Hukum Umrah

            Umrah adalah disyariatkan pada bila-bila waktu berdasarkan ijmak ulama. Para ulama berbeza pandangan apakah hukumnya wajib? Sebahagian ulama berpandangan hukumnya wajib[1] berdasarkan zahir firman Allah SWT:

فِيهِ ءَايَٰتُۢ بَيِّنَٰتٞ مَّقَامُ إِبۡرَٰهِيمَۖ وَمَن دَخَلَهُۥ كَانَ ءَامِنٗاۗ وَلِلَّهِ عَلَى ٱلنَّاسِ حِجُّ ٱلۡبَيۡتِ مَنِ ٱسۡتَطَاعَ إِلَيۡهِ سَبِيلٗاۚ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَنِيٌّ عَنِ ٱلۡعَٰلَمِينَ ٩٧

Maksudnya: “Padanya terdapat tanda-tanda yang nyata, (di antaranya) maqam Ibrahim; barangsiapa memasukinya (Baitullah itu) menjadi amanlah dia; mengerjakan haji adalah kewajiban manusia terhadap Allah, yaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah. Barangsiapa mengingkari (kewajiban haji), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam.” (Ali Imran: 97)

Demikian juga:

وَأَتِمُّواْ ٱلۡحَجَّ وَٱلۡعُمۡرَةَ لِلَّهِۚ

Maksudnya: “Dan sempurnakanlah ibadah haji dan ´umrah karena Allah…” (al-Baqarah: 196)

            Dalam kedua-dua ayat ini terdapat tanda wajibnya umrah. Di mana pada ayat pertama (Ali Imran: 97) Allah SWT memerintah agar dilaksanakan haji. Setelah itu Allah SWT menggandingkan umrah dengan haji dalam ayat kedua (al-Baqarah: 196). Ini menunjukkan haji dan umrah membawa hukum yang sama iaitulah wajib. Al-Imam al-Syafi’ie meriwayatkan di dalam al-Umm 2/132 daripada Sufyan bin Uyainah daripada ‘Amr bin Dinar yang berkata: “Daku pernah mendengar Tawus berkata: “Daku pernah mendengar Ibn ‘Abbas RA berkata:

والله إنها لقرينتها في كتاب الله وَأَتِمُّواْ ٱلۡحَجَّ وَٱلۡعُمۡرَةَ لِلَّهِۚ

Maksudnya: “Demi Allah, kefardhuannya (umrah) kerana digandingkan di dalam firman Allah:  Dan sempurnakanlah ibadah haji dan ´umrah karena Allah..

Pandangan yang mengatakan wajib adalah pandangan yang lebih sahih. Iaitulah ia wajib dilakukan sekali dalam seumur hidup sama sepertimana haji. Inilah pandangan sekumpulan ulama. Antara mereka itu ialah ‘Abdullah bin ‘Umar, Jabir bin Abdillah RA. Inilah juga pandangan al-Thauri, Ibn al-Musayyib, Ibn Jubair, ‘Atho’, Mujahid, Qatadah, al-Hasan, Ahmad, Ishak, Daud dan al-Syafi’ie dalam qaul jadid beliau.

            Ibn Khuzaimah, al-Daraqutni dan al-Hakim meriwayatkan daripada Ibn ‘Umar yang berkata:

ليس من أحد إلا وعليه حجة وعمرة واجبتان لا بد منهما، فمن زاد بعد ذلك فهو خير وتطوع

Maksudnya: “Tiada bagi seseorang melainkan wajib ke atasnya sekali haji dan sekali umrah. Kedua-duanya adalah wajib yang tidak boleh tidak mesti dilakukan. Sesiapa yang melakukan lebih dari yang itu, maka ia adalah baik dan sunat.”

---------------------------------- 

[1] Sebahagian lain berpandangan tidak wajib. Inilah pandangan Malik, Abu Hanifah, Ibn Taimiyyah dan selain mereka. Hujah mereka adalah hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dan al-Tirmizi daripada Jabir yang mana baginda SAW pernah ditanya tentang umrah:

أواجب هي؟ قال: لا وأن تعتمروا فهو أفضل

Maksudnya: “Apakah umrah itu wajib? Baginda menjawab: “Tidak, dan jika kamu semua melaksanakannya maka ia adalah lebih utama.” Namun hadis ini lemah sehinggakan al-Nawawi di dalam al-Majmuk menukilkan ijmak para huffaz akan kelemahan hadis ini. Pandangan ini juga bertentangan dengan keseluruhan sahabat Nabi SAW. Kata Ibn Sirin:

كانوا لا يختلفون أن العمرة فريضة

Maksudnya: “Dahulunya para sahabat tidak berbeza pandangan bahawa umrah itu adalah satu kefardhuan”, seperti yang diriwayatkan oleh Ibn hazm di dalam al-Muhalla 7/41. Ibn Sirin pula merupakah seorang tabi’ie yang telah berjumpa dengan sekumpulan sahabat dan para pembesar tabi’ien lainnya. Justeru perkataannya ini memiliki dasar dan kuat.


Cetak  
Wallahu a'lam