Tawaf Umrah
- Sebaik sahaja sampai di Mekah al-Mukarramah, digalakkan segera mandi untuk membersihkan diri. Setelah itu bersegera ke al-Masjid al-Haram untuk melaksanakan Umrah. Namun jika terus menuju ke masjid al-Haram tanpa mandi terlebih dahulu juga tidak mengapa.
- Masuk ke masjidil haram dengan mendahulukan kaki kanan sambil menyebut:
أعُوذُ باللَّهِ العَظِيمِ، وَبِوَجْهِهِ الكَرِيمِ، وسُلْطَانِهِ القَدِيمِ، مِنَ الشَّيْطانِ الرَّجِيمِ
Maksudnya: “Daku berlindung kepada Allah Yang Maha Agung, dan dengan wajahnya yang Maha Mulia, sultanNya yang Qadim, dari syaitan yang direjam.” (Abu Daud)
- Terus bergerak menuju Kaabah yang mulia untuk melaksanakan tawaf dan termasuk di dalam sunnah orang lelaki melakukan al-Idhtibaa’ (الإضطباع) iaitulah membuka bahu sebelah kanan dengan menjadikan sebelah kanannya berada di bawah ketiak dan dua hujung kain berada di atas bahu yang kiri.
- Memulakan tawaf sebanyak tujuh pusingan, bermula dari al-Hajar al-Aswad. Jika mampu, yang terbaik ialah pergi mencium al-Hajar al-Aswad tanpa berebut dan bersesak-sesak sehingga menyakiti orang lain. Jika tidak mampu memadai membuat isyarat ke arah al-Hajar al-Aswad dari jauh sambil mengucapkan:
أللهُ أكبر
Tanpa perlu berhenti seketika ketika melalui al-Hajar al-Aswad.
- Seterusnya mengelilingi Kaabah yang mulia sebanyak 7 pusingan dengan berusaha menjauhi tindakan yang boleh menyakiti jemaah lain termasuk meninggikan suara dan seumpamanya.
- Disunatkan melakukan al-Raml (الرمل) iaitulah berjalan dengan pantas dan memendekkan langkah pada 3 pusingan pertama untuk tawaf Qudum bagi ibadah haji dan tawaf Umrah.
- Apabila sampai di rukun Yamani melakukan Istilam (menyentuh atau menyapu) dengan tangan jika boleh, tidak perlu juga mencium atau menyapunya ke muka seperti yang dilakukan oleh kebanyakan orang. Jika tidak dapat melakukan Istilam ketika tiba di rukun Yamani, maka teruskan berjalan tanpa perlu membuat apa-apa isyarat tangan dan tanpa perlu bertakbir.
- Termasuk di dalam sunnah Nabi SAW juga ketika berada di antara rukun Yamani dan Hajar Aswad ialah membaca:
رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِي ٱلدُّنۡيَا حَسَنَةٗ وَفِي ٱلۡأٓخِرَةِ حَسَنَةٗ وَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ ٢٠١
Maksudnya: “Dan di antara mereka ada orang yang berdoa: "Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka" (al-Baqarah: 201)
- Demikianlah tawaf dilaksanakan hingga selesai, dimulai dan diakhiri dengan Hajar Aswad.
Perhatian
- Al-Hijr adalah termasuk kawasan Kaabah. Jesteru tawaf hendaklah di lakukan di luarnya tidak boleh di dalamnya.
- Perbuatan Istilam pada semua sudut dan dinding Kaabah, menyapu dinding, pintu, maqam Ibrahim AS dan kelambu Kaabah adalah perbuatan yang tidak ada asal-usul dan tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW.
- Para wanita bersesak-sesak dengan para lelaki ketika melaksanakan tawaf adalah satu keadaan yang hendaklah dijauhi. Terutamanya ketika berada di Hajar Aswad dan Maqam Ibrahim.