HURAIAN FIQH SUNNAH: AIR DAN PEMBAHAGIANNYA
Oleh: Ustaz Mohamad Abdul Kadir binSahak
Para ulama berbeza pandangan dalam persoalan pembahagian air. Pandangan yang terkuat dan yang utama ialah 2:
Pandangan Pertama: Air terbahagi kepada 3 bahagian: Tahur (طَّهُوْر)[1], Tahir (طاهر) [2] dan Najis[3]. Inilah pandangan para ulama dari keemat-empat mazhab, Hanafi[4], Maliki[5], Syafie[6] dan Hambali[7]. Melainkan ada perbezaan antara mereka pada sebahagian air samada termasuk di dalam kumpulan air Tahur atau Tahir.
DALIL DARIPADA AL-SUNNAH
Pertama: Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW pernah ditanya tentang air laut. Lalu baginda menjawab:
هو الطَّهورُ ماؤُه
Maksudnya: “Laut itu Tahur airnya…”[8]
Bentuk Pendalilan
Pertama: Kesemua para sahabat mengetahui bahawa air laut suci bukan najis. Soalan mereka tersebut adalah bertujuan bertanyakan apakah air laut yang suci itu dapat digunakan untuk mensucikan perkara lain ataupun tidak. Ini menunjukkan terdapat air yang hanya Tahir iatulah air yang hanya suci tetapi tidak dapat menyucikan perkara lain. Terdapat pula air Tahur iaitulah yang suci dan dapat menyucukan perkara lain[9].
Kedua: Hadis-hadis larangan dari mandi di dalam air bertakung yang tidak mengalir seperti yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah RA secara marfu’:
لا يَبولنَّ أحدُكم في الماء الدَّائِمِ الذي لا يَجري ثُمَّ يَغتسِل منه
Maksudnya: “Jangan salah seorang daripada kamu kencing di dalam air bertakung yang tidak mengalir, kemudian dia mandi pula dengan air tersebut.”
Demikian juga larangan dari mencelup tangan ke dalam bekas air apabila bangun dari tidur sebelum membasuh tangan terlebih dahulu sebanyak 3 kali.
إذا استيقظ أحدكم من نومِه فليغسل يدَه قبل أن يُدخِلَها في وَضوئِه، فإن أحدَكم لا يدري أين باتت يده
Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu bangun dari tidurnya, maka hendaklah dia membasuh tangannya sebelum memasukkan tangannya ke dalam air wudhunya. Kerana sesungguhnya seseorang daripada kamu tidak tahu di mana menetap tangannya malam tadi ketika dia tidur.” [10]
Bentuk Pendalilan:
Air yang disebut di dalam hadis ini bukanlah air najis. Akan tetapi baginda Nabi SAW melarang dari mandi di dalamnya. Ini menunjukkan terdapat bahagian air yang bukan najis namun ia tidak boleh digunakan untuk bersuci yang dinamakan oleh para ulama sebagai air Tahir.
Pandangan Kedua: Air terbahagi kepada 2 sahaja. Iaitulah Tahur dan Najis. Pandangan ini dinukilkan dari sebahagian ulama mazhab Hanafi[11]. Menjadi pilihan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah[12], Ibn Baz[13] dan Ibn ‘Uthaimin[14].
Dalil Daripada al-Kitab
Pertama: Firman Allah SWT:
Maksudnya: “…dan Kami telah turunkan dari langit air yang Tahur” (al-Furqan: 48)
Dan firmanNya:
Maksudnya: “(ingatlah), ketika Allah menjadikan kamu mengantuk sebagai suatu penenteraman daripada-Nya, dan Allah menurunkan kepadamu hujan dari langit untuk mensucikan kamu dengan hujan itu …” (al-Anfal: 11)
Dalil Daripada al-Sunnah
Kedua: daripada Abi Sa’ied al-Khudriy RA, daripada Nabi SAW yang bersabda:
إنَّ الماءَ طَهورٌ لا يُنجِّسه شيءٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya air itu Tahur (suci lagi menyucikan), tidak dapat menajiskannya sesuatupun.“ [15]
Ketiga: Sesuatu air yang bercampur dengan sesuatu lain yang suci sehingga menjadikan hilang sifat air daripadanya maka ia bukan lagi air mutlak. Adapun juka ia tidak sampai menghilangkan sifat airnya, maka harus bersuci dengan menggunakannya. Bukti dalam perkara ini boleh diambil melalui hadis daripada Ummu ‘Atiyyah al-Ansoriyyah RA yang berkata:
دخل علينا رسولُ الله صلَّى الله عليه وسلَّم حين تُوفِّيت ابنته فقال: اغسلْنَها ثلاثًا أو خمسًا أو أكثر من ذلك إن رأيتُنَّ ذلك بماءٍ وسِدر، واجعلْنَ في الآخِرة كافورًا أو شيئًا من كافور، فإذا فرغتُنَّ فآذنَّنِي
Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah masuk menemui kami, ketika kewafatan anak perempuan baginda dan berkata: “Mandikan dia dengan 3 kali atau 5 kali atau lebih dari itu jika kamu semua melihatnya perlu dengan air dan daud Bidara. Jadikan pada akhir (mandian) campuran kafur atau sedikit dari kafur. Apabila selesaikan maklumkan kepadaku.” (al-BUkhari (1253) dan Muslim (939))
Air yang disebut di dalam hadis ini adalah air yang bercampur dengan daun Bidara. Akan tetapi ia tidak sampai hilang dari air tersebut nama air mutlak. [16]
Kata Sayyid Sabiq RH:
القسم الأول من المياه : الماء المطلق وحكمه، أنه طهور، أي؛ أنه طاهر في نفسه، مطهِّر لغيره، ويندرج تحته من الأنواع ما يأتي:
Maksudnya: “Bahagian pertama dari jenis-jenis air ialah air Mutlak[17]. Hukumnya adalah Tahur iaitulah suci lagi menyucikan selainnya. Termasuk di bawahnya jenis-jenis air seperti berikut:
AIR MUTLAK (الماء المطلق)
١. ماء المطر والثلج والبَرَد، لقول اللّه تعالى: " وَيُنَزِّلُ عَلَيْكُم مِّنَ السَّمَاءِ مَاءً لِيُطَهِّرَكُم بِهِ " [سورة الأنفال: 11]، وقوله تعالى: " وَأَنزَلْنَا مِنَ السَّمَاءِ مَاءً طَهُوراً " [سورة الفرقان: 48]. ولحديث أبي هريرة -رضي اللّه عنه- قال: كان رسولُ الله صلى الله عليه وسلم إذا كبّر في الصلاة، سكت هنيهة قبل القراءة، فقلت: يا رسول اللّه -بأبي أنت وأمي- أرأيت سكوتك بين التكبير والقراءة، ما تقول؟ قال: "أقول: اللهم باعد بيني وبين خطاياي، كما باعدتَ بين المشرق والمغرب، اللهم نقِّني من خطاياي كما ينقى الثوب الأبيض من الدنس، اللهم اغسلني من خطاياي بالثلج والماء والبرَد"(1) رواه الجماعة، إلا الترمذي.
- “Air hujan, salji dan air embun berdasarkan firman Allah Taala: “…Dan Dia (Allah) menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk mensucikan kamu dengannya…” (al-Anfal: 11) dan firmanNya lagi: “Dan telah kami turunkan dari langit air yang suci lagi menyyucikan.” (al-Furqan: 48). Juga berdasarkan hadis Abi Hurairah RA yang berkata: “Dahulunya Rasulullah SAW apabila bertakbir di dalam solat, baginda akan berhenti senyap seketika sebelum membaca (al-Fatihah). Lalu aku bertanya: “Wahai Rasulullah - ibu dan bapa, ku jadikan tebusan untukmu – khabarkan kepadaku tentang diamnya engkau di antara takbir dan bacaan (ak-Fatihah), apakah yang engkau bacakan?” baginda bersabda: “Aku membaca: “Ya Allah, jauhkan antara daku dengan kesalahan-kesalahanku, sepertimana Enkau menjauhkan antara timur dan barat. Ya Allah, sucikan daku dari kesalahan-kesalahanku sepertimana disucikan pakaian putih dari kotoran. Ya Allah, bersihkan daku dari kesalahan-kesalahanku dengan salji dan air embun.”[18] Riwayat al-Jamaah melainkan al-Tirmizi.
٢. ماء البحر، لحديث أبي هريرة -رضي اللّه عنه- قال: سأل رجل رسول اللّه صلى الله عليه وسلم، فقال: يا رسول اللّه، إنا نركب البحر، ونحمل معنا القليل من الماء، فإن توضأنا به عطشنا، أفنتوضأ بماء البحر؟ فقال رسول اللّه صلى الله عليه وسلم:"هو الطهور ماؤه، الحلُّ مَيْتته" رواه الخمسة. وقال الترمذي: هذا الحديث حسن صحيح، وسألت محمد بن إسماعيل البخاري عن هذا الحديث ؟ فقال: حديث صحيح.
- Air laut berdasarkan hadis Abi Hurairah RA yang berkata: “Seorang lelaki bertanya Rasulullah SAW dengan katanya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami berlayar di lautan. Kami membawa bersama kami air yang sedikit. Jika kami berwudhu dengan air tersebut, kami akan dahaga. Apakah boleh kami berwudhu dengan air laut?” Rasulullah SAW bersabda: “Laut itu suci lagi menyucikan[19] airnya, halal pula bangkainya[20].” Riwayat al-Khamsah. Kata al-Tirmizi: “Hadis ini Hasan Sahih. Aku pernah bertanya kepada Muhammad bin Ismail al-Bukhari tentang hadis ini dan beliau berkata: “Hadis Sahih.”
٣. ماء زمزم، لما روي من حديث علي -رضي اللّه عنه- أن رسولَ صلى الله عليه وسلم دعا بسجْلٍ من ماء زمزم، فشرب منه، وتوضأ. رواه أحمد.
- Air Zam-Zam berdasarkan apa yang diriwayat dari hadis ‘Ali RA bahawa Rasulullah SAW telah meminta satu bekas penuh berisi air zam-zam, lalu baginda meminumnya dan berwudhu[21]. Riwayat Ahmad.
٤. الماء المتغير بطول المكث أو بسبب مقرِّه أو بمخالطة ما لا ينفك عنه غالباً كالطحلب وورق الشجر، فإن اسم الماء المطلق يتناوله باتفاق العلماء. والأصل في هذا الباب أن كل ما يصدق عليه اسم الماء مطلقاً عن التقييد يصح التطهُّر به؛ قال اللّه تعالى: "فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا" [سورة المائدة: بعض الآية 6].
- Air yang berubah dengan sebab lama menetap atau dengan sebab tempat atau sebab percampuran dengan sesuatu yang tidak boleh terpisah darinya pada kebiasaannya seperti lumut dan daun-daun pokok. Nama air mutlak masih ada bagi air seperti ini dengan sepakat para ulama. Asal pada bab ini ialah bahawa setiap apa yang masih dinamakan air secara mutlak tanda dikaitkan (kepada sesuatu nama lain) maka boleh bersuci dengannya. Firman Allah Taala: “Jika kamu tidak mendapati air, maka bertayammumlah…” (Surah al-Ma’idah sebahagian dari ayat 6)
-------------------------------------------------
[1] Air Tahur adalah air yang memiliki 2 sifat: Suci pada dirinya dan menyucikan perkara yang lain. Pada hakikatnya air Tahur ialah Air Mutlak yang kekal di atas sifat asal penciptaannya (الماء المطلق الباقي على أصل خِلْقته). Sumbernya ialah: Air laut, air sungai, air hujan, air mata air, air telaga dan seumpamanya terdiri dari air yang turun dari langit atau keluar dari bumi. (Risalah al-Miyah Aqsamuha wa Ahkamuha oleh Ustaz Dr. Hasan ‘Abd al-Ghaniy Abu Ghuddah. Laman fiqh.islammessage.com)
[2] Air Tahir adalah air yang suci pada zatnya, namun tidak dapat mensucikan perkara lain. Terdapat dua keadaan:
- Air yang telah dihilangkan dengannya hadath Hukmi – samada digunakan untuk wudhu atau mandi – dan air itu telah terpisah dari jasad. air ini dinamakan juga air Musta’mal ia suci pada zatnya namun tidak dapat menyucikan yang lain. Tidak boleh berwudhu dan mandi buat kali kedua bagi tujuan bertoharah. Ia juga tidak mensucikan najis hissi seperti air kencing dan darah.
- Air Mutlak yang bercampur dengan apa-apa yang suci yang pada kebiasaannya apa-apa yang suci itu tidak bersama dengannya. Apabila dicampurkan, apa-apa yang suci itu telah mengubahkan beberapa sifat air mutlak tersebut dan juga mengubah namanya dengan dikaitkan kepada campuran yang suci tersebut. kadangkala juga mengubah hakikat air tersebut. ia seperti Cuka dan Air Teh yang telah berubah menjadi air yang suci namun tidak menyucikan yang lain pada pandangan majority ulama kerana namanya telah berpindah dan tidak lagi dinamakan air semata-mata sebaliknya dinamakan Cuka, Teh, minuman dan seumpamanya. (Risalah al-Miyah Aqsamuha wa Ahkamuha oleh Ustaz Dr. Hasan ‘Abd al-Ghaniy Abu Ghuddah. Laman fiqh.islammessage.com)
[3] Air najis terjadi pada 3 keadaan:
- Jika air itu sedikit – tidak sampai 2 kolah – dan jatuh ke dalamnya najis seperti bangkai, air kencing dan darah – maka ketika ini ia menjadi najis. Sekalipun tidak berubah warna, bau dan rasanya, berdasarkan hadis:
إذا بلغ الماء قلتين لم يحمل الخبث
Maksudnya: “Apabila air sampai dua kolah, ia tidak memikul kotoran.” (HR Abu Daud dan al-Hakim, beliau juga menilainya sebagai Sahih). Melalui Mafhum al-Mukhalafah dari hadis ini dapat diketahui bahawa air yang kurang dari 2 kolah boleh memikul atau mengandungi najis. Para fuqaha’ menyatakan sebab penetapan kadar air banyak yang tidak memikul najis dengan dua kolah kerana pada kebiasaannya air yang sedikit dapat dipelihara dari najis dengan menutup mulut bekas simpanan air tersebut. Berbeza dengan air banyak yang sampai 2 kolah atau lebih.
- Jika air banyak – sampai 2 kolah atau lebih – masuk ke dalamnya najis dan mengubah salah satu sifatnya, maka air yang banyak itu bertukar menjadi air najis.
- Air juga menjadi najis jika ianya sedikit dan digunakan untuk menghilangkan najis. Ia menjadi najis dengan bersentuhan dan bercampur dengan najis. (Risalah al-Miyah Aqsamuha wa Ahkamuha oleh Ustaz Dr. Hasan ‘Abd al-Ghaniy Abu Ghuddah. Laman fiqh.islammessage.com)
[4] Lihat Bada’I’ al-Sona’I’oleh al-Kasaniy (1/67) dan Hasyiah al-Tahtawi (17).
[5] Lihat al-Kafi oleh Ibn ‘Abd al-Barr (1/155) dan Mawahib al-Jalil oleh al-Hattab (1/82)
[6] Lihat al-Majmu’ oleh al-Nawawi (1/80)
[7] Lihat Kassyaf al-Qinaa’ oleh al-Buhuti (1/24)
[8] HR Abu Daud (83), al-Tirmizi (69), al-Nasa’ie (1/50), Ibn Majah (314), Ahmad (2/361)(8720). Dinilai Sahih oleh al-Imam al-Bukhari seperti yang terdapat di dalam ‘Aridhah al-Ahwazi oleh Ibn al-‘Arabiy (1/91). Al-Imam al-Nawawi di dalam al-Majmu’ (1/82). Kata al-Tirmizi dan al-Baghawi di dalam Syarh al-Sunnah (1/368): “Hasan Sahih.” Kata Ibn ‘Abd al-Barr di dalam al-Istizkar (1/197): “Isnadnya bukan dari sesuatu yang ditegakkan dengannya hujjah. Akan tetapi ia Sahih al-Makna YUtalaqqa bi al-Qabul wa al-‘Amal. Kata Ibn Kathir di dalam Irsyad al-Faqih (1/24): Pada Isnad hadis ini ada perbezaan pendapat ulama. Akan tetapi al-Bukhari dan al-Tirmizi berkata: Ia hadis Sahih.” Hadis ini juga dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih Sunan al-Tirmizi (69). Ahmad Syakir juga menilai Isnadnya sebagai Sahih di dalam Tahkik Musnad Ahmad (16/300)
[9] Lihat al-Majmu’ oleh al-Nawawi (1/85)
[10] HR al-Bukhari ((162) dan Muslim (278)
[11] Kata Ibn Taimiyyah RH: “”Dan berkata ramai dari kalangan para sahabat Abu Hanifah: Bahkan air Tahir adalah air Tahur.” (al-Fatawa al-Kubra 5/297)
[12] Kata Ibn Taimiyyah: “Kata nama air disebut secara mutlak di dalam Kitab Allah dan al-Sunnah. Nabi SAW tidak pernah membahagikannya kepada dua bahagian: Tahur dan Tidak Tahur. Pembahagian ini bertentangan dengan Kitab Allah dan al-Sunnah. Sebaliknya Allah hanya berfirman: “(Jika) kamu semua tidak mendapati air…” maka setiap sesuatu yang diletakkan padanya nama air, maka ia suci lagi menyucikan, samada telah digunakan untuk bersuci wajib atau sunat atau bukan sunat.”(Majmu’ al-Fatawa: (19/236)
[13] Lihat Majmu’ Fatawa Ibn Baz (10/14)
[14] Kata Ibn ‘Uthaimin RH: “Yang rajih bahawa air terbahagi kepada dua: Tahur dan Najis. Apa-apa yang berubah dengan najis maka ia najis. Apa-apa yang tidak berubah dengan najis maka ia Tahur. Adapun menetapkan bahagian air yang ketiga, iaitulah air Tahir, adalah suatu yang tiada asasnya dalam syariat. Bukti perkara ini ialah ketiadaan dalil yang menunjukkannya. Dimana kalaulah bahagian air yang ketiga ini thabit pada syara’. Sudah tentu ia satu perkara yang diketahui umum dan difahami, ada hadis-hadis yang menyatakan tentangnya dengan jelas. Ini kerana keperluan mendesak diadakan penerangan tentangnya, ia bukan perkara yang ringan kerana ia memiliki kaitan samada perlu bersuci dengan air atau bertayammum.” Lihat Majmu’ Fatawa wa Rasa’il al-‘Uthaimin (11/86)
[15] Riwayat Abu Daud di dalam al-Sunan (66), al-Tirmizi di dalam al-Sunan (66), al-Nasa’ie di dalam al-SUnan (1/174), dan Ahmad di dalam al-Musnad (3/31)(11275). Dinilai Sahih oleh Yahya bin Ma’ien seperti di dalam Khalasah al-Badr al-Munir oleh Ibn al-Mulaqqin (1/7), Imam Ahmad seperti di dalam Tahzib al-Kamal oleh al-Mizzi (12/219), al-Nawawi di dalam al-Majmu’ (1/82). Dinilai Hasan oleh al-Tirmizi di dalam al-Sunan (66), Ibn Hajr di dalam Muwafaqah al-Khabar al-KHabar al-Khabar (1/485) dan al-Baghawi di dalam Syarh al-Sunnah (1/371)
[16] Lihat Bidayah al-MUjtahid oleh Ibn Rusyd (1/27)
[17] Air Mutlak adalah air yang kekal di atas asal penciptaannya - هو الماء الباقي على أصل خِلقته - (Lihat Syarh Muntaha al-Iradaat (1/15)
[18] Al-Bukhari: Kitab al-Azan – Bab Ma Yuqal Ba’d al-Takbir (1/189). Muslim: Kitab al-Masajid – Bab Ma Yuqal Bain Takbir al-Ihram wa al-Qiraah (1/149), bilangan (147). Abu Daud: Kitab al-Solah – Bab al-Saktah ‘Ind al-Iftitah, bilangan (781), (1/492). Musnad Ahmad (2/231). Al-Nasa’ie: Kitab al-Iftitah – Bab al-Du’aa Bain al-Takbir wa al-Qiraah (2/128), bilangan (895)
[19] Di dalam jawapan ini baginda tidak menyatakan: “Ya” bagi menggandingkan hukum dengan illahnya iaitulah al-Tuhuriah al-Mutanahiah pada babnya, lalu baginda menambah satu hukum yang tidak ditanya tentangnya, iaitulah halal bangkainya bagi menyempurnakan faedah dan bagi memberi faedah kepada hukum lain yang tidak ditanya tentangnya dan dikuatkan lagi perkara itu ketika jelas keperluan mengetahui hukumnya. Ini termasuk di dalam cara terbaik dalam fatwa.
[20] Abu Daud: Kitab al-Toharah – Bab Wudhu’ Bi Maa al-Bahr (1/64) bilangan (83). Mawarid al-Zham’aan: Kitab al-Toharah – Bab Ma Ja’a Fi al-Maa (1/60) bilangan (119). Al-Nasa’ie: Kitab al-Toharah – Bab Maa al-Bahr, bilangan (59), (1/50/176) bilangan (333). Al-Tirmizi: Abwab al-Toharah – Bab Ma Jaa Fi al-Bahr Annahu Tahur (1/100) bilangan (69) dan berkata: “Hadis Hasan Sahih. Musnad Ahmad (2/361, 3/373). Ibn Majah: Kitab al-Toharah – Bab al-Wudhu Bi Maa al-Bahr (1/136) bilangan (386,387,388). Hadis ini dinilai Sahih oleh al-Syeikh Ahmad Syakir, dinilai Hasan oleh al-Syeikh al-Albani di dalam Irwaa’ al-Ghalil (13), beliau juga menilainya sebagai Sahih di dalam Sahih al-Nasa’ie (1/14) dan Sahih Ibn Majah (386).
[21] Yang benar hadis ini tidak diriwayatkan oleh Imam Ahmad, sebaliknya diriwayatkan oleh anaknya Abdullah di dalam al-Zawa’id (1/76) dan dinilai Sahih oleh al-Syeikh Ahmad Syakir RH, dinilai Hasan oleh al-Syeikh al-ALbani di dalam Irwaa’ al-Ghalil, bilangan (13).