Larangan & Perkara Yang Dibenarkan Ketika Ihram

Larangan Ketika Berihram

  • Mencabut atau menggungting rambut dan bulu di badan[1]. Demikian juga menggunting kuku[2]. Jika berlaku tanpa niat atau terlupa atau jahil, maka tidak mengapa.
  • Tidak boleh mengenakan wangian pada badan dan pakaian. Wangian yang dikenakan pada badan sebelum berihram dan kekal di badan tidak mengapa. Wangian yang kena pada pakaian hendaklah dihilangkannya dengan membasuh.
  • Tidak boleh menutup kepala sama ada dengan kopiah, serban dan seumpamanya. Jika berlaku kerana lupa atau jahil tentang hukumnya wajib segera menanggalkannya sebaik sahaja tahu, dan tiada apa-apa yang perlu dilakukan.
  • Tidak boleh memakai pakaian berjahit di seluruh badan atau sebahagiannya seperti baju, seluar, memakai khuf dan seumpamanya. Melainkan jika tiada lagi kain ihram untuk dipakai, maka harus memakai seluar. Demikian juga bagi sesiapa yang tidak ada selipar, maka boleh dia memakai kasut.[3]

Boleh memakai tali pinggang dan ia tidak termasuk pakaian berjahit yang dilarang oleh seroang yang berihram. Imam Syafi’ie meriwayatkan daripada Tawud yang berkata: “Aku pernah melihat Ibn ‘Umar telah mengikat perutnya dengan baju.” (Musnad al-Syafi’ie 119)

  • Tidak boleh meminang dan mengahwini wanita sama ada untuk dirinya sendiri ataupun untuk orang lain. Demikian juga tidak boleh mengadakan hubungan jimak dengan isteri berdasarkan hadis ‘Uthman RA, Nabi SAW bersabda:

لا يَنْكِحُ المحرم ولا يُنْكِحُ ولا يخطِبُ

Maksudnya: “Jangan seseorang yang dalam keadaan berihram menikah dan jangan juga menikahkan orang lain dan jangan meminang.” (Muslim)

  • Ketika berihram para wanita tidak dibenarkan memakai sarung tangan dan tidak boleh menutup muka dengan niqab. Adapun berkaitan dengan pakaian, mereka bebas memakai pakaian yang menutup aurat.
  • Diharamkan seorang muslim sama ada dalam keadaan berihram atau tidak, lelaki atau perempuan memburu haiwan darat dalam kawasan tanah haram. Dibenarkan membunuh haiwan perosak seperti yang dinyatakan di dalam hadis:

 خَمْسٌ فَوَاسِقُ يُقْتَلْنَ فِي الْحِلِّ وَالْحَرَمِ : الْحَيَّةُ وَالْغُرَابُ الْأَبْقَعُ وَالْفَارَةُ وَالْكَلْبُ الْعَقُورُ وَالْحُدَيَّا 

Maksudnya: “Lima haiwan perosak, dibunuh sama ada di tanah halal mahupun di tanah haram: ular, burung gagak bewarna putih di belakang dan perutnya, tikus, anjing menyerang manusia dan helang.”[4] (Muslim)

  • Diharamkan seorang muslim sama ada dalam keadaan berihram atau tidak memotong mana-mana pokok atau tumbuhan hijau yang hidup sendiri yang berada di tanah haram tanpa sebarang keperluan.
  • Tidak boleh mengutip barang berharga yang dijumpainya seperti wang ringgit, emas, perak dan seumpamanya di tanah haram melainkan jika bertujuan mencari pemiliknya.

 

Perkara Yang Dibenarkan Ketika Berihram

  • Memakai jam tangan, alat melaungkan azan seperti earphone atau headphone, cincin, selipar, cermin mata, demikian juga beg atau bekas simpanan duit.
  • Boleh berteduh dari matahari, boleh berada di dalam kereta, membawa barang di atas kepala, memalut luka. Boleh juga menukar atau membasuh kain ihram dan membasuh kepala dan badan.
  • Jika ketika mandi gugur rambut tanpa sengaja, tidak mengapa. Jika terlupa atau kerana tidak tahu lalu memakai penutup kepala, wajib segera menanggalkannya bila tahu atau teringat. Tiada perkara lain yang perlu dilakukannya.
  • Majoriti ulama berpandangan sunat menunaikan solat sunat ihram.
  • Lafaz Talbiah[5] ialah:

لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْك، لَبَّيْكَ لَا شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ، إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ، لَكَ وَالْمُلْك، لَا شَرِيْكَ لَكَ

Maksudnya: “Daku menyahut seruanMu Ya Allah, daku menyahut seruanMu, daku menyahut seruanMu tiada sekutu bagiMu, daku menyahut seruanMu, sesungguhnya segala pujian dan nikmat adalah milikMu dan segala pemilikan (adalah  mulikMu), tiada sekutu bagiMu.”

------------------------------------- 

[1] Keseluruhan ulama (عامة العلماء) berpandangan dilarang membuang keseluruhan bulu di jasad. Imam Syafi’ie dan Ahmad mewajibkan memberi makan seorang miskin jika mencabut sehelai bulu di badan dengan sengaja. Jika mencabut 3 helai perlu membayar dam. Imam Abu Hanifah pula berpandangan mencukur sesuatu anggota keseluruhan bulunya perlu membayar dam.   

[2] Tidak ada hadis sahih berkaitan larangan mengerat kuku. Kerana itu didapati Daud al-Zahiri berpandangan orang yang dalam ihram boleh mengerat kuku kerana tiada dalil yang melarangnya. Namun pandangan ini bertentangan dengan keseluruhan ulama lain sehingga Ibn al-Munzir menukilkan telah berlaku ijmak dalam larangan ini. Ibn Jarir pula meriwayatkan daripada ‘Ali, daripada Ibn ‘Abbas berkaitan firman Allah SWT:

ثُمَّ لۡيَقۡضُواْ تَفَثَهُمۡ وَلۡيُوفُواْ نُذُورَهُمۡ وَلۡيَطَّوَّفُواْ بِٱلۡبَيۡتِ ٱلۡعَتِيقِ ٢٩

Maksudnya: “Kemudian, hendaklah mereka menghilangkan kotoran yang ada pada badan mereka dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazar mereka dan hendaklah mereka melakukan tawaf sekeliling al-Baitul ‘Atiq (Kaabah).” (al-Hajj: 29), beliau (Ibn ‘Abbas) berkata: التَفَتُ iaitulah mencukur rambut dan mengerat kuku. Difahami dari ayat ini terdapat larangan mencukur rambut dan mengerat kuku sebelum tahalul Ihram. Demikian juga Sa’ied bin Mansur telah meriwayatkan daripada Ibrahim al-Nakha’ie yang berkata: “Dahulunya mereka menggalakkan apabila hendak  berihram agar mengerat kuku dan misai, juga mencukur bulu ari-ari.” Perkataan Ibrahim al-Nakha’ie; “Dahulu mereka menggalakkan…” atau jika beliau berkata: “Dahulu mereka menganggap makruh” atau: “Dahulu mereka melakukan” adalah membawa maksud ijmak di kalangan para sahabat Ibn Mas’ud seperti yang diriwayatkan daripada beliau oleh Ibn Abi Khaithamah di dalam kitab Tarikhnya daripada A’masyh daripada al-Nakha’ie yang berkata: “Apa-apa yang aku nyatakan kepada kamu semua: Mereka dahulu menggalakkan… maka ia menunjukkan mereka telah ijmak.” 

[3] al-Tarifi mendakwa ulama telah ijmak sesiapa yang tidak mendapati kain dan selipar boleh memakai seluar dan khuf seperti yang dinukilkan oleh Ibn al-Munzir. Tidak perlu juga memotong mana-mana bahagian seluar dan kasut tersebut berdasarkan hadis Ibn ‘Abbas di dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim. Inilah juga pandangan Imam Ahmad. Lihat Sifah Hajjah al-Nabi SAW al-Tarifi.

[4] Imam Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini berkata: “Dan para ulama bersepakat harus bagi seseorang yang dalam ihram membunuh apa-apa haiwan yang semakna dengan haiwan-haiwan ini.”

[5] Talbiah التلبية dari sudut bahasa bermaksud: memenuhi atau menyahut seruan penyeru (إجابة المنادي), dan diucap secara mutlak bagi merujuk kepada tetap melaksanakan ketaatan (وتُطْلَقُ على الإقامَةِ على الطَّاعَةِ). (Lihat Lisan al-‘Arab oleh Ibn Manzur 1/730).

            Ini adalah lafaz talbiah yang masyhur. Namun masih terdapat beberapa lafaz talbiah dari Nabi SAW. Antaranya: لبيك إلهَ الحق juga dengan lafaz: لبيك إلهَ الحق لبيك.

            Thabit juga dari para sahabat yang bertalbiah dengan lafaz yang berbeza dengan lafaz talbiah Nabi SAW, namun telah diperakui oleh Baginda SAW. Bukti baginda memperakui beberapa lafaz talbiah sahabat adalah perkataan Jabir di dalam hadis baginda yang panjang tentang sifat haji Rasulullah SAW:

وأهل الناس بهذا الذي يهلون به، فلم يَرُدُّ عليهم رسول الله صلى الله عليه وسلم شيئا منه، ولزم رسول الله صلى الله عليه وسلم تلبيته

Antara lafaz talbiah tersebut ialah:

  • Talbiah ‘Umar:

لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ ، لَبَّيْكَ لَا شَرِيكَ لَك لَبَّيْكَ ، إنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَك وَالْمُلْكَ ، لَا شَرِيكَ لَك لَبَّيْكَ مَرْغُوبًا أَوْ مَرْهُوبًا ، لَبَّيْكَ ذَا النَّعْمَاءِ وَالْفَضْلِ الْحَسَنِ

  • Ibn ‘Umar pula setelah melaungkan lafaz Talbiah yang disebut oleh Nabi SAW, beliau menambah:

لَبَّيْكَ لَبَّيْكَ وَسَعْدَيْكَ، وَالْخَيْرُ بِيَدَيْكَ، لَبَّيْكَ وَالرَّغْبَاءُ إلَيْك وَالْعَمَلُ  

  • Talbiah Anas bin Malik:

لَبَّيْكَ حَقًّا حَقًّا، تَعَبُّدًا وَرِقًّا  

Namun bertalbiah dengan talbiah yang datang dari Nabi SAW adalah lebih aula.


Cetak  
Wallahu a'lam