Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:
الْعُمْرَةُ إِلَى الْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا، وَالْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلَّا الْجَنَّةَ
Maksudnya: “satu umrah ke satu umrah lagi adalah penghapus dosa-dosa di antara keduanya. Haji yang mabrur, tiada balasan lain baginya melainkan syurga.” (al-Bukhari dan Muslim)
Bilangan Umrah Yang Dilakukan Oleh Nabi SAW
Nabi SAW telah melakukan umrah ketika baginda berada di Madinah sebanyak empat kali. Semuanya dilakukan baginda di dalam bulan Zul Kaedah. Umrah-umrah tersebut ialah: Umrah Hudaibiyyah, Umrah Qadha, Umrah Ja’ranah dan umrah yang dilakukan baginda bersama dengan haji wada’.
Namun ini bukanlah bermakna seumur hidup, baginda SAW hanya melaksanakan empat kali umrah sahaja. Terdapat isyarat yang menunjukkan Nabi SAW ada melakukan umrah ketika berada di Mekah dan sebelum hijrah.