Soalan:
Apa hukum taswib (Klik untuk lihat makna alTathwib) dalam azan Subuh dan ia perlu dibuat pada azan pertama atau kedua?
Jawapan:
Sunat al-Tathwib di dalam azan waktu solat Subuh berdasarkan pandangan keempat-empat mazhab fiqh Hanafi, Maliki, Syafi'ie dan Hambali.
Antara dalilnya ialah hadis Abu Mahzurah أبو محذورة, berdasarkan lafaz Abu Daud:
ألْقَى عليَّ رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم الأذانَ حرفًا حرفًا: الله أكبر الله أكبر، الله أكبر الله أكبر، أشهدُ أنْ لا إلهَ إلَّا اللهُ، أشهدُ أنْ لا إلهَ إلَّا الله، أشهد أنَّ محمدًا رسولُ الله، أشهدُ أنَّ محمدًا رسولُ الله، أشهد أنْ لا إلهَ إلَّا الله، أشهد أنْ لا إلهَ إلَّا الله، أشهد أنَّ محمدًا رسولُ الله، أشهدُ أنَّ محمدًا رسولُ اللهِ، حيَّ على الصَّلاةِ، حيَّ على الصَّلاةِ، حيَّ على الفَلاح، حيَّ على الفَلاح، قال: وكان يقول في الفَجرِ: الصَّلاةُ خيرٌ من النَّومِ
Di dalam hadis ini ada menyebut tentang alTathwib untuk azan solat Subuh atau solat Fajar selepas dilaungkan حي على الفلاح.
alNawawi di dalam Syarh alMuhazzab berkata:
والمذهب أنه ـ أي التثويب ـ مشروع، فعلى هذا هو سنة لو تركه صح الأذان وفاته الفضيلة، هكذا قطع به الاصحاب. وقال إمام الحرمين: في اشتراطه احتمال، قال: وهو بالاشتراط أولي من الترجيع
Maksudnya: "Dan berdasarkan pandangan alMazhab tathwib itu disyariatkan dan ia sunat. Jika ditinggalkan azan tetap sah, dan kehilangan kelebihan mengucapkannya. Inilah yang telah diputuskan oleh Ashab (ulama mazhab Syafi'ie). Kata Imam alHaramain: boleh juga difahami untuk menjadikannya sebagai syarat, dan menjadikannya syarat di dalam azan adalah lebih utama berbanding alTarji' (di dalam azan)."
Jika azan Subuh dilaksanakan dua kali, iaitulah yang pertama sebelum terbit fajar sadiq dan yang kedua setelah terbit fajar sadiq, maka alTathwib dilakukan pada azan kedua BUKAN azan pertama berdasarkan tarjihan oleh alSyeikh 'Abdul 'Aziz 'Abdullah Bin Baz dan Ibn al-Uthaimin RH bersandarkan kepada hadis Nabi SAW:
إذا أذنت بالأول من الصبح، فقل: الصلاة خير من النوم
Maksudnya: "Apabila kamu melaungkan AZAN PERTAMA pada waktu Subuh, maka laungkanlah "alSolatu Khairum minan naum."
Di mana AZAN PERTAMA di dalam hadis memaksudkan azan setelah terbit fajar sadiq, kerana azan sebelum terbit fajar sadiq pada hakikatnya bukan azan seruan untuk menunaikan solat sebaliknya untuk menyedarkan orang yang masih tidur. Ia disebut azan pertama di dalam hadis kerana mengambil kira dua seruan menunaikan solat iaitulah azan dan iqamah.
Namun pandangan muktamad di sisi ulama mazhab Syafi'ie, boleh dilakukan alTathwib pada kedua-dua azan. Demikian juga yang zahir dapat difahami dari perkataan ulama mazhab Hambali dan Maliki.