Rukun, Wajib Umrah dan Niat Syarat

Rukun Dan Wajib Umrah

Rukun umrah ada tiga iaitulah: Berihram, Tawaf dan Sa’ie. Sesiapa yang meninggalkan salah satu daripada rukun ini, umrahnya tidak sah.

Wajib umrah pula: Berihram di miqat, bebas dari pakaian berjahit bagi lelaki, bercukur atau memotong rambut. Sesiapa yang meninggalkan salah satu dari perkara wajib umrah ini, wajib ke atasnya dam. 

Perkara Sunat Sebelum Ihram

1. Potong kuku, misai, buang bulu ketiak dan ari-ari.

2. Mandi.

3. Bagi lelaki hendaklah menanggalkan semua pakaian berjahit mengenakan wangian pada badannya dan memakai ihram[1]. Jangan mengenakan wangian pada kain ihram.

4. Bagi perempuan hendaklah menanggalkan niqab atau tutup muka dan sarung tangan.

Setelah itu berniat[2] masuk ke dalam ihram sambil menyebut:

لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ عُمْرَةً

Dengan niat tersebut, seseorg dikira telah masuk ke dalam Ihram sekalipun tanpa sebarang lafaz.

Perkara Sunat Setelah Berihram

  • Memperbanyakkan bertalbiah. diangkat suara bagi lelaki tidak bagi perempuan. Berhenti dari bertalbiah ketika memasuki masjidil haram dan hendak memulakan tawaf. Al-Tirmizi meriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas yang berkata:

كان يمسك عن التلبية في العمرة إذا استلم الحجر

Maksudnya: Adalah baginda SAW akan berhenti dari bertalbiah ketika umrah apabila baginda melakukan istilam kepada hajarul aswad.” (al-Tirmizi menilai hadis ini sebagai sahih)

            Al-Imam al-Nawawi di dalam Syarah Sahih Muslim berkata:

الصحيح أنه لا يلبي في الطواف، ولا في المسعى لأن لهما أذكارا مخصوصة

Maksudnya: “Yang sahih bahawa tidak lagi bertalbiah ketika tawaf dan sa’ie, kerana ketika di dua tempat tersebut memiliki zikirnya yang tersendiri.”

  • Berniat syarat dengan menyebut:

اَللَّهُمَّ إِنْ حَبَسَنِيْ حَابِسٌ فمَحِلِّيْ حَيْثُ حَبَسْتَنِي

Maksudnya: “Ya Allah, jika ada sesuatu yang menghalangku (dari terus menyempurnakan umrah), maka tahallulku menurut halangan yang Engkau kenakan terhadapku.”

Dalil dalam perkara ini ialah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari dan Musim, daripada ‘Aisyah RA yang berkata:

دَخَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى ضُبَاعَةَ بِنْتِ الزُّبَيْرِ ، فَقَالَ لَهَا : (لَعَلَّكِ أَرَدْتِ الْحَجَّ ؟ قَالَتْ : وَاللَّهِ ، لَا أَجِدُنِي إِلَّا وَجِعَةً ، فَقَالَ لَهَا :حُجِّي وَاشْتَرِطِي ، وَقُولِي : اللَّهُمَّ مَحِلِّي حَيْثُ حَبَسْتَنِي

Maksudnya: “Rasulullah masuk menemui Dhuba’ah binti al-Zubair lalu berkata kepadanya: “Kamu hendak melaksanakan haji?” Beliau menjawab: “Demi Allah, aku tidak dapati diriku melainkan dalam keadaan akan ditimpa sakit (tidak sihat)[3].” Jawab baginda: “Tunaikanlah haji dan letakkan syarat. Katakan: “Ya Allah, tahallulku[4] berdasarkan halanganMu terhadapku.”[5]

            Berniat syarat ini disyariatkan terutamanya bagi sesiapa yang pada sangkaan beratnya akan berhadapan dengan keuzuran seperti disebabkan haid, nifas, demikian juga sesiapa yang ditimpa sakit yang dibimbangkan tidak dapat menyempurnakan ibadah umrah mahupun haji, atau apa-apa rintangan yang dibimbangi akan menghalang disempurnakan ibadah tersebut.

            Imam Ahmad menggalakkan niat syarat ini, manakala Ibn Hazm mewajibkannya. Imam Syafi’ie menghukumkannya sebagai harus. Ada juga sebahagian ulama yang mengingkarinya seperti ulama mazhab Hanafi dan Maliki. Namun pandangan Imam Syafi’ie dan Ahmad adalah lebih kuat kerana terdapat bukti dari amalan salaf yang berniat syarat hatta tanpa dikaitkan dengan sebarang kebimbangan sekalipun. Thabit keharusan niat syarat ini tanpa dikaitkan dengan kebimbangan, dari Umar bin al-Khattab RA yang menyebut kepada Suwaid bin Ghafalah yang diriwayatkan oleh Ibn Hazm di dalam al-Muhalla. Demikian juga dari Uthman bin Affan berdasarkan riwayat Ibn Abi Syaibah di dalam Musannafnya. Juga dari ‘Ali, Ibn Mas’ud dan ‘Aisyah RA yang terdapat di dalam al-Muhalla oleh Ibn Hazm. 

Faedah Berniat Syarat

            Sesiapa yang berniat syarat kemudian dia terhalang dari menyempurnakan haji atau umrahnya, maka tiada apa-apa dam yang dikenakan apabila dia bertahalul atau keluar dari ibadah sebelum menyempurnakannya. Berbeza dengan sesiapa yang tidak berniat syarat, apabila dia bertahalul sebelum menyempurnakan ibadah haji atau umrahnya, wajib ke atasnya dam.

---------------------------------- 

[1] Sunat kain ihram berwarna putih. Ibn al-Munzir dan al-Nawawi mendakwa telah berlaku ijmak dalam permasalahan ini.

[2] Niat ini adalah rukun tiada khilaf dalam kalangan ulama.

[3] Lihat حاشيتا القليوبي وعميرة على كنز الراغبين شرح منهاج الطالبين 1/ 2-4 dinyatakan: ما أجدني إلا وجعة أي متوقعة لحصول وجع مستقبل بدليل ما بعده. Dalam Mir’aah al-Mafatih 9/441 menyatakan إلا وَجِعة iaitulah daku sakit. Dinyatakan dalam riwayat Muslim وأنا شاكية iaitulah aku seorang yang sakit.

[4] Ibid. Dinyatakan مَحِلي dengan dikasrahkan huruf “ح” bermaksud al-Tahallul. Dalam Mir’aah al-Mafatih dinyatakan: Tempat keluarku dari haji atau tempat tahallulku dari ihram atau waktu tahallulku daripada ihram, kerana المحِل boleh untuk tempat dan masa.

[5] Kata al-Qari, sebahagian ulama kami berkata: sabda Nabi: katakanlah: اللهم محلي sehingga ke akhirnya tafsir kepada syarat yang diletakkan iaitulah: aku mensyaratkan bahawa aku akan keluar dari ihram apabila aku sakit dan lemah untuk menyempurnakan haji.


Cetak  
Wallahu a'lam