Hukum Solat Jumaat

          Ketahuilah pembaca sekalian bahawasanya hukum solat Jumaat itu ialah Fardhu ‘Ain iaitulah difardhu atau diwajibkan ke atas setiap individu yang lelaki menurut syarat-syaratnya yang akan dihuraikan nanti dari kalangan umat Nabi SAW. Dalil kefardhuan ini ialah:

Pertama, berdasarkan firman Allah SWT:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَوٰةِ مِن يَوۡمِ ٱلۡجُمُعَةِ فَٱسۡعَوۡاْ إِلَىٰ ذِكۡرِ ٱللَّهِ وَذَرُواْ ٱلۡبَيۡعَۚ ذَٰلِكُمۡ خَيۡرٞ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ ٩

Maksudnya: “Hai orang-orang beriman, apabila diseru untuk menunaikan shalat Jum´at, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui. (al-Jumuah: 9)

Di dalam ayat yang mulia ini, Allah SWT telah memerintahkan orang-orang yang beriman dengan firmanya: فاسعوا yang berasal dari kalimah السعي al-Sa’y yang bermaksud pergi. Perintah pergi di sini membawa hukum wajib kerana tidak wajib pergi melainkan kepada sesuatu yang wajib juga. Demikian pula Allah telah melarang dari berjual beli apabila diseru untuk menunaikan solat Jumaat. Tujuannya agar manusia tidak sibuk dengan urusan lain. Kalaulah solat Jumaat itu tidak wajib, maka tidak ada keperluan ditegah berjual-beli yang harus kerana solat Jumaat.

          Dalil kedua atas kefardhuan solat Jumaat ialah berdasarkan hadis Nabi SAW yang bersabda:

لَيَنتهِينَّ أقوامٌ عن وَدْعِهم الجُمُعاتِ، أو لَيختمنَّ اللهُ على قلوبِهم، ثم لَيكونُنَّ مِنَ الغافلِينَ

Maknanya: “Hendaklah golongan yang meninggalkan solat Jumaat itu berhenti segera dari perbuatan mereka atau Allah akan mengunci ketat ke atas jantung hati mereka kemudian mereka akan termasuk dalam golongan orang-orang yang lalai.” (Riwayat Muslim 865)

Nabi SAW juga bersabda di dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abi al-Ja’d al-Dhamri (أبي الجَعدِ الضَّمْريِّ):

مَن تَرَك ثلاثَ جُمُعٍ تهاونًا، طبَعَ اللهُ على قَلبِه

Maksudnya: “sesiapa yang meninggalkan tiga kali Jumaat dengan sengaja (kerana malas), Allah akan menutup hatinya dari segala kebaikan.” (Riwayat Abu Daud 1052, al-Tirmizi 500, al-Nasa’ie 3/88 dan Ibn Majah 1125. Dinilai hasan oleh al-Tirmizi. Al-Nawawi juga di dalam al-Khulasah 2/758 menilainya sebagai hasan. Ibn al-Mulaqqin pula menilainya sebagai sahih di dalam al-Badr al-Munir 4/583. Kata al-Albani di dalam Sahih Sunan al-Nasa’ie 3/88: “Hasan Sahih”

          Isteri Nabi Hafsah RA berkata, Nabi SAW bersabda:

رَواحُ الجُمُعة واجبٌ على كلِّ مُحتَلِمٍ

Maksudnya: “Pergi ke solat Jumaat adalah satu kewajipan ke atas setiap orang lelaki yang baligh.” (Riwayat Abu Daud 342 dan al-Nasa’ie 3/89. Al-Nawawi menilai sanad hadis ini sahih berdasarkan syarat Muslim di dalam al-Majmu’ 4/483)

          Dalil ketiga berdasarkan ijmak para ulama seperti yang telah dinukilkan oleh al-Kasani (الكاسانيُّ) di dalam Bada’ie al-Sona’ie 1/256, Ibn Qudamah di dalam al-Mughniy 2/218, Ibn Taimiyyah di dalam Majmu’ al-Fatawa 21/339 dan Ibn al-Qayyim di dalam Zad al-Ma’ad 1/385-386)


Cetak  
Wallahu a'lam