AIR KENCING DAN NAJIS HAIWAN YANG TIDAK DIMAKAN DAGINGNYA
Oleh: Ustaz Mohamad Abdul Kadir binSahak
Air kencing dan najis haiwan yang tidak dimakan dagingnya adalah najis. Bahkan para fuqaha’ telah ijma’ akan kenajisan air kencing dan tahi manusia demikian juga air kencing dan tahi haiwan yang tidak dimakan dagingnya[1].
Kenajisan air kencing dan najis manusia berdasarkan hadis:
جَاءَ أَعْرَابِيٌّ فَبَالَ فِي طَائِفَةِ الْمَسْجِدِ فَزَجَرَهُ النَّاسُ فَنَهَاهُمْ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمَّا قَضَى بَوْلَهُ أَمَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِذَنُوبٍ مِنْ مَاءٍ فَأُهْرِيقَ عَلَيْهِ
Maksudnya: “Datang seorang Arab Badwi, lalu dia kencing di salah satu penjuru masjid. Maka menyebabkan orang ramai hendak mengambil tidakan terhadapnya bagi menghalangnya. Namun orang ramai dilarang oleh Nabi SAW. Ketikamana Arab Badwi itu telah selesai kencing, Nabi SAW mengarahkan dibawa satu bekas berisi air untuk dicurahkan ke atas kencingnya.” (HR al-Bukhari)
Demikian juga sabda Nabi SAW, daripada Ibn ‘Abbas RA:
مَرَّ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى قَبْرَيْنِ فَقَالَ إِنَّهُمَا لَيُعَذَّبَانِ وَمَا يُعَذَّبَانِ مِنْ كَبِيرٍ ثُمَّ قَالَ بَلَى أَمَّا أَحَدُهُمَا فَكَانَ يَسْعَى بِالنَّمِيمَةِ وَأَمَّا أَحَدُهُمَا فَكَانَ لَا يَسْتَتِرُ مِنْ بَوْلِهِ قَالَ ثُمَّ أَخَذَ عُودًا رَطْبًا فَكَسَرَهُ بِاثْنَتَيْنِ ثُمَّ غَرَزَ كُلَّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا عَلَى قَبْرٍ ثُمَّ قَالَ لَعَلَّهُ يُخَفَّفُ عَنْهُمَا مَا لَمْ يَيْبَسَا
Maksudnya: “Nabi SAW melalui dua kubur. Baginda bersabda: “Sesungguhnya kedua-dua penghuni kubur ini sedang diazab, mereka berdua tidaklah diazab disebabkan dosa besar (pada sangkaan mereka),” kemudian baginda bersabda: “Bahkan (sebenarnya ia besar).” Adapun salah seorang daripada mereka melakukan namimah, adapun seorang lagi tidak bersuci dari kencingnya.” Kata Ibn ‘Abbas: “Kemudian baginda mengambil satu pelepah tamar yang basah, dan mematahkannya menjadi dua bahagian, setelah itu baginda memacakkannya pada dua kubur tersebut dan bersabda: “Mudah-mudahan air meringankan azab ke atas mereka berdua selama ia tidak kering.” (HR al-Bukhari).
Ashab al-Sunan pula meriwayatkan sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA:
اسْتَنْزِهُوا مِنَ الْبَوْلِ، فَإِنَّ عَامَّةَ عَذَابِ الْقَبْرِ مِنْهُ
Maksudnya: “Bersucilah dari kencing, kerana sesungguhnya kebanyakan azab kubur disebabkan darinya.” (Lihat Fath al-Bari oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani)
Manakala kenajisan air kencing dan najis haiwan yang tidak dimakan dagingnya pula berdasarkan haids Nabi SAW yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin Mas’ud RA yang berkata:
أَتَى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْغَائِطَ فَأَمَرَنِي أَنْ آتِيَهُ بِثَلَاثَةِ أَحْجَارٍ فَوَجَدْتُ حَجَرَيْنِ وَالْتَمَسْتُ الثَّالِثَ فَلَمْ أَجِدْهُ فَأَخَذْتُ رَوْثَةً فَأَتَيْتُهُ بِهَا فَأَخَذَ الْحَجَرَيْنِ وَأَلْقَى الرَّوْثَةَ وَقَالَ هَذَا رِكْسٌ
Maksudnya: “Nabi SAW mendatangi tempat buang air. Baginda memerintahkan daku untuk mendatangkan kepada baginda 3 ketul batu (untuk istijmar). Aku mendapati dua ketul batu, dan aku mencari seketul lagi namun tidak mendapatinya. Lalu aku mengambil seketul tahi kering dan menyerahkannya kepada baginda. Baginda mengambil dua ketul batu dan membuang tahi kering tersebut. Baginda bersabda: “yang ini adalah najis.” (HR al-Bukhari)
Al-Hafidz Ibn Hajar al-‘Asqalani di dalam Fath al-Bari menyatakan, di dalam riwayat Ibn Khuzaimah ada tambahan:
أَنَّهَا كَانَتْ رَوْثَةَ حِمَارٍ
Maksudnya: “Tahi kering tersebut adalah tahi kering kaldai.” al-Taimi (التيميّ) pula menukilkan bahawa al-Rauth dikhususkan kepada najis kuda, baghal dan kaldai. (Lihat Fath al-Bari).
----------------------------------------
[1] Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah