SDI 1236: Tukang Sembelih Wajib Niat Sembelih Haiwan Korban?

Soalan:

Perlukan tukang sembelih berniat haiwan yang nak disembelih untuk korban atau akikah? Ustaz kata boleh seekor lembu jika empat bahagian nak buat korban dan tiga bahagian lagi nak buat akikah. Bagaimana nak lakukan dua niat dalam serentak?

Jawapan:

  • Apabila boleh, maka tak timbul masalah bagaimana nak niat. Hadirkan sahaja maksud sembelihan itu iaitulah untuk korban dan akikah serentak. Tiada sebarang masalah bagi orang yang waras.
  • Selain itu, niat yang diambil kira ialah niat pembuat korban bukan niat tukang sembelih atau orang yang diwakilkan. Kata al-Imam al-Nawawi di dalam al-Majmu’:

ولو وكله، ونوى عند ذبح الوكيل: كفى ذلك، ولا حاجة إلى نية الوكيل، بل لو لم يعلم الوكيل أنه مضح لم يضر

Maksudnya: “Dan sekiranya dia (pembuat korban) mewakilkan sembelihan dan dia (pembuat korban) berniat ketika sembelihan siwakil, memadai sedemikian itu, tidak perlu kepada niat siwakil. Bahkan sekiranya siwakil tidak mengetahui bahawa sembelihan itu adalah sembelihan korban, ia tidak merosakkan korban.”[1]

Mungkin ada pula yang berkata: “Jika demikian, apakah pembuat korban kena ada ketika haiwan korbannya disembelih kerana ia perlu berniat ketika sembelihan dilakukan?” Maka jawapannya ialah: “Tidak wajib pembuat korban ada ketika haiwan disembelihkan. Sekalipun keberadaannya ketika haiwan korbannya disembelih itulah yang lebih utama. Namun jika dia tidak ada atau tidak melihat sembelihan haiwannya dilakukan, sembelihan itu tetap sah asalkan dia telahpun berniat sebelum sembelihan itu dilakukan.”

Al-Imam al-Nawawi menyebut:

“Harus atau boleh mengawalkan niat korban seperti mana dalam persoalan puasa dan zakat  berdasarkan pandangan yang Asah.”

 

[1] al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 8/381. Maktabah al-Irsyad, Jeddah Arab Saudi, tahkik Muhammad Najib al-Muti’ie


Cetak  
Wallahu a'lam