HUKUM ORANG FASIK MENJADI IMAM
Oleh: Ustaz Mohamad Abdul Kadir bin Sahak
Pegawai Jabatan Mufti Perlis
Pada asalnya seorang Imam hendaklah orang yang terbaik dalam kalangan masyarakat. Kerana imam sepatutnya menjadi contoh kepada orang lain. Kerana itu kita dapati baginda Nabi SAW yang menjadi imam di dalam solat ketika hayat baginda. Demikianlah juga yang dilakukan oleh para khulafa’ al-Rasyidin selepas baginda.
Tiada khilaf dalam kalangan ulama akan Makruhnya solat di belakang imam yang fasiq. Ini kerana seorang yang fasiq tiada jaminan dapat dipercayai dia menjaga syarat-syarat Solat. Selain itu, ia juga menjadi sebab kurangnya bilangan Jemaah, kerana pada kebiasaannya seseorang tidak sanggup menjadikan orang fasiq sebagai ikutan. Namun para ulama berbeza pandangan tentang solat tersebut apakah sah ataupun tidak. Huraiannya adalah seperti berikut:
Keadaan Pertama: Fasiq dari sudut amalan seperti seorang pelaku dosa besar, antaranya zina, mencuri dan meminum khamar. Atau seorang yang berterusan dalam melakukan dosa kecil seperti merokok dan seumpamanya.
Untuk keadaan pertama ini, terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ulama. Namun Imam Abu Hanifah, Imam Malik berdasarkan satu riwayat daripada beliau, kebanyakan ulama mutaakkhirin dari mazhab Malik (al-Mudawwanah 1/83. al-Kharsyi 2/23. al-Taaj wa al-Iklil bersama Hasyiah Mawahib al-Jalil 2/93). Demikian juga pandangan Imam Ahmad berdasarkan satu riwayat daripada beliau (al-Mughniy 2/187). al-Syeikh ‘Abdul Aziz Abdullah bin Baz RH (Majallah al-Dakwah al-Saudiiyyah bilangan 997 tarikh 4/3/1405H) menyatakan SAH solat di belakang imam yang fasik dari sudut amalan. Alasannya adalah seperti berikut:
- Hadis Abu Zar RA yang berkata: “Rasulullah SAW bersabda kepadaku:
Maksudnya: “Bagaimana kamu nanti, apabila menguasai kamu pemimpin-pemimpin yang melewatkan solat dari waktunya, atau mereka mematikan solat (mereka melewatkan sehingga solat itu seperti mayat yang tidak memiliki ruh sama sekali[1]) dari waktunya.” Kata Abu Zar: “Maka apakah yang Dikau perintahkan untuk aku lakukannya?” baginda bersabda: “Tunaikanlah solat pada waktunya, jika kamu mendapati solat bersama mereka, maka tunaikanlah solat bersama mereka, kerana sesungguhnya solat itu menjadi sunat bagi kamu.” [2]
Hadis ini menunjukkan baginda Nabi SAW membenarkan solat di belakang pemimpin yang sengaja melewat dan mematikankan solat.
- Hadis daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
Maksudnya: “Mereka (para imam) solat bersama kamu semua, jika mereka betul di dalam solat, maka pahala untuk kamu semua. Jika mereka salah di dalam solat, dosa itu dipikul oleh mereka.” [3]
Hadis ini menunjukkan baginda Nabi SAW mengizinkan solat di belakang para pemimpin, dimana jika mereka betul di dalam solatnya maka kesemua para Jemaah mendapat pahala. Manakala jika mereka melakukan kesalahan di dalam solat. Maka kesalahan itu dipikul oleh mereka sendiri tidak dipikul oleh para makmum. Keharusan solat di belakang pemimpin yang melakukan kesalahan menunjukkan harusnya solat di belakang imam yang fasiq.
- Hadis daripada Abu Hurairah RA yang berkata Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Solat fardhu itu adalah wajib di belakang setiap muslim samada dia seorang yang baik atau jahat, sekalipun dia melakukan dosa-dosa besar.” [4]
- Perbuatan para sahabat RA:
- Daripada Salim bin ‘Abdillah bin ‘Umar bin al-Khattab RA[5] katanya:
Maksudnya: “Abdul Malik bin Marwan menulis surat kepada al-Hajjaj agar jangan menyalahi Ibn ‘Umar di dalam ibadah Haji. Datang Ibn ‘Umar RA dan aku bersama dengan beliau pada hari Arafah ketikamana matahari telah tergellincir, lalu dia berteriak memanggil berhampiran khemah al-Hajjaj. Maka keluarlah (al-Hajjaj) diselubungi kain lebar kekuningan seraya berkata: “Ada apa denganmu wahai Abu ‘Abdul Rahman?” Jawab beliau: “Mari segera, jika kamu hendak (tahu) tentang sunnah.” Al-Hajjaj bertanya: “Sekarang ini?” Jawab Ibn ‘Umar: “Ya.” Kata al-Hajjaj: “tunggu sebentar sehingga aku mandi terlebih dahulu, setelah itu aku akan keluar.” Lalu Ibn ‘Umar turun dari tunggangannya sehingga keluarnya al-Hajjaj, lalu dia berjalan diantara aku dan bapaku (Ibn ‘Umar). Lalu aku berkata: “Jika kamu mahukan Sunnah (mengikut Sunnah), maka ringkaskan khutbah dan segerakan wuquf (di Arafah).” Lalu al-Hajjaj merenung ‘Abdullah (bapaku), apabila bapaku melihat, bapaku berkata: “Benar seperti katanya.” [6]
- Daripada Abu Sa’ied al-Khudri RA katanya:
Maksudnya: “Dahulunya Rasulullah SAW akan keluar pada hari raya al-Fitri dan al-Adha menuju ke tempat menunaikan solat. Perkara pertama yang baginda lakukan ialah Solat, setelah itu baginda berpaling dan berdiri menghadapi orang ramai, sedang orang ramai ketika itu duduk di dalam saf-saf mereka. Rasulullah SAW memberi peringatan, pesanan dan mengeluarkan perintah kepada mereka. Jika baginda hendak mengutuskan sepasukan tentera, baginda lakukan, atau jika baginda hendak arahkan sesuatu baginda akan memberi arahan. Setelah itu baginda akan berpaling pergi. Kata Abu Sa’ied: Sentiasalah orang ramai melakukan (solat hari raya) sedemikian itu, sehinggalah aku keluar bersama dengan Marwan yang ketika itu pemimpin Madinah pada satu hari raya Adha atau hari raya Fitri, apabila kami sampai di tempat solat, dengan mimbar yang siap dibina oleh Kathir bin al-Salt. Lalu Marwan terus hendak menaiki mimbar (untuk berkhutbah) sebelum terlebih dahulu menunaikan solat. Lalu aku menarik bajunya, dan dia melepaskannya, lalu meninggi di atas mimbar seraya berkhutbah sebelum menunaikan solat. Aku berkata kepadanya: “Kamu telah mengubah (Sunnah Nabi SAW), Demi Allah.” Lalu dia berkata: “Wahai Abu Sa’ied, telah ditinggalkan apa yang kamu ketahui (dari Sunnah).” Jawab Abu Sa’ied: “Apa yang aku ketahui itu, demi Allah adalah lebih baik dari apa yang tidak aku ketahui ini.” lalu dia menjawab: “Sesungguhnya orang ramai tidak akan duduk menunggu khutbah jika dilakukan selepas solat, maka kita sepatutnya mengadakan khutbah sebelum solat.” [7]
- Daripada Abi Jaafar:
Maksudnya: “Bahawa Hasan dan Husain (RA), dahulunya bersegera apabila mendengar seruan pemanggil Marwan (untuk menunaikan solat berjemaah), sedang mereka berdua mencela Marwan dan mereka solat di belakangnya.” [8]
Ketiga-tiga riwayat di atas ini menunjukkan para sahabat solat di belakang pemimpin yang jahat. Dalam riwayat pertama menunjukkan Ibn ‘Umar solat di belakang al-Hajjaj yang terkenal banyak membunuh umat Islam. Riwayat kedua dan ketiga pula menunjukkan Abu Sa’ied, al-Hasan dan al-Husain menunaikan solat di belakang Marwan, salah seorang yang menjadi sebab utama yang membawa kepada kepungan rumah ‘Uthman bin ‘Affan RA. Dia orang yang memalsukan surat kononnya dari ‘Uthman telah mengarahkan dibunuh rombongan yang datang berjumpa dengannya. Demikian juga Marwan adalah seorang yang mencela ‘Ali bin Abi Tolib RA. namun kesemua para sahabat menunaikan solat di belakangnya. Ini menunjukkan harusnya solat di belakang imam yang Fasiq. Inilah pandangan para ulama Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah, antara mereka:
- Kata al-Tahawi RH (W: 321H)
Maksudnya: “Dan kamu berpandangan (harus) solat di belakang setiap imam yang baik mahupun jahat dari kalangan Ahli Kiblah dan sesiapa yang mati di kalangan mereka.” [9]
- Kata Imam Ahmad bin Hambal RH:
Maksudnya: “Dan aku berpandangan (harus) solat di belakang setiap imam yang baik mahupun jahat. Ibn ‘Umar RA telah solat di belakang al-Hajjaj – iaitulah solat Jumaat dan dua hari raya.” [10]
- Kata Ibn Qudamah al-Maqdisi RH:
Maksudnya: “Dan kami berpandangan Haji dan Jihad berterusan bersama setiap pemimpin yang baik mahupun yang jahat. Dan solat Jumaat di belakang mereka adalah harus.” [11]
- Kata Ibn Hazm al-Andalusi RH:
Maksudnya: “Kumpulan sahabat kesemuanya tanpa ada perbezaan pendapat dari seorangpun dalam kalangan mereka, kesemua fuqahaa’ al-Tabi’ien tanpa ada perbezaan pendapat seorangpun dalam kalangan mereka, kebanyakan ulama selepas daripada mereka, kebanyakan para ulama hadis, ia juga pandangan Ahmad, al-Syafie, Abu Hanifah, Daud dan selain mereka semua adalah harus solat di belakang imam fasiq untuk solat Jumaat dan solat yang lain juga. Dan inilah pandangan kami.” [12]
- Ia bertepatan dengan hukum asal iaitulah hukum asal tidak disyaratkan al-‘adalah. Sebaliknya sesiapa sahaja yang sah solatnya untuk dirinya, maka sah juga solatnya untuk orang lain.
- Pandangan yang mengatakan tidak sah mengikut imam fasiq akan membuka jalan keburukan yang lebih besar iaitulah akan berlaku perpecahan dan meninggalkan Jemaah umat Islam.
- Pandangan yang mengatakan tidak sah, sukar dilaksanakan. Terutamanya kebanyakan orang pada hari ini jika diperhatikan mereka melakukan ghibah, sedangkan ghibah adalah salah satu daripada dosa besar.
- Tidak menunaikan solat di belakang imam fasiq akan menimbulkan fitnah dan menjurangkan antara pemimpin dan orang ramai.
Keadaan Kedua: Fasiq dari sudut I’tiqad atau keyakinan seperti golongan muktazilah dan seumpamanya.
Fasiq dari sudut I’tiqad ialah dari kalangan ahli bid’ah. Mereka terbahagi kepada dua:
Pertama: Pelaku Bid’ah yang membawa kepada kufur seperti golongan yang mengingkari hari akhirat atau mengingkari ilmu Allah seperti Ghulat (pelampau) al-Jahmiyyah dan seumpamanya. Pelaku bid’ah kumpulan ini tidak boleh diikuti solatnya tanpa ada khilaf dalam kalangan ulama. Al-Kamal bin al-Humam (الكمال بن الهمام) ketika berbicara tentang solat di belakang fasiq menyatakan:
Makdusnya: “dan umumnya sesiapa yang dalam kalangan ahli kiblat dan tidak melampau (dalam kesesatannya) sehingga tidak dihukum kufur, harus solat di belakangnya, akan tetapi dimakruhkan.” [13]
Kata al-Imam al-Nawawi RH:
Maksdunya: “Dan demikian dimakruhkan (solat) di belakang pembuat bid’ah yang tidak dihukum kufur dengan perbuatan bid’ahnya itu dan sah (solat tersebut). Jika dia dihukum kufur dengan perbuatan bid’ahnya, maka telah terdahulu (penjelasannya) bahawa tidak sah solat di belakangnya sama seperti semua orang kafir.” [14]
Kedua: Pelaku bid’ah yang tidak membawa kepada kekufuran. Para ulama berbeza pandangan.
Pandangan yang lebih benar ialah Sah Solat di belakang mereka. Inilah pandangan ulama mazhab Hanafi[15], pandangan al-Imam al-Syafi’ie[16], dan satu riwayat dari Imam Ahmad.[17] Antara dalil dalam permasalah ini ialah:
- Daripada ‘Ubaid Allah bin ‘Adiy bin al-Khiyar yang masuk bertemu dengan ‘Uthman bin ‘Affan RA yang ketika itu dikepung (rumahnya) seraya berkata:
“Sesungguhnya engkau adalah Imam (pemimpin) umat Islam. Namun golongan pemberontak ini telah mengepung engkau, solat kami diimamkan oleh seorang imam (ketua) fitnah (dari kalangan mereka) dan kami bimbang kami berdosa (kerana mengikutinya).” Kata ‘Uthman: “Solat itu adalah yang paling baik dilakukan oleh umat Islam, maka apabila orang ramai (golongan pemberontak) berbuat baik kepada kamu, maka berbuat baiklah bersama mereka. Apabila mereka berbuat buruk, maka jauhilah perbuatan buruk mereka.” [18]
Riwayat ini menunjukkan ‘Uthman bin ‘Affan RA mengharuskan solat di belakang Imam yang memberontak terhadap kepimpinannya. Ini menunjukkan keharusan solat di belakang pembuat bid’ah.
- Ibn ‘Umar RA solat di belakang Khasyabiyyah (الخشبية) dan golongan Khawarij pada zaman Ibn al-Zubair[19] sedangkan mereka saling berbunuhan. Ditanya kepada al-ZUbair: “Apakah kamu solat di belakang mereka, sedangkan sebahagian mereka membunuh sebahagian yang lain?” Beliau menjawab:
Maksudnya: “Sesiapa yang menyeru: “Marilah menunaikan solat, akan akan menyahutnya. Sesiapa yang menyeru marilah menuju kejayaan, aku akan menyahutnya. Sesiapa yang menyeru marilah membunuh saudaramu semuslim dan merampas hartanya. Aku katakana: Tidak.” [20]
Riwayat ini menunjukkan Ibn ‘Umar RA menunaikan solat di belakang Khawarij yang tergolongan dalam kalangan pembuat bid’ah. Sednagkan Ibn ‘Umar merupakan seoranng sahabat yang terkenal dengan kewarakannya. Perbuatan beliau ini menunjukkan harusnya solat berimamkan ahli bid’ah.
Seperti yang dinyatakan, inilah pandangan yang lebih benar iaitulah Sah solat berimamkan Ahli Bid’ah yang tidak menjadikan pelakunya kufur, alasannya:
- Pandangan ini bertepatan dengan hukum asal yang tidak mensyaratkan perlunya adalah bagi seseroang Imam solat. Sebaliknya sesiapa yang sah solat sendiriannya, maka sah juga solat yang diimamkannya. Tidak terdapat sebarang dalil yang sahih lagi jelas yang menunjukkan adalah merupakan syarat sah imam di dalam solat.
- Pandangan yang mengatakan tidak sah solat di belakang imam pembuat bid’ah akan membuka pintu kerosakan besar. Iaitulah perbuatan menyelisihi Jemaah solat. Dari pandangan ini juga akan melahirkan perpecahan, dua imam dalam satu masjid dan seumpamanya.
------------------------------------------------------------------------
[1] Lihat huraian al-Nawawi di dalam Syarah Sahih Muslim: Kitab al-Masajid Wa Mawadhi’ al-Solah – bab Karahiah Ta’khir al-Solah ‘An Waqtiha al-Mukhtar Wa Ma Yaf’aluhu al-Makmum Iza Akkaraha al-Imam. Hadis bilangan: 649
[2] Riwayat Muslim di dalam Sahihnya: Kitab al-Masajid Wa Mawadhi’ al-Solah – bab Karahiah Ta’khir al-Solah ‘An Waqtiha al-Mukhtar Wa Ma Yaf’aluhu al-Makmum Iza Akkaraha al-Imam. Hadis bilangan: 649
[3] Riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya: Kitab al-Azan – Bab Iza Lam Yutim al-Imam Wa Atamm Man Khalfuh 1:170.
[4] Riwayat Abu Daud di dalam Sunannya, beliau tidak memberi komentar terhadap hadis ini. Kitab al-SOlah – Bab Imamah al-Birr Wa al-Fajir 1:398. Dikeluarkan juga oleh al-Daraqutni: Kitab al-Solah – Bab SIfah Man Tajuz al-Solah Ma’ah Wa al-SOlah ‘Alaih. Kata beliau: “Makhul tidak mendengar dari Abu Hurairah, manakala perawi selain beliau semuanya Thiqaat.” 2:56,57. Dikeluarkan juga oleh al-Baihaqi di dalam Kitab al-SOlah – Bab al-Solah Khalf Man La Yuhmad Fi’luh 3:121.
[5] Beliau ialah Cucu kepada ‘Umar al-Khattab. Salim bin Abdillah bin ‘Umar bin al-Khattab, Abu ‘Amr. Salah seorang al-Fuqahaa’ al-Sab’ah di Madinah al-Munawwarah. Meninggal dunia pada tahun 106H. lihat al-Bidayah wa al-NIhayah 9:262-263.
[6] Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Sahihnya: Kitab al-Hajj – Bab Tahjir Bi al-Rawah Yaum ‘Aradah. Hadis: 1577
[7] Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Sahihnya: Kitab al-Iedain – Bab al-Khuruj Ila al-Musalla Bi Ghair Mimbar. Hadis 913.
[8] Dikeluarkan oleh ABd al-Razzaq di dalam al-Musannaf: Kitab al-Solah – Bab al-Umaraa’ Yuakkhirun al-Solah 2:386.
[9] Al-‘Aqidah al-Salafiah 327 dicetak bersama dengan syarahnya oleh Ibn Abi al-‘Izz al-Hanafi.
[10] Tabaqaat al-Hanabilah 2: 304-305
[11] Lum’ah al-I’tiqad: 28
[12] Al-Fasl Fi al-Milal Wa al-Ahwaa’ Wa al-Nihal 5: 16 – 17.
[13] Fath al-Qadir Syarh al-Hidayah 1/304
[14] Al-Majmu’ 4: 134
[15] Bada’I’ al-Sona’I’ 1/157. Al-Durr al-Mukhtar 1/560-561
[16] al-Majmu’ 4/134
[17] al-Kafi 1/182-183
[18] Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Sahihnya: Kitab al-Azan – Bab Imamah al-Maftun wa al-Mubtadi’ 1:171
[19] Beliau ialah ‘Abdullah bin al-Zubair bin al-‘Awwam bin Khuwailid bin Asad al-Qurashi. Lahir pada tahun 2 Hijrah. Merupakan anak pertama dilahirkan di dalam Islam dari kalangan Muhajirin di Madinah setelah berlaku peristiwa Hijrah. Emaknya Asmaa’ binti Abi Bakr al-Siddiq. Beliau seorang yang banyak menunaikan solat dan puasa. Mati dibunuh pada tahun 73H. lihat al-Isti’aab 2: 300-307 dicetak bersama Hasyiah al-Isobah.
[20] Riwayat al-Baihaqi di dalam al-Sunan al-Kubra – Kitab al-SOlah – Bab al-Solah Khalf Man La Yuhmad Fi’luh. Hadis bilangan 5180