Huraian Fiqh Sunnah: Mensucikan Lemak Mentega Dan Seumpamanya

MENSUCIKAN LEMAK MENTEGA DAN SEUMPAMANYA

Oleh: Ustaz Mohamad Abdul Kadir binSahak

 

Daripada Ibn ‘Abbas RA daripada Maimunah RA, bahawa Nabi SAW pernah ditanya tentang tikus yang jatuh ke dalam lemak makanan, sabda baginda:

أَلْقُوهَا وَمَا حَوْلَهَا فَاطْرَحُوهُ وَكُلُوا سَمْنَكُمْ

Maksudnya: “Buangkan tikus itu dan apa yang sekitarnya dan makanlah lemak tersebut.” Diriwayatkan oleh al-Bukhari. Kata al-Hafidz: Ibn ‘Abd al-Barr menukilkan kesepakatan ulama bahawa sesuatu yang beku, jika terjatuh ke atasnya sesuatu bangkai, dibuang bangkai dan apa yang sekitarnya, jika ternyata tiada sesuatu dari juzuk bangkai tersebut sampai ke tempat lain dari makanan beku tersebut. Adapun cecair, para ulama berbeza pandangan, mahab majority ulama berpandangan ia menajiskan kesemua cecair tersebut apabila tersentuh dengan najis, manakala berbeza dengan pandangan ini sekumpulan ulama lain antaranya al-Zuhri dan al-Awza’ie. [1]

HURAIAN

  • Lemak makanan yang dimaksudkan di sini ialah lemak makanan yang membeku. Ia berdasarkan riwayat al-Nasa’ie daripada ‘Abdul Rahman bin Mahdi daripada Malik ada tambahan: في سمن جامد iaitulah “lemak makanan yang membeku.” (Lihat Fath al-Bari)
  • Ibn ‘Abd al-Barr menukilkan ijma’ para ulama bahawa sesuatu makana yang membeku (seperti lemak), jika terjatuh ke dalamnya bangkai, maka bangkai dan apa yang disekelilingnya dibuang, jika pasti tiada sesuatu dari bahagian bangkai sampai ke tempat lain dari makanan tersebut.
  • Jika sesuatu najis seperti bangkai jatuh ke dalam makanan cecair, para ulama berbeza pandangan. Majoriti ulama berpandangan makanan cecair itu menjadi najis keseluruhannya hanya dengan sampai najis kepadanya. Sekumpulan ulama lain antaranya al-Zuhri dan al-Awza’ie berpandangan sebaliknya iaitulah ia tidak menjadi najis melainkan jika berubah disebabkan terkena najis. Jika tidak berubah, maka ia masih dikira suci.
  • Para Fuqaha’ meletakkan tajuk seumpama ini di dalam kitab-kitab mereka bagi menerangkan dua perbezaan najis yang jatuh ke dalam makanan. Ada najis yang dapat dipisahkan dengan makanan ia dinamakan Najasah Mujawarah نجاسة مجاورة. Ada pula najis yang tidak dapat dipisahkan lagi dengan makanan, Ia dinamakan sebagai Najasah Mumazajah نجاسة ممازجة seperti najis yang jatuh ke dalam air, ia bersatu dengan air dan tidak dapat dibezakan lagi.

Oleh kerana itu, najis yang jatuh ke dalam makanan dan ia tidak dapat memberi kesan kepada makanan, maka makanan tersebut kekal hukumnya sebagai suci.

 ----------------------------------

[1] Mazhab mereka berdua ialah cecair sama hukumnya dengan air. ia tidak menjadi najis melainkan jika berubah disebabkan terkena najis. Jika tidak berubah, maka ia masih dikira suci. Inilah mazhab Ib ‘Abbas, Ibn Mas’ud dan al-Bukhari. (Lihat Fiqh al-Sunnah: 1/28)


Cetak  
Wallahu a'lam