Soalan:
Apa pandangan ustaz dengan keluhan sebahagian asatizah ttg norma baru penjarakan saf ketika solat jemaah?
Jawapan:
Bukankah bilangan positif Covid-19 semakin menaik hari ini? Sekalipun ia di negeri lain, Yang penting kita masih belum bebas dari wabak ini. Bahkan sebenarnya kehilangan jemaah dari solat Jumaat lebih wajar dibimbangi dan dikeluhkan berbanding penjarakan saf yang termasuk perkara menyalahi perbuatan-perbuatan sunat solat jemaah di sisi majoriti ulama, kerana Nabi SAW bersabda:
فإن تسوية الصف من تمام الصلاة
maksudnya: "Sesungguhnya meluruskan saf (Salah satu dalam tuntutan dalam perintah iqamah alSaf) termasuk dari perkara kesempurnaan solat"
Maka perkara yang termasuk dalam kesempurnaan, BUKAN wajib. Kerana itu majoriti ulama mengatakan merapatkan saf adalah termasuk dalam perkara sunat BUKAN WAJIB. Apatah lagi penjarakan yang berlaku di dalam solat berjemaah sekarang ini bukan suatu yang disengajakan, sebaliknya kerana ada tuntutan. Iaitulah bagi mengurangkan risiko menularnya wabak Covid-19.
Mungkin ada orang berkata, kenapa hanya di dalam solat jemaah sahaja? tidak kepada orang lain? Maka jawabnya perintah menjaga jarak dikenakan kepada semua golongan tanpa kecuali. Keengkaran dari mematuhi penjarakan oleh sebahagian pihak TIDAK BOLEH digunakan untuk jemaah masjid turut tidak melaksanakan penjarakan. Ada juga orang menjadikan alasan dengan kata mereka: "Yang peliknya naik kereta berempat tiada penjarakan dalam kereta. tiba-tiba masuk masjid kena amalkan penjarakan?" Maka kita jawab: "Itu juga bukan alasan untuk tidak mengamalkan penjarakan ketika solat. Siapa boleh jamin keempat-empat yang bersama di dalam kereta tidak membawa virus korona? Bagimana jika salah seorang daripada mereka ada membawa virus korona? Jika penjarakan tidak dilakukan ketika solat di dalam masjid, sudah tentu peratus boleh jangkitan lebih tinggi apabila mereka menunaikan solat. Namun peratus boleh jangkitan yang tinggi ini dapat dikurangkan dengan pengamalan penjarakan seperti yang dianjurkan oleh pihak MKN yang merupakan Ahl al-Zikir (pihak yang berautoriiti) dalam persoalan ini, bukan para asatizah.
Di dalam hadis berkaitan tayammum, Nabi SAW bersabda:
إِنَّ الصَّعِيدَ الطَّيِّبَ طَهُورُ الْمُسْلِمِ ، وَإِنْ لَمْ يَجِدِ الْمَاءَ عَشْرَ سِنِينَ ، فَإِذَا وَجَدَ الْمَاءَ فَلْيُمِسَّهُ بَشَرَتَهُ
Maksudnya: "Sesungguhnya permukaan bumi yang baik itu adalah alat bersuci bagi seorang muslim, sekalipun dia tidak mendapati air selama 10 tahun. Apabila ada air (setelah itu) maka hendaklah digunakan air pada kulitnya (dalam bersuci) ketika itu" (HR al-Tirmizi, Abu Daud dan Ahmad daripada Abu Zar alGhifari RA. Dinilai Sahih oleh al-Nawawi di dalam al-Majmu' 1/94)
Kerana itu selagi wabak Covid-19 masih ada, maka selagi itulah penjarakan diamalkan termasuk di dalam masjid. Sekalipun bertahun-tahun lamanya, bergantung kepada nasihat dari pihak MKN dan KKM. Tidak timbul isu keluhan dengan norma baharu yang kononnya menyalahi sunnah, kerana termasuk di dalam sunnah ialah menjaga kesihatan dan menolak mudharat. Oleh itu mengamalkan penjarakan ketika solat berjemaah ketika bimbangkan wabak adalah bertepatan dengan sunnah Nabi SAW.
Perkara yang lebih utama dibimbangkan, seperti yang saya sebutkan di awal jawapan ialah ke mana hilangnya orang-orang lelaki ketika solat Jumaat??? Jika sebelum PKP dilaksanakan, masjid dipenuhi dengan para jemaah, namun apabila diamalkan penjarakan tidak pula berlaku limpahan jemaah ke luar bahagian masjid? Di mana mereka? sebahagiannya pula dengan berbangga bersumpah di dinding FB, tidak akan hadir ke masjid selagi penjarakan diamalkan ketika solat jumaat. Mereka tidak sedar kejahilan dan besar kepala yang mendorong mereka sehingga tidak dapat menilai mana yang fardhu, mana pula yang sunat. Malangnya sebahagian asatizah atau ustaz juga memanjangkan kejahilan ini.