Soalan:
Assalam ustaz, apa. surah yang selalu Nabi Muhammad saw yang selalu di baca ketika solat sunat.wallahualam.
Jawapan:
Wa'alaikumussalam warahmatullah
Tiada penetapan surah yang perlu dibaca selepas alFatihah di dalam kebanyakan solat sunat. Cuma ada beberapa solat sunat yang diriwayatkan baginda membaca surah tertentu iaitulah sunat sebelum Subuh dan selepas Maghrib, baginda membaca alKafirun pada rakaat pertama dan alIkhlas pada rakaat kedua.
Demikian juga dua rakaat witir, baginda membaca surah alA'la dalam rakaat pertama, alKafirun dalam rakaat kedua dan alIkhlas bersama alMuawwazatain pada rakaat terakhir.
al-Imam Ahmad meriwayatkan daripada 'Aisyah RA yang berkata:
كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يقرأ في ركعتي الفجر قل يا أيها الكافرون وقل هو الله أحد
Maksudnya: "Dahulunya Rasulullah SAW membaca dalam dua rakaat sunat sebelum Fajar surah Qul Ya Ayyuhal Kafirun dan Qulhuwa Allahu Ahad."
Sebuah hadis daripada Ibn 'Abbas RA pula katanya:
ما أحصي ما سمعت من رسول الله صلى الله عليه وسلم يقرأ في ركعتين بعد المغرب وفي الركعتين قبل صلاة الفجر، بقل يا أيها الكافرون وقل هو الله أحد.
Maksudnya: "Tidak mampu aku menghitung banyaknya aku mendengar Rasulullah SAW membaca di dalam dua rakaat selepas Maghrib dan sebelum Subuh surah Qulya Ayyuhal Kafirun dan Qurhuwa Allahu Ahad." (Riwayat Ibn Majah, al-Nasa-ie dan al-Tirmizi dan beliau menilainya sebagai Hasan.
Di dalam Sunan al-Tirmizi juga beliau meriwayatkan hadis daripada 'Aisyah RA yang berkata:
كان الرسول صلى الله عليه وسلم يقرأ في الركعة الأولى بسبح اسم ربك الأعلى وفي الثانية قل يا أيها الكافرون، وفي الثالثة قل هو الله أحد والمعوذتين
Maksudnya: "Dahulunya Rasulullah SAW membaca dalam rakaat pertama (solat Witir) dengan Sabbihisma Rabbikal A'la dan dalam rakaat kedua Qulya Ayyuhal Kafiriun dan dalam rakaat ketiga Qulhuwa Allahu Ahad." (Dinilah Sahih oleh al-Albani).