Soalan:
Bagi anggota bomba, panggilan kecemasan tidak mengenal waktu. Kadangkala awal pagi, kadangkala siang hari. Seringkali juga, ketika anggota bomba sedang bersiap untuk solat, panggilan kecemasan berkumandang. Lalu terpaksa solat ditangguhkan dahulu sehingga keadaan kembali tenang.
Persoalannya, apakah dibolehkan syara’ sekiranya anggota bomba yang sedang solat memberhentikan solat semata-mata kerana bergegas menghadiri operasi kecemasan? Sekiranya boleh, apakah kaedah yang paling sempurna untuk keluar dari solat dan bagaimana untuk menyambungnya semula setelah selesai operasi? Apakah ia perlu mengulang semula solat daripada awal atau hanya menggantikan baki solat yang ditinggalkan? Mohon penjelasan ustaz.
Jawapan:
Pada asalnya, apabila seseorang telah memulakan solatnya, haram baginya membatalkan solat tersebut dengan sengaja tanpa ada keperluan yang mendesak. Namun apabila ada keperluan yang mendesak, boleh pula seseorang membatalkan solatnya bahkan kadang-kala sampai ke tahap wajib membatalkan solat jika ia membabitkan keselamatan nyawa seperti menyelamatkan orang yang sedang lemas, terbakar, kanak-kanak dalam bahaya, orang buta yang akan terjatuh ke dalam lubang dan seumpamanya.
al-'Izz bin 'Abd alSalam berkata di dslam Qawa'id alAhkam: "Qa'idah pada mempertimbangkan antara alMasalih dan alMafasid... contoh yang ke lapan: mengutamakan menyelamat seorang yang lemas berbanding menunaikan solat, kerana menyelamatkan orang-orang yang sedang lemas di sisi Allah adalah lebih utama dari menunaikan solat. Demikian juga (tindakan seperti itu) dapat menghimpunkan dua maslahah (kebaikan) iaitulah menyelamatkan orang lemas kemudian menunaikan solat..." (Qawa'id alAhkam Fi Islah alAnam 1/96)
Di dalam Kassyaf alQina', alBahuti menyatakan wajib menahan seorang kafir yang dipelihara nyawanya kerana berstatus zimmi atau dalam perjanjian perdamaian dari terjatuh ke dalam telaga dan seumpamanya seperti dari seekor ular yang hendak mematuknya sama seperti menahan seorang muslim dari hal-hal sedemikian.
Di dalam alMausu'ah alFiqhiyyah 31/183 dinyatakan: