Fidyah Puasa

Wednesday, September 10, 2008

Ramai yang bertanyakan tentang cara membayar fidyah bagi orang yang tidak mampu berpuasa disebabkan keuzuran tua atau sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh. Di bawah ini secara ringkas penjelasan pandangan-pandangan ulama dalam persoalan ini dan diterangkan juga tentang kadarnya dalam KG supaya mudah difahami dan diamalkan.

1. Mazhab Malik dan al-Syafie berpendapat kadar fidyah ialah satu MUD (مد) bagi setiap hari yang ditinggalkan. Inilah juga pandangan Towus (طاووس), Said ibn Jubair, al-Thauriy dan al-Auzaie.

2. Mazhab Hanafi pula berpandangan kadar fidyah ialah sebanyak satu SO’ (صاع) Tamar, atau Barli atau setengah SO’ daripada Gandum yang diberi makan kepada orang-orang miskin.

3. Mazhab Hambali pula berpendapat satu MUD gandum atau setengah SO’ Tamar atau Barli. (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, jld 32, ms 67)

Kadar Fidyah dalam KG

Para ulama nampaknya berbeza pendapat dalam menentukan kadar fidyah. Ada yang kata satu SO’, ada pula yang kata satu MUD dan sebagainya. Kadar SO’ dan MUD itu pula berbeza-beza berdasarkan tempat. Secara ringkas:

1. Di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji (Jld 1, ms 350), berdasarkan mazhab al-Syafie menyebut:

“(Fidyah) ialah memberi makan (orang miskin) bagi setiap hari satu MUD daripada makanan asasi setiap tempat. Disedekahkan kepada orang fakir… Adapun satu MUD menyamai sukatan yang memenuhi dua tapak tangan (حَفْنَة : ملء الكفين), dan seberat satu Ritl (رِطْلٌ) 1/3 berdasarkan Ritl Baghdad, ia menyamai lebih kurang 600 gram.

Di dalam kamus al-Ghaniy (الغني) menyebut: Ritl menyamai 12 Uqiyyah (أُوقِيَّةً) atau 500 gram, dan ianya berbeza berdasarkan negeri.

2. Di dalam lamanweb islam-qa.com pula menyebut kadar fidyah itu ialah setengah (1/2) SO’ menyamai lebih kurang 1 kg setengah. Ini berdasarkan mazhab al-Hambali.

Pandangan Ulama Semasa

Dr. Yususf al-Qaradhawi berkata:
والفدية: طعام مسكين.
قدره بعض الفقهاء بمقدار (مد) وهو ربع صاع وبعضهم بصاع من تمر أو طعام إلا القمح، فجعل منه نصف صاع.
وبعضهم رأى إطعام المسكين ما يشبعه وهذا عندي هو الأرجح، وهو الذي أفتى به الصحابة وعملوا به مثل أنس، فقد أطعم بعد ما كبر عاما أو عامين عن كل يوم مسكينًا خبزًا ولحما وأفطر
Maksudnya:

"Fidyah: Memberi makan orang miskin.
Sebahagian fuqaha' berpendapat kadar fidyah ialah satu MUD bersamaan dengan 1/4 SO', manakala sebahagian yang lain berpendapat 1 SO’ Tamar, atau apa-apa makanan tidak termasuk gandum, jika dengan gandum ia menjadi 1/2 SO'. Sebahagian yang lain pula berpendapat (membayar fidyah dengan) memberi makan orang miskin dalam kadar yang mengeyangkan mereka. Inilah pandangan yang lebih rajih (benar) di sisiku (Dr. Yusuf al-Qaradhawi). Inilah yang telah difatwakan dan diamalkan oleh beberapa sahabat seperti Anas setelah dia uzur kerana tua selama setahun atau dua tahun dengan memberi makan setiap hari yang ditinggalkan seorang miskin dengan makanan roti (makanan asasi) dan daging.”
 (sumber: al-Qaradhawi: Taisir al-Fiqh (Fiqh al-Siyam), ms. 70-71)

Cara membayar fidyah

Al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin berkata:

أما كيفية الإطعام، فله كيفيتان: الأولى: أن يصنع طعاماً فيدعو إليه المساكين بحسب الأيام التي عليه، كما كان أنس بن مالك -رضي الله عنه- يفعله لما كبر.
الثانية: أن يطعمهم طعاماً غير مطبوخ، قالوا: يطعمهم مد بر أو نصف صاع من غيره، أي: من غير البر، ومد البر هو ربع الصاع النبوي... لكن ينبغي في هذه الحال أن يجعل معه ما يؤدمه من لحم أو نحوه، حتى يتم قوله تعالى: وعلى الذين يطيقونه فدية طعام مسكين
 
Maksudnya: “Adapun cara memberi makan (orang miskin), terdapat dua cara: Pertama: Membuat makanan dan menjamunya kepada orang miskin sebanyak hari yang ditinggalkannya, sepertimana yang dilakukan oleh Anas bin Malik RA ketika beliau uzur disebabkan tua. Kedua: Memberi orang miskin makanan yang belum dimasak satu mud Barli atau setengah so’ dari makanan yang selainya (terdiri daripada makanan asasi), satu mud Barli menyamai ¼ so’ al-Nabawi… Sewajarnya disediakan juga bersamanya lauk seperti daging atau seumpamanya, agar tertunainya firman Allah: “Dan ke atas orang-orang yang tidak mampu berpuasa, hendaklah dia memberi makan orang miskin.”

Bolehkah menggantikan fidyah dengan memberi duit

Para ulama berbeza pendapat dalam masaalah ini. Lebih utama adalah memberi makan kepada orang miskin sebagai mematuhi asal arahan Allah SWT di dalam al-Quran. Namun jika ada kesukaran yang tidak dapat dielakkan bolehlah seseorang mengambil pandangan mazhan Hanafi yang membenarkan dikeluarkan wang sebagai ganti memberi makan. Pandangan ini disokong oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi.

Cetak  
Wallahu a'lam