SDI 0625: Niat Solat Qasar, Rupa-Rupanya Imam Solat Tamam. Apa Nak Buat?

Tarikh: 13 Dec 2016
Kemaskini: 30 Sept 2020
 
Soalan:
 
Ust. Saya berhenti di R&R utk solat qasar zohor. Ada sekumpulan jemaah baru memulakan solat. Saya sangka mereka semua solat zohor sexara qasar. Rupa-rupanya mereka solat zohor tamam. Apa nak buat ust? Saya confius, akhirnya saya ubah niat ikut mereka tamamkan solat. Sahkah solat saya ust, saya bermazhab syafie? Kerana saya mulakan solat dgn niat qasar.
Saya rasa solat saya tidak sah menurut mazhab syafie. Atau bagaimana ust?
 
Jawapan:
 
Solat anda SAH menurut mazhab alSyafie. Di bawah ini saya buatkan huraian ringkas. 
 
Ada beberapa keadaan:
 
1) Seseorang berniat ketika takbiratul ihram menunaikan solat secara tamam (4 rakaat). Atau dia niat secara mutlak iaitulah menunaikan solat zohor sahaja (sebagai contoh) tanpa menetapkan qasar atau tamam, atau orang yang masih teragak-agak nak qasar atau tamamkan solat, atau orang yang masih ragu ketika di dalam solat, apakah dia tadi niat qasar atau tamam. Maka semua keadaan ini mewajibkan dia solat secara tamam. Jika dia qasarkan solatnya dalam keadaan tersebut, maka solatnya BATAL. sekalipun dalam keadaan dia mengikut imam yang qasar. Inilah pandangan yang mu'tamad dalam mazhab Hanbali dan Syafie. Ini kerana mereka mensyaratkan sahnya qasar dengan penetapan niat nak qasar ketika takbiratul ihram, kekal dan berterusan dalam niat tersebut sehingga selesai solat. Jika mengubah niat ini ketika solat, atau berlaku ke atasnya sesuatu yang mewajibkan dia solat secara tamam seperti elok sahaja sampai atau masuk ke bandar tempat tinggalnya, sedang dia masih di dalam solat, maka hendaklah dia tamamkan solat. Kata Imam alNawawi RH: 
 
"Telah kami sebutkan bahawa mazhab kami, tidak boleh qasar sehinggalah seseorang berniat (qasar) ketika takbiratul ihram." 
 
Kata al'Abdari: "dan itulah yang telah dinyatakan oleh kebanyakan fuqahaa'" 
 
Kata alMardawi di dalam al-Insaf:
 
"jika seseorang musafir tidak berniat qasar ketika takbiratul ihram, maka wajib dia solat tamam berdasarkan yang sahih dari mazhab (al-Syafi'ie). Dan disyaratkan bagi membolehkan qasar, berniat qasar ketika takbiratul ihram. Inilah pandangan kebanyakan ashab." 
 
Kata al-Imam Ibn Qudamah di dalam alMughniy
 
"Dan apabila seseorang yang bermusafir bertakbiratul ihram di belakang seorang yang bermuqim (solat berjemaah) atau sesiapa yang pada sangkaan banyaknya, orang itu (yang hendak dijadikan imam itu) seorang bermuqim atau orang yang dia ragu samada dia seorang muqim atau musafir, maka wajib dia (orang musafir itu) solat tamam, sekalipun imam itu sebenarnya solat qasar. Ini kerana hukum asal wajib solat adalah secara tamam. Maka tiada untuknya niat qasar solat beserta ragu, sedangkan hukum asal wajib solat secara tamam. Maka wajib solat tamam kerana mengambil kira niat. Dan inilah mazhab alSyafie. Jika pada sangkaan banyaknya, imam tersebut seorang musafir disebabkan melihat pada keadaannya, tanda-tanda dan kesan-kesan musafir, maka orang itu boleh niat qasar. Jika imam itu ternyata qasar, maka dia qasar bersama imam tersebut, jika imam itu solat secara tamam, maka wajib dia mengikut imamnya (secara tamam). Jika dia niat solat tamam, maka wajib dia solat secara tamam sama ada imam solat qasar atau solat tamam, sebagai mengambil kira niatnya." 
 
2) Seseorg berniat qasar ketika takbiratul ihram. Sama ada dia imam atau solat sendirian, baginya dua pilihan: 
 
i) Selesaikan solat secara qasar. Iaitulah dengan meneruskan solat dalam keadaan tetap niat qasar sehingga tamat solat, dan tanpa berlaku sesuatu yang mewajibkan dia tamamkan solat seperti sampai ke dalam kotanya ketika sedang solat yang dia niatkan qasar itu. 
 
ii) Selesaikan solat secara tamam. Iaitulah dengan cara mengubah niat daripada qasar kepada tamam atau dengan sebab masih berbelah-bahagi ketika di dalam solat sama ada hendak qasar atau tamam, atau dengan sebab ragu-ragu, apakah yang dia niatkan tadi, apakah qasar atau tamam? Maka dalam keadaan ini wajib dia solat secara tamam dan tidak boleh qasar selepas mengubah niatnya atau berbelah-bahagi atau ragu. 
 
Kata Imam alNawawi RH:
 
"kalau dia telah niat qasar dalam takbiratul ihram, kemudian berbelah-bahagi sama ada nak qasar atau tamam, atau ragu-ragu, kemudian dia jazamkan (niat salah satunya) atau dia teringat, maka wajib dia solat tamam." 
 
Di tempat yang lain, sebagai meletakkan illah wajib solat tamam dalam situasi-situasi ini alNawawi berkata: 
 
"Ini kerana dia telah melalui satu bahagian dari solatnya dalam keadaan wajib tamamkan solat. Jika dia makmum, berimamkan orang yang solat tamam, maka wajib dia solat tamam kerana mengikuti imam. Jika dia berimamkan dengan seorang yang dia ketahui atau dia sangka imam itu musafir, harus baginya qasar solat di belakang imam seperti itu, sekalipun dia tidak tahu apakah imam itu niat qasar atau tidak." 
 
alNawawi juga berkata di dalam Syarh alMuhazzab
 
"Dan jika seseorang solat di belakang seorang yang bermusafir, sedang dia tidak tahu akan niat imamnya itu, lalu dia kaitkan niatnya dengan niat imam dengan katanya: "Jika imam ini solat qasar, maka aku juga qasar. Jika imam ini solat tamam, aku juga solat tamam. Maka yang Asah di sisi ulama mazhab syafie adalah sah niat yang dikaitkam seperti ini. Maka jika imam solat tamam, dia solat tamam. Jika imam solat qasar, dia juga solat qasar." 
 
Demikianlah pandangan dalam mazhab syafie dan Hanbali. 
 
Namun menurut syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah RH, niat qasar solat, BUKAN satu kewajipan bagi orang yang bermusafir. Jika seorang yang bermusafir berniat solat zohor sahaja, tanpa menetapkan qasar atau tamam, maka orang tersebut boleh melaksanakan solat itu secara qasar. Ini kerana hukum asal solat orang musafir adalah dua rakaat (qasar). 
 
Cuba perhatikan alasan yang diberikan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah, beliau berkata: 
 
"Yang benar bahawa qasar tidak perlu kepada (penetapan) niat (untuk qasar). Bahkan seorg musafir masuk ke dalam solatnya seperti seorang yang tidak musafir masuk ke dalam solat (tidak wajib menetapkan hendak tamam). Bahkan sekiranya seorang musafir berniat hendak menunaikan solat empat rakaat, pasti hal ini makruh baginya, kerana berdasarkan sunnah sepatutnya dia solat dua rakaat (qasar)." (Majmu' alFatawa 22/81) 
 
Kata beliau lagi: 
 
"Tidak daku ketahui walau seorgpun dari kalangan sahabat dan tabi'ien yang mensyaratkan niat (tetapkan hendak qasar atau jamak) pada solat qasar mahupun pada solat jamak. Jika seorang musafir niatkan solat tamam, sunnah yang sebenarnya pada hak dia adalah dua rakaat. Jika dia solat empat rakaat, hal itu adalah makruh sama seperti jika dia tidak menetapkan niatnya. Tidak ada sama sekali walau seorangpun yang menukilkan dari Nabi SAW yang baginda ada memerintahkan para shabat baginda untuk (tetapkan) niat qasar, tidak juga jamak. Demikian juga para khulafa baginda mahupun para sahabat lainnya tidak pernah menyuruh sesiapa yang solat di belakang mereka (untuk tetapkan qasar atau tamam), sedangkan para makmum atau kebanyakan mereka tidak tahu solat bagaimana yang hendak dilakukam oleh imam mereka. Sesungguhnya Nabi SAW, ketikamana baginda keluar hendak menunaikan haji, baginda solat zohor bersama orang ramai di Madinah sebanyak empat rakaat. Setelah itu baginda solat asar bersama orang ramai di Zul Hulaifah sebanyak dua rakaat (qasar). Di belakang baginda ketika itu orang ramai yang tidak terkira jumlahnya (menjadi makmum). Semua mereka keluar (dari kampung halaman mereka) hendak menunaikan haji bersama baginda. Ramai dari kalangan mereka tidak tahu solat musafir, samada disebabkan baru memeluk islam, atau samada mereka belum pernah bermusafir sama sekali, terutamanya para wanita. Mereka semua solat bersama baginda, dan baginda tidak ada memerintahkan mereka agar tetapkan niat hendak qasar." (Majmu' alFatawa 24/104) 
 
Pandangan Ibn Taimiyyah ini menjadi pilihan syeikh Ibn 'Uthaimin RH, beliau berkata: 
 
"Asal bagi solat musafir adalah qasar. Kerana itu ia tidak memerlukan penetapan niat qasar, iaitulah jika anda memulakan solat yang empat rakaat ketika bermusafir, dan anda tidak tetapkan niat hendak qasar, maka anda solatlah secara qasar. Ini kerana asal solat ketika musafir adalah qasar." (Liqa' alBab alMaftuh 3/42) 
 
Kata beliau lagi: "Hal seperti ini banyak berlaku, seorang bertakbir untuk solat yang empat rakaat ketika bermusafir, tidak terlintas dalam fikirannya qasar. Akan tetapi setelah dia bertakbir, membaca alFatihah, atau rukuk atau seumpamanya, baru dia teringat yang dia sedang bermusafir, lalu dia niat qasar solat. Jika berdasarkan mazhab (mazhab imam Ahmad) wajib orang seperti ini solat secara tamam. Namun YANG SAHIH, tidak wajib ke atasnya solat tamam, bahkan memadai solat qasar, ini kerana pada asalnya, sama sepertimana seorang mukim tidak wajib tetapkan niat tamam, maka demikianlah seorang musafir tidak wajib baginya tetapkan niat qasar (ketika takbiratul Ihram). (alSyarh alMumti' 4/149)

Cetak  
Wallahu a'lam