah boleh dan tidak termasuk dalam kumpulan ghuluw beribadah.


Cetak  
Wallahu a'lam