SDI 1262: Jarak Antara Azan Pertama Dan Azan Kedua Waktu Subuh

Soalan: 

Ustaz, berapa jarak antara azan pertama dan kedua untuk waktu subuh?

Jawapan:

Dalam hadis ‘Urwan bin al-Zubair RA, daripada seorang wanita dari Bani al-Najjar yang berkata:

كان بيتي من أطول بيت حول المسجد، فكان بلال يؤذن عليه الفجر

Maksudnya: “Dahulunya rumahku termasuk dari rumah yang tertinggi di sekitar masjid (Nabawi), dan Bilal melaungkan azan di atas rumahku itu.” (Riwayat Abu Daud dan dinilai Sahih oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani di dalam al-Fath)

Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, daripada ‘Aisyah RA, beliau berkata:

ولم يكن بينهما إلا أن ينزل هذا ويرقى هذا

Maksudnya: “Jarak antara azan Bilal dan Abdullah bin Ummi Maktum hanya apabila turun Bilal dan naik Abdullah bin Ummi Maktum.”

Berdasarkan hadis ini Ibn Hajar mengatakan ia sebagai bukti azan yang dilaungkan sebelum Subuh (azan pertama) dilaungkan dalam waktu Sahur. Inilah salah satu wajah di dalam mazhab al-Syafi’ie dan menjadi pandangan yang dipilih oleh al-Subki, al-Qadhi Husain, al-Mutawalli dan al-Baghawi, demikian juga yang dapat difahami dari perkataan Ibn Daqiq al-‘Ied.

Namun hadis ini bukan bermaksud zahirnya yang menunjukkan tempoh yang begitu dekat antara dua azan. Sebaliknya Bilal sebaik sahaja selesai melaungkan azan pertama, beliau akan kekal berada di atas bumbung rumah wanita Bani al-Najjar tersebut untuk berdoa dan seumpamanya sehinggalah hampir terbit fajar, beliau akan turun memberitahu ‘Abdullah bin Ummi Maktum untuk beliau naik ke bumbung rumah wanita tersebut, melaungkan azan sebaik sahaja terbit fajar Sadiq.


Cetak  
Wallahu a'lam