Hukum Mendirikan Jumaat Di Banyak Tempat

          Para ulama dari mazhab Maliki[1], pandangan al-Sahih ulama mazhab al-Syafi’ie[2], para ulama mazhab Hambali[3], satu pandangan ulama mazhab Hanafi[4] dan majoriti ulama[5] mengatakan tidak boleh didirikan Jumaat di banyak tempat dalam satu bandar jika tiada keperluan. Namun jika ada keperluan hukumnya menjadi harus. Jika keperluan itu dapat ditampung oleh dua buah masjid maka tidak boleh diadakan Jumaat pada masjid yang ketiga dan demikianlah seterusnya.

Dalil dalam tegahan ini antaranya, pertama: berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibu kita ‘Aisyah RA yang berkata:

ما خُيِّرَ رسولُ الله صلَّى اللهُ عليه وسلَّم بَينَ أمرينِ إلَّا أَخَذَ أَيسرَهما ما لم يكُن إثمًا، فإنْ كان إثمًا كانَ أبعدَ الناسِ منه

Maksudnya: “Tidaklah Rasulullah SAW diberi pilihan antara dua perkara melainkan baginda akan memilih perkara yang lebih ringan selama mana ia bukan dosa. Jika perkara tersebut satu dosa, baginda akan menjauhkan orang ramai dari perkara tersebut.” (Riwayat al-Bukhari 3560 dan Muslim 2327)

Majlis Fatwa Arab Saudi menjadikan hadis ini sebagai alasan dan mereka berkata: “bahawasanya telah thabit tidak ada di zaman Nabi SAW masjid didirikan solat Jumaat di Madinah melainkan satu, iaitulah masjid Nabawi. Semua orang Islam akan datang ke masjid nabawi untuk menunaikan solat Jumaat dari setiap pelusuk dan dari luar Madinah seperti dari kawasan al-‘Awali. Sekiranya berbilang atau banyak tempat menunaikan solat Jumaat di satu bandar yang sama tanpa sebarang alasan adalah harus, sudah tentu baginda Nabi SAW akan memerintahkan para sahabat baginda menunaikan solat Jumaat di masjid di setiap kawasan mereka di kota Madinah kerana baginda tidak akan memilih antara dua perkara, melainkan akan memilih perkara yang lebih ringan selama mana ia bukan satu dosa.”[6]

          Dalil kedua iaitulah dengan ketiadaan sebarang nukilan dari Nabi SAW demikian juga dari para khulafa selepas baginda yang melakukan solat Jumaat lebih dari satu masjid, selagi tiada keperluan untuk melakukan sedemikian. Al-Syeikh al-‘Azim Abadi menyatakan Ibn al-Munzir telah menyebut bahawa umat Islam tiada yang berbeza pandangan bahawasanya Jumaat tidak dilakukan di zaman Nabi SAW melainkan di masjid baginda. Tindakan umat Islam di zaman tersebut meninggalkan masjid di kawasan mereka pada hari Jumaat untuk berkumpul di masjid Nabawi adalah sejelas-jelas penjelasan bahawa solat Jumaat berbeza dengan solat fardhu yang lain. Di mana solat Jumaat tidak boleh ditunaikan melainkan di satu kawasan sahaja.

          al-Khatib di dalam kitab Tarikh Baghdad menyebut bahawa pertama kali di dalam Islam solat Jumaat didirikan di dua tempat di dalam kota yang sama berlaku di zaman al-Mu’tasim pada tahun 280 H. Sebab berlaku perkara ini adalah kerana para pemimpin bimbangkan keselamatan mereka jika menunaikan solat Jumaat di masjid awam. Ibn ‘Asakir pula di dalam Muqaddimah Tarikh Dimasq menyebut bahawa ‘Umar bin al-Khattab telah menulis surah kepada Abu Musa, ‘Amr bin al-‘Ash dan Sa’ad bin Abi Waqqas agar mendirikan solat Jumaat di sebuah masjid yang dapat menghimpunkan semua kabilah. Apabila tiba hari Jumaat semua umat Islam akan berkumpul di masjid tersebut untuk menunaikan solat Jumaat. Telah berkata Ibn al-Munzir: “Tidak aku ketahui ada seorangpun yang berkata (boleh) membanyakkan tempat Jumaat melainkan ‘Atho’.”[7]

          Dalil ketiga iaitulah dengan melaksanakan solat Jumaat di masjid yang satu lebih dapat menyampaikan maksud menzahirkan syiar perhimpunan umat Islam dan kesatuan mereka.[8]

          Seperti yang telah dijelaskan di awal bahawa inilah hukum asal dalam persoalan solat Jumaat, hendaklah ditunaikan di masjid yang satu di dalam sesebuah kota. Namun jika ada keperluan tidak mengapa. Dalil keharusan jika ada keperluan antaranya yang pertama berdasarkan firman ALlah SWT:

يُرِيدُ ٱللَّهُ بِكُمُ ٱلۡيُسۡرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ ٱلۡعُسۡرَ

Maksudnya: “…Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu...” (al-Baqarah: 185)

Di dalam ayat lain Allah berfirman:

وَمَا جَعَلَ عَلَيۡكُمۡ فِي ٱلدِّينِ مِنۡ حَرَجٖۚ

Maksudnya: “…Dia (Allah) sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan…” (al-Hajj: 78)

          Dalil kedua berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah RA Nabi SAW bersabda:

إنَّ هذا الدِّينَ يُسرٌ، ولنْ يُشادَّ الدِّينَ أحدٌ إلَّا غَلَبَه

Maksudnya: “Sesungguhnya agama ini adalah mudah. Tiada seseorang yang memberat-beratkan agama ini melainkan dia akan kalah.” (Riwayat al-Bukhari 39)

Anas bin Malik RA pula memberitahu, Nabi SAW pernah bersabda:

يَسِّروا ولا تُعسِّروا

Maksudnya: “Permudahkanlah dan jangan persusahkan.” (Riwayat al-Bukhari 69 Muslim 1734)

          Semua dalil-dalil yang dinyatakan ini menunjukkan adanya kemudahan di dalam agama. Termasuk dalam ertikata memberi kemudahan itu ialah keharusan mendirikan beberapa solat Jumaat dalam satu bandar yang sama jika ada keperluan bagi tujuan memberi kemudahan kepada orang ramai dan menolak kesukaran dari mereka.

          Boleh juga dikatakan dalil ketiga keharusan mendirikan Jumaat lebih dari satu tempat dengan kita mengatakan baginda Nabi SAW tidak memerintahkan para sahabat mendirikan solat Jumaat di tempat mereka masing-masing kerana para sahabat sendiri mahu mendengar khutbah baginda dan solat Jumaat bersama dengan baginda sekalipun mereka tinggal jauh dari Madinah. Baginda Nabi SAW tidak sama dengan manusia lainnya dari sudut baginda adalah penyampai dari Allah SWT demikian juga disebabkan baginda satu-satunya insan yang izinkan oleh Allah untuk membuat syari’at. Apabila ada keperluan untuk memperbanyakkan solat Jumaat, maka perkara itu tidak perlu dibantah.

          Dalil keempat iaitulah apabila diharuskan berbilang tempat menunaikan solat hari raya kerana ada keperluan, maka demikianlah solat Jumaat.

------------------------------ 

[1] al-Syarh al-Kabir oleh al-Dardir bersama Hasyiah al-Dusuqi 1/378

[2] Tidak boleh berbilang Jumaat di dalam sesuatu bandar ini di sisi ulama mazhab al-Syafi’ie dikecualikan bagi bandar besar dan sukar menghimpunkan orang ramai untuk menunaikan Jumaat di satu tempat seperti ketiadaan tempat yang luas untuk menghimpunkan orang ramai tanpa kesukaran. Dalam keadaan ini dibolehkan berbilang Jumaat disebabkan ada keperluan. al-Imam al-Syafi’ie RH ketika sampai ke kota Baghdad, penduduk kota Baghdad menunaikan Jumaat di dua tempat dan ada yang mengatakan tiga tempat. Namun al-Imam al-Syafi’ie tidak mengingkarinya. Oleh kerana itu kebanyakan ulama memahami perkara itu berlaku disebabkan wujud kesukaran untuk melakukan perhimpunan kerana hendak menunaikan solat Jumaat di satu tempat sahaja. Lihat al-Majmu’ oleh al-Nawawi 4/585-591 juga Hasyiah al-Bujairami ‘Ala Syarh al-Khatib 2/194-195

[3] Al-Mughniy oleh Ibn Qudamah 2/248

[4] Kata Ibn Hubairah (ابن هبيرة):

قال الطحاوي: والصحيح من مذهبنا أنه لا يجوز إقامة الجمعة في أكثر من موضع واحد من المصر، إلا أن يشق الإجتماع لكبر المصر، فيجوز في موضعين، وإن دعت الحاجة إلى أكثر جاز  

Maksudnya: “Dan yang sahih di dalam mazhab kami, bahawa tidak boleh mendirikan Jumaat lebih dari satu tempat di dalam sesuatu kota, melainkan berlaku kesukaran untuk berkumpul disebabkan besarnya kota tersebut, maka pada ketika itu harus dilakukan dua tempat (solat Jumaat). Jika ada keperluan lebih dari itu juga diharuskan.” (Ikhtilaf al-Aimmah al-Ulama 1/156-157)

[5] Kata Ibn Taimiyyah:

قال ابنُ تيميَّة: (فإقامةُ الجمعة في المدينة الكبيرة في موضعين للحاجة يجوزُ عند أكثر العلماء؛ ولهذا لَمَّا بُنيت بغداد ولها جانبان أقاموا فيها جمعةً في الجانب الشرقي، وجمعةً في الجانب الغربي، وجوَّز ذلك أكثرُ العلماء) ((الفتاوى الكبرى)) (2/362). بل ذكَر ابنُ قُدامة أنَّه لا يَعلم مخالفًا في ذلك إلَّا ما جاءَ عن عطاءٍ؛ قال ابنُ قُدامَة: (فأمَّا مع عدم الحاجة، فلا يجوز في أكثرَ من واحد، وإن حصَل الغنى باثنتين لم تَجُزِ الثالثة، وكذلك ما زاد، لا نعلم في هذا مخالفًا، إلَّا أنَّ عطاءً قيل له: إنَّ أهل البصرة لا يَسعُهم المسجد الأكبر، قال: لكلِّ قوم مسجد يُجمِّعون فيه، ويجزئ ذلك من التجميع في المسجدِ الأكبر) ((المغني)) (2/248)

Maksudnya: “kata Ibn Taimiyyah: “Maka mendirikan Jumuat di bandar yang besar pada dua tempat kerana ada keperluan adalah harus di sisi kebanyakan ulama. ”  

[6] Fatawa al-lajnah al-Da’imah , al-Majmu’ah al-Ula 8/257-259

[7] Lihat ‘Aun al-Ma’bud 3/269

[8] Al-Syarh al-Mumti’ oleh Ibn ‘Uthaimin 5/70


Cetak  
Wallahu a'lam