Soalan:
Ustaz benarkan larangan puasa sunat hari Sabtu seperti poster di atas sekalipun hari Asyura, hari Arafah dan puasa-puasa sunat yang lain jatuh hari Sabtu dilarang melakukan puasa tersebut? Mohon penjelasan dari ustaz. Terima kasih.
Jawapan:
Pandangan yang mengatakan ditegah/haram berpuasa sunat pada hari Sabtu adalah pandangan Syaz atau pandangan pelik dan ganjil yang tidak perlus diambil dan disebarkan. Antara ulama yang mengatakan pandangan ini Syaz ialah al-Syeikh ‘Abd al-Rahman bin Nasir al-Barrak[1] yang berkata:
“Pandangan al-Syeikh Nasiruddin al-Albani RH yang mengatakan ditegah puasa (sunat) pada hari Sabtu secara mutlaq adalah pandangan Syaz yang tidak sepatutnya diambil.”[2]
Demikian juga al-Syeikh Mustafa al-‘Adawi HFZ yang berkata:
“Adapun jika melihat satu matan dan satu sanad hadis dan mengabaikan (matan dan sanad hadis) yang lain akan menghasilkan fiqh yang syaz lagi tertolak. Amat ganjil seorang lelaki yang tidak berpuasa pada hari ‘Asyura ketika semua umat Islam berpuasa hanya dengan alasan hari ‘Asyura tersebut jatuh pada hari Sabtu yang diharamkan puasa pada sangkaannya.[3]
Pandangan yang mengatakan pandangan al-Albani ini Syaz kukuh sandarannya, antara sebabnya kerana telah berlaku ijmak boleh berpuasa pada hari Sabtu. Antara yang mendakwa telah berlaku ijmak dalam keharusan puasa sunat pada hari Sabtu ialah:
- Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah RH.
Di dalam Syarh al-‘Umdah setelah menukilkan perkataan al-Athram yang menggambarkan bagaimana Imam Ahmad memberitahu pendirian Yahya bin Sa’ied yang mengelak dan tidak mahu meriwayatkan hadis al-Shamma الصماء tentang larangan puasa sunat pada hari Sabtu. Setelah itu al-Athram menukilkan jawapan Imam Ahmad ketika ditanya tentang puasa sunat pada hari Sabtu lalu beliau mendatangkan hadis al-Shamma tersebut dan menyatakan juga riwayat dari Imam Ahmad yang menunjukkan tiada sebarang hukum makruh berpuasa sunat pada hari Sabtu, seterusnya Ibn Taimiyyah berkata:
وهذا يدل على توقفه عن الأخذ به؛ لأن ظاهر الحديث خلاف الإِجماع
Maksudnya: “ini menunjukkan tawaqqufnya beliau (Imam Ahmad) dari mengambil hadis ini, kerana zahir hadis bertentangan dengan Ijma’.”[4]
- Abu al-Qasim (W1392H) berkata: “Sesungguhnya puasa sehari beriringan dengan hari Sabtu tidak makruh secara ijmak’.”[5]
- Kata Dr. Sa’ad al-Hamid:
“tidak aku dapati ada seseorang lain yang mendahului al-Syeikh Nasiruddin al-Albani yang menyebut pandangan ini dan perinciannya. Sehinggakan Ibn Hazm dalam keadaan beliau seorang yang melampau terhadap usul mazhabnya.” Kata beliau lagi:
“mengitlaqkan pandangan haram puasa sunat pada hari Sabtu secara mutlaq, belum pernah aku dapati sesiapapun yang menyebutnya melainkan al-Syeikh Nasiruddin al-Albani RH.”[6]
Kata al-Syeikh ‘Ali bin Ramih al-Ramihi setelah beliau membahaskan pandangan al-Albani ini di dalam risalahnya Hukm Siyam Yaum al-Sabt fi Ghair al-Fardh:
“Yang jelas bahawa penisbahan pandangan yang mengharamkan puasa sunat hari Sabtu sebagai pandangan yang syaz (pelik dan ganjil) adalah benar, kerana pandangan haram ini telah menyalahi ijma’ yang benar telah berlaku. Tidak diketahui juga sesiapa mengeluarkan pandangan ini sebelum al-Albani RH. Cukuplah salahnya pandangan beliau ini apabila ia telah keluar dari pandangan-pandangan para ulama, sekalipun tiada bukti lain kesalahannya, dan sunnah yang mutawatir membuktikan rosaknya pandangan tersebut, kerana telah ada hadis puasa sunat hari Sabtu, demikian juga zahir hadis tersebut menyalahi ijma’ bahkan menyalahi hadis-hadis keseluruhannya.”
--------------------------------------------
[1] Salah seorang anak murid mufti Saudi yang masyhur Bin Baz. Nama yang dicalonkan sebagai qadhi oleh al-Syeikh Muhammad bin Ibrahim Ali al-Syeikh. Dicalonkan sebagai anggota fatwa oleh Bin Baz dan al-Syeikh ‘Abd al-‘Aziz Ali al-Syeikh, namun beliau menolaknya untuk kekal menyampaikan ilmu di rumah dan di masjid-masjid.
[2] Fatwa beliau yang disebarkan di akaun twiter rasminya pada 7/11437H
[3] Mafatih li al-Fiqh fi al-Din, halaman: 27
[4] Syarh al-‘Umdah 2/653, cetakan pertama 1417H/1996M, tahkik Za-id bin Ahmad al-Nusyairi
[5] Hasyiah al-Raudh al-Murbi’ 3/459
[6] Hukm Saum Yaum al-Sabt, halaman 26 & 90