Miqat

Miqat

Nabi SAW telah menetapkan 5 tempat berniat Ihram (Miqat). Wajib setiap yang hendak melaksanakan haji atau umrah tidak melepasi kawasan ini melainkan dia telah sedia berniat.

5 Miqat tersebut ialah:

  • Dzul Hulaifah [1]ذو الحليفة. (450 KM dari Mekah). Miqat penduduk Madinah dan mereka yang datang dari arah Madinah.
  • Juhfah الجحفة. (183 KM). Miqat penduduk Sham, Maghrib, Mesir dan yang datang dari arah mereka. Hari ini orang ramai berihram di tempat bernama Rabigh رابغ.
  • Dzaatu 'Irqin ذات عرق. (94 KM). Miqat penduduk 'Iraq dan yang datang dari arah yang sama.
  • Qarnul Manazil قرن المنازل. (75 KM). Miqat penduduk Najd dan yang datang dari arah mereka. Sekarang dinamakan sebagai al-Sail al-Kabir السيل الكبير.
  • Yalamlam يلملم. (92 KM). Miqat penduduk Yaman dan sesiapa yang datang dari arah yang sama. Sekarang ini orang ramai akan berihram di Sa'diyyah السعدية.

Wajib setiap yang hendak melaksanakan haji atau umrah berihram di miqat-miqat yang telah ditetapkan. Jika tidak wajib Dam seekor kambing yang disembelih di Mekah dan diagihkan-dagingkan kepada golongan miskin Mekah.

Penduduk Mekah pula berihram Haji dari di Mekah. Untuk umrah mereka perlu keluar ke tanah halal seperti Tan'iem التنعيم.

Waktu bertalbiah[2] bagi jemaah umrah bermula apabila setelah berniat Ihram dan berihram sehingga permulaan tawaf.

----------------------------------------- 

[1] Kata mufradnya ialah الحَلْفَى iaitulah sejenis pokok yang dahulunya memenuhi kawasan tengah-tengah wadi tersebut yang dinamakan al-Aqiq العقبق. Sekarang ini kebanyakan orang menamakannya sebagai Wadi ‘Urwah kerana dahulunya ‘Urwah bin al-Zubair RA memiliki kebun tanaman di wadi ini. Thabit di dalam Sahih al-Bukhari, daripada Ikrimah yang mendengar Ibn ‘Abbas berkata:

إِنَّهُ سَمِعَ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِوَادِي الْعَقِيقِ يَقُولُ أَتَانِي اللَّيْلَةَ آتٍ مِنْ رَبِّي فَقَالَ صَلِّ فِي هَذَا الْوَادِي الْمُبَارَكِ وَقُلْ عُمْرَةً فِي حَجَّةٍ

Maksudnya:  “Beliau pernah mendengar ‘Umar berkata, beliau pernah mendengar Nabi SAW bersabda di Wadi al-‘Aqiq: Telah datang kepadaku sesuatu (Jibril) dari tuhanku dan berkata: “Tunaikan solat di wadi (lembah) yang diberkati ini, dan katakan: “Umrah di dalam haji.” (Sahih al-Bukhari – Bab Qaul al-Nabiy SAW al-‘Aqiq Wadi Mubarak. Hadis 1461).

Hadis ini dijadikan antara dalil oleh majoriti ulama adanya solat sunat Ihram seperti yang dinukilkan oleh Ibn ‘Abd al-Barr, al-Nawawi dan yang lainnya. Pandangan ini berbeza dengan pandangan al-Hasan al-Basri dan sebahagian ulama tabi’ien yang lain. Para ulama juga berbeza pandangan apakah disunatkan seseorang yang hendak berihram memilih untuk bertepatan dengan mana-mana waktu solat fardhu, lalu dia memulakan ihramnya selepas selesai menunaikan solat fardhu tersebut. Atau apakah disunatkan bagi seseorang yang hendak berihram menunaikan solat sunat khas sempena ihram jika masa berihramnya bukan pada waktu solat fardhu? Terdapat dua pandangan ulama. ‘Ato’, Tawus, Malik, Sufyan al-Thauri, Abu Hanifah, Ishak, Ibn al-Munzir dan pandangan ulama Hambali ialah sesiapa yang waktu ihramnya bukan pada waktu solat fardhu, sunat menunaikan solat sunat ihram dua rakaat. Manakala sebahagian ulama lain seperti Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim berpandangan tiada solat sunat khusus sempena ihram. Jika waktu ihramnya menepati waktu solat fardhu maka dia berihram selepas selesai menunaikan solat fardhu tersebut. Jika tidak, tiada solat sunat khas untuk berihram.

            Nabi SAW ketika melakukan haji wada’, baginda SAW memulakan perjalanan selepas menunaikan solat Zohor di masjid baginda di Madinah menuju ke Zul Hulaifah. Di Zul Hulaifah baginda menunaikan solat Asar, Maghrib, Isyak dan Subuh. Nabi SAW memulakan Ihram sebaik sahaja selesai menunaikan solat ketika berada di Zul Hulaifah. Para ulama berbeza pandangan apakah solat yang ditunaikan oleh Nabi SAW tersebut? Apakah solat Subuh pada hari kedua setelah baginda sampai di Zul Hulaifah? Atau selepas solat Zohor pada hari kedua tersebut? Al-Imam al-Nawawi berpandangan baginda menunaikan solat Subuh pada hari kedua, setelah itu baginda berihram. Manakala sebahagian ulama lain seperti Ibn al-Qayyim dan Ibn Kathir berpandangan nabi SAW berihram sebaik sahaja selesai menunaikan solat Zohor pada hari kedua tersebut. Al-Syeikh Dr. ‘Abd al-‘Aziz al-Tarifi berpandangan pandangan Ibn al-Qayyim dan Ibn Kathir ini adalah yang Sahih kerana terdapat bukti dari hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam sahihnya, daripada Ibn ‘Abbas RA yang berkata:

صلى رسول الله صلى الله عليه وسلم الظهر بذي الحليفة ثم دعا بناقته فأشعرها في صفحة سنامها الأيمن وسلت الدم وقلدها نعلين ثم ركب راحلته، فلما استوت به على البيداء أهل بالحج 

Maksudnya: “Rasulullah SAW menunaikan solat zohor di Zul Hulaifah, kemudian baginda minta dibawakan unta yang hendak dijadikan hady dan melukakannya di bahagian kanan bonggolnya, menyapu darah yang keluar dan menggantungkan dua selipar baginda di tengkok unta tersebut, kemudian baginda menaiki unta lainnya. Apabila baginda telah menetap di atas tunggangan di Baidaai’ (kawasan lapang yang berada di hadapan Zul Hulaifah menuju ke Mekah), baginda bertalbiah untuk memulakan Haji.”

            Hadis ini menunjukkan solat yang ditunaikan oleh nabi SAW sebelum mengenakan ihram ialah solat fardhu zohor. Kerana itu termasuk di dalam sunnah ialah berusaha mengenakan ihram sebaik sahaja selesai menunaikan solat Fardhu di Zul Hulaifah seperti yang dilakukan oleh Nabi SAW dan para sahabat baginda RA yang telah thabit di dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim daripada Malik, daripada Nafi’, daripada Abdullah bin ‘Umar bahawa Rasulullah SAW mendudukkan tunggangan baginda di Bathhaa’ (البطحاء) di Zul Hulaifah, baginda menunaikan solat di situ dan demikianlah yang dilakukan oleh ‘Abdullah bin ‘Umar.” (al-Bukhari 1532 dan Muslim 1257)

[2] Para sahabat berbeza pandangan di mana baginda SAW memulakan talbiah. Menyebabkan para ulama selepas mereka juga berbeza pandangan. Pandangan yang sahih seperti yang disebut oleh al-Tarifi ialah talbiah itu dimulakan oleh baginda sebaik sahaja memakai ihram selepas menunaikan solat zohor di Zul Hulaifah. Hal ini berdasarkan riwayat Imam Muslim daripada Salim bin Abdullah yang mendengar bapanya RA berkata:

بَيْدَاؤُكُمْ هَذِهِ الَّتِي تَكْذِبُونَ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِيهَا ، مَا أَهَلَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَّا مِنْ عِنْدِ الْمَسْجِدِ " يَعْنِي ذَا الْحُلَيْفَةِ

Maksudnya: Baidaa’ (kawasan lapang hadapan Zul Hulaifah mengarah ke Mekah) kamu semua adalah yang kamu semua katakan (baginda ihram di sini, tetapi sebenarnya tidak. Bahkan baginda telah berihram sebelum tempat ini iaitulah di masjid Zul Hulaifah, di sisi pokok yang terdapat di di sana). Tidaklah Rasulullah memulakan ihram baginda melainkan di sisi masjid iaitulah di Zul Hulaifah.”

            Imam Tirmizi dan al-Nasa’ie juga meriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas RA yang berkata:

أن رسول الله صلى الله عليه وسلم أهل في دبر الصلاة

Maksudnya: “Bahawa Rasulullah SAW memulakan bertalbiah di dubur solah.”

            Banyaknya perbezaan riwayat permulaan talbiah Nabi SAW ini adalah disebabkan sebahagian mereka tidak mendengar nabi telah mula bertalbiah sebaik selesai solat fardhu. Ini kerana dalam peristiwa haji wada’ para sahabat berada dalam jumlah yang amat ramai. Maka sesiapa yang berada dekat dengan Nabi ketika baginda berada di dalam masjid mendengar baginda memulakan talbiah tersebut. Lalu mereka meriwayatkannya dan jumlah mereka tidak begitu ramai. Sesiapa yang berada dekat dengan Nabi SAW ketika baginda menaiki tunggangan mendengar baginda bertalbiah ketika itu. Peristiwa itu pula berlaku di Baidaa’ iaitulah tanah lapang bahagian hadapan Zul Hulaifah menuju ke Mekah. Ketika itu ramai para sahabat yang dapat melihat baginda disebabkan kedudukan baginda yang lebih jelas dan dapat dilihat oleh ramai sahabat. Lalu ramailah yang meriwayatkan baginda memulakan talbiah ketika di Baidaa’ setelah menaiki tunggangan. Namun sahabat yang meriwayatkan baginda telah memulakan bertalbiah sejak selepas solat lagi, merupakan riwayat yang tidak diketahui oleh sahabat lain. 


Cetak  
Wallahu a'lam