al-Gharim الغارم pada bahasa bermaksud al-Ghurm al-Dain الغُرمُ الدَّين. al-Gharim ialah orang yang memiliki hutang manakala al-Gharim الغريم pula dilafazkan kadang-kala merujuk kepada orang yang berhutang (المَدين) dan boleh juga merujuk kepada orang yang memberi hutang (صاحب الدين). Asal al-Ghurm ialah merujuk kepada al-Luzum اللزوم iaitulah kelaziman/kemestian/berterusan seperti maksud yang dikehendaki di dalam firman ALlah SWT: إِنَّ عَذَابَهَا كَانَ غَرَامًا yang bermaksud: "Sesungguhnya azabnya (neraka jahannam itu) adalah kekal dan berterusan." (al-Furqan: 66)
Dinamakan orang yang berhutang dan yang memberi hutang sebagai gharim غريم kerana mereka berdua saling bermulazamah dan berterusan (memiliki hubungan yang belum selesai). Dikatakan juga al-Ghurmu الغُرم adalah membawa maksud kerugian. Ia seperti menggambarkan seorang yang berhutang mendatangkan kerugian kepada hartanya. (al-Majmu' oleh al-Nawawi 3/453)
al-Gharim الغارم pada syarak pula bermaksud: orang yang berhutang dan lemah atau tidak mampu lagi melangsaikan hutangnya. Di kalangan ulama lain ada yang berkata al-Gharim ialah:
1. Orang yang harta yang wajib dilangsaikan kepada orang lain lebih banyak dari harta yang ada pada dirinya sendiri. (الذي عليه أكثرُ مِن المالِ الذي في يدِه)
2. Orang yang harta yang wajib dilangsaikannya kepada orang lain sama banyak atau kurang dari harta yang dimilikinya (مِثلُه أو أقلُّ منه)
3. Orang yang memiliki hutang yang membebankannya, bukan hutangnya itu dilakukan secara tindakan semberono dan membinasakan (مَن فدَحه الدَّينُ في غير سفَهٍ ولا فسادٍ)
4. Orang yang memiliki hutang, sedangkan dia tidak memiliki lebihan nisab dari hutangnya (مَن لَزِمَه دَين ولا يملك نِصابًا فاضلًا عن دَينِه)
5. Orang yang memiliki hutang yang tidak mampu dilangsaikan dengan hartanya atau sesiapa yang memikul (هم الذين عليهم ديونٌ لا تَفي أموالُهم بها)